Topik diikuti
Pergi ke BHkuUsaha, tawakal kunci kejayaan seorang Muslim
Usaha, tawakal kunci kejayaan seorang Muslim
Terus bersangka baik, tanpa terpengaruh dengan kepercayaan karut atau salahkan takdir apabila berdepan kegagalan
Usaha, tawakal kunci kejayaan seorang Muslim
Islam adalah agama yang mengajar umatnya agar sentiasa berusaha dan bertawakal kepada Allah swt dalam setiap urusan kehidupan.
Dalam mengejar kejayaan, seseorang Muslim tidak hanya bergantung pada usaha semata-mata, malah menyedari segala hasil akhirnya berada dalam ketentuan Allah swt.
Usaha gigih dan berterusan serta menyerahkan urusan hidup kepada Allah swt merupakan sifat seorang Muslim yang benar-benar faham akan tanggungjawabnya sebagai seorang hamba.
Tiada kejayaan yang dapat diraih kecuali dengan usaha.
Namun pada masa sama, seorang Mukmin memahami setiap usaha hanya membuahkan hasil dengan izin-Nya.
Segala urusan manusia telah ditetapkan oleh Allah swt yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
Keutamaan bertawakal
Berusaha dan bertawakal kepada-Nya merupakan dua sifat yang terpuji.
Allah swt merakamkannya dalam Surah At-Taubah, ayat 105, yang bermaksud:
“Dan katakanlah (wahai Muhammad): ‘Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan’.”
Dalam Surah Ali Imran, ayat ke 159, Allah swt turut berfirman:
“Dan apabila kamu telah berazam, maka bertawakal kepada Allah, sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang bertawakal.”
Dalam menentukan rezeki yang baik dan melimpah di dunia ini, Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud:
“Jika kamu sentiasa bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu akan diberi rezeki seperti seekor burung yang keluar pagi mencari makan dalam keadaan perutnya kosong kemudian pulang di waktu petang dalam keadaan perutnya penuh kekenyangan.” (HR At-Tirmizi).
Ujian selepas berusaha
Pastinya tawakal yang sebenar disertai dengan usaha gigih dan berterusan, kerana tawakal bukan bererti berdiam diri atau menunggu tanpa ikhtiar, tetapi berusaha sedaya mampu sebelum menyerahkan natijah kepada Allah swt.
Namun, ada kalanya usaha yang dilakukan tidak mendatangkan hasil yang diinginkan.
Justeru, adakah keadaan itu membolehkan seorang hamba menyalahkan takdir?
Jawapannya pasti tidak, kerana hanya Allah swt yang Maha Mengetahui natijah setiap usaha seorang hamba serta hikmah di sebaliknya.
Yang pasti, usaha baik yang dilakukan tidak akan disia-siakan oleh Allah swt.
Walaupun begitu, tidak semua usaha membuahkan hasil seperti yang diharapkan.
Ada kalanya seseorang telah berusaha bersungguh-sungguh, namun keputusan yang diperoleh masih tidak menepati harapan.
Dalam keadaan seperti ini, keimanan terhadap takdir Allah swt benar-benar diuji.
Terdapat sebilangan manusia yang berasa kecewa dan marah apabila usahanya tidak menghasilkan keputusan yang diinginkan.
Sehingga ada yang mula mencari jalan untuk menisbahkan kegagalannya kepada pihak lain atau menyalahkan takdir.
Sikap menyalahkan pihak lain apabila berlaku sesuatu yang tidak menyenangkan merupakan sikap yang tidak membantu seseorang untuk bangkit daripada kegagalan.
Sebaliknya, Islam mengajar agar seseorang bermuhasabah, menilai semula usaha yang dilakukan dan berusaha mencari jalan yang lebih baik.
Sikap menuding jari untuk menyalahkan keadaan dan pihak lain telah dirakam dalam Al-Quran berulang kali.
Misalnya, Allah swt menceritakan dalam Surah Al-A’raf, ayat ke-131, tentang kisah kaum Nabi Musa yang apabila datang kepada mereka kesenangan, mereka berkata:
“Ini adalah hasil usaha kami.”
Namun, ketika ditimpa kesusahan, mereka mengatakan kecelakaan dan nasib malang disebabkan oleh Nabi Musa dan pengikutnya.
Begitu juga dalam Surah Yasin, ayat ke-13 hingga 17, mengenai ‘Ashab Al-Qaryah’ yang diutuskan kepada mereka tiga perutusan daripada Allah untuk menyampaikan petunjuk-Nya, mereka menjawab:
“Sesungguhnya kami bernasib malang kerana kamu, sesungguhnya jika kamu tidak berhenti (menyeru kami), nescaya kami akan merejam kamu dan kamu pasti akan mendapat azab seksa yang pedih daripada kami.”
Tidak ketinggalan kisah Nabi Saleh dengan kaumnya dalam Surah An-Naml, ayat ke 47.
Semua menganggap nasib mereka menjadi malang kerana kehadiran para Rasul.
Begitu juga perutusan Rasulullah saw kepada kaumnya yang mendapat tindak balas buruk seperti yang dirakamkan dalam Surah An-Nisaa’ ayat ke-78.
Perkukuh akidah
Hari ini, sikap dan kepercayaan seperti itu masih lagi berlaku.
Walaupun bentuknya berbeza, hakikatnya masih sama.
Ada yang percaya kejayaan atau kegagalan ditentukan oleh nombor, tarikh dan waktu tertentu, atau pelbagai kepercayaan yang dianggap membawa tuah atau malang.
Tanpa disedari, kepercayaan seperti ini boleh mempengaruhi keputusan hidup seseorang sehingga mengatasi keyakinannya terhadap ketentuan Allah swt.
Umat Islam juga tidak terlepas daripada terjerat dalam pemikiran itu.
Di antara kepercayaan mereka adalah terdapat unsur musibah dan celaka dalam bulan-bulan tertentu.
Misalnya pada bulan Safar, banyak tanggapan yang menyimpang daripada kebenaran serta kepercayaan karut dan khurafat telah berlaku.
Sejak dari zaman jahiliah lagi, masyarakat dahulu percaya Safar mempunyai musibah sehingga mereka tidak melangsungkan perkahwinan, tidak bermusafir dan tidak berjual beli kerana takut ditimpa musibah dan kerugian yang besar.
Mereka percaya Safar adalah bulan yang mendatangkan keburukan.
Oleh itu, Rasulullah saw pernah bersabda sebagai peringatan yang tegas kepada umatnya bahawa nasib malang tiada kena mengena dengan keadaan sekeliling dan musim tertentu dengan sabdanya yang bermaksud:
“Tidak ada penyakit yang berjangkit, tidak ada haiwan memberi manfaat dan mudarat, tidak ada kesialan dalam Safar dan tidak ada juga kepercayaan datangnya malapetaka disebabkan burung hantu.” (HR Muslim).
Masyarakat Melayu/Islam juga terpengaruh dalam kepercayaan yang menyimpang mengenai amalan mandi Safar sebagai usaha menolak balak.
Hakikatnya, Islam tidak mengajar amalan sedemikian.
Sebaliknya, umat Islam dianjurkan memperbanyak doa, memperkukuh tawakal dan berusaha melakukan amal soleh sebagai jalan memohon perlindungan Allah swt.
Dari sudut akidah, amalan khurafat dan kepercayaan yang menyimpang boleh menggugat iman seseorang.
Kesimpulan
Apabila timbul kepercayaan bahawa terdapat kuasa lain selain Allah swt yang mampu mendatangkan manfaat atau menolak mudarat, maka di situlah wujud unsur syirik yang wajib dijauhi.
Islam mengingatkan umatnya segala yang berlaku di alam ini adalah menurut ketentuan dan takdir Allah swt.
Tiada kuasa lain yang mampu mengubah apa yang telah ditetapkan-Nya.
Oleh itu, seorang Muslim tidak seharusnya membiarkan hidupnya dipengaruhi oleh kepercayaan terhadap tuah, nasib malang atau perkara khurafat.
Sebaliknya, seorang Muslim perlu terus berusaha, bertawakal kepada Allah swt, hidup berpandukan syariat-Nya serta sentiasa berdoa agar dikurniakan keselamatan dan kebaikan di dunia dan akhirat.
Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.
“
“Pastinya tawakal yang sebenar disertai dengan usaha gigih dan berterusan, kerana tawakal bukan bererti berdiam diri atau menunggu tanpa ikhtiar, tetapi berusaha sedaya mampu sebelum menyerahkan natijah kepada Allah swt. Namun, ada kalanya usaha yang dilakukan tidak mendatangkan hasil yang diinginkan. Justeru, adakah keadaan itu membolehkan seorang hamba menyalahkan takdir? Jawapannya pasti tidak, kerana hanya Allah swt yang Maha Mengetahui natijah setiap usaha seorang hamba serta hikmah di sebaliknya. Yang pasti, usaha baik yang dilakukan tidak akan disia-siakan oleh Allah swt.”