Apabila menyebut tentang Arafah, rata-rata umat Islam akan teringat kepada salah satu amalan penting dalam ibadah haji serta sebuah kawasan yang terletak di luar kota Makkah.

Arafah merupakan satu kawasan yang ditetapkan oleh Allah swt sebagai tempat berkumpul bagi menyempurnakan salah satu rukun haji.

Ia merupakan antara syarat utama dalam haji, dan tanpa wukuf di Arafah, ibadah haji tidak dianggap sempurna.

Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud: “Haji itu adalah Arafah.” (HR At-Tirmizi).

Keistimewaan Hari Arafah

Bagi jemaah haji yang berkumpul di Arafah, mereka dijanjikan oleh Allah swt dengan pengampunan serta ganjaran yang sangat besar nilainya.

Rasulullah saw juga bersabda yang bermaksud: “Apabila tiba Hari Arafah, Allah swt berbangga di hadapan para malaikat-Nya sambil berfirman, ‘Lihatlah kepada sekalian hamba-Ku, mereka datang kepada-Ku dalam keadaan kusut lagi berdebu dan datang dari setiap penjuru (dunia) yang sempit sambil melaungkan suara (talbiah). Aku bersaksi kepada kamu bahawa aku telah mengampunkan dosa-dosa mereka’.”

Rasulullah saw selanjutnya bersabda: “Tiada hari yang lebih ramai manusia dilepaskan daripada neraka melainkan Hari Arafah.” (HR Al-Baihaqi).

Seruan terhadap keadilan

Walaupun Arafah sering dikaitkan dengan haji dan mereka yang menunaikannya, ia juga merupakan hari yang penuh makna bagi seluruh umat Islam.

Setiap Muslim di mana sahaja mereka berada tetap berpeluang meraih kelebihan di sisi Allah swt jika mereka melaksanakan kebaikan dan memperbanyakkan amalan pada hari tersebut.

Antara amalan seperti berpuasa pada Hari Arafah, berzikir dan berinfak juga menjadi sebab turunnya pengampunan serta rahmat Allah swt.

Demikian sifat Allah swt yang Maha Pengasih lagi Maha Adil.

Dia menganugerahkan nikmat dan rahmat-Nya kepada semua hamba yang berusaha mencarinya.

Allah swt juga mencintai sifat keadilan dan memerintahkan hamba-Nya agar sentiasa berlaku adil.

Firman Allah swt dalam Surah Al-Ma’idah, ayat 8: “Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah kamu membiarkan kebencian sesuatu kaum menjadi penghalang untuk engkau berlaku adil. Hendaklah kamu berlaku adil, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Dalam sebuah hadis kudsi, Allah swt berfirman yang bermaksud: “Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman ke atas diri-Ku, dan Aku jadikan sifat ini haram di antara kamu, maka janganlah kamu saling menzalimi.” (HR Muslim).

Prinsip keadilan dalam kehidupan

Selaras dengan perintah Allah swt, Hari Arafah memperlihatkan bagaimana Rasulullah saw menekankan kepentingan sifat adil yang perlu diamalkan dalam kehidupan umatnya.

Selain menunjukkan dan mengajar umat cara melaksanakan ibadah haji dengan sempurna agar memperoleh haji yang mabrur, Baginda turut menyampaikan wasiat penting agar umatnya sentiasa menegakkan keadilan dalam urusan harian.

Wasiat tersebut terangkum dalam khutbah Baginda yang dikenali sebagai Khutbah Wada’ atau Khutbah Perpisahan.

Jika diteliti isi kandungan khutbah tersebut, jelas keseluruhannya menekankan kepentingan berlaku adil.

Pada permulaan khutbah, Baginda saw menegaskan larangan membunuh serta mengambil harta orang lain secara batil.

Baginda juga mengingatkan setiap amanah yang diberikan perlu dilaksanakan dengan jujur.

Persoalannya, mengapakah Rasulullah saw memulakan khutbah dengan isu nyawa dan harta?

Hal ini kerana sejak zaman kedatangan Islam ke tanah Arab, masyarakat sering berperang, merampas harta serta melanggar hak sesama manusia.

Justeru, Islam hadir membawa mesej keamanan, kesejahteraan dan keadilan untuk semua.

Seterusnya, Baginda menegaskan larangan melakukan kezaliman seperti amalan riba, pembunuhan tanpa hak, serta diskriminasi dalam menjatuhkan hukuman terhadap golongan tertentu.

Semua ini merupakan bentuk ketidakadilan yang berleluasa pada zaman Jahiliah, dan Islam datang untuk membanterasnya.

Baginda saw juga berpesan agar kaum lelaki berbuat baik kepada para isteri serta menjaga hak dan maruah mereka dengan penuh takwa kepada Allah swt.

Ini kerana pada zaman Jahiliah, kaum wanita sering ditindas, tidak diberikan hak warisan, serta diperlakukan secara tidak adil dalam institusi keluarga.

Islam hadir untuk mengangkat martabat wanita dan memastikan mereka mendapat hak yang sewajarnya.

Seterusnya, Rasulullah saw berpesan tentang kepentingan menjaga tali persaudaraan.

Umat Islam adalah saudara, maka tidak wajar bagi sesiapa dalam kalangan umat Islam melakukan perkara yang boleh merosakkan atau mencetuskan perpecahan dalam hubungan tersebut.

Dalam konteks persaudaraan ini, Rasulullah saw turut menegaskan hakikat persaudaraan yang sebenar merentasi perbezaan kaum, kedudukan, bangsa dan warna kulit.

Baginda mengingatkan tiada sesiapa yang lebih mulia daripada yang lain kecuali dengan ketakwaan kepada Allah swt, kerana seluruh manusia berasal daripada keturunan yang sama, iaitu Nabi Adam as.

Demikian antara pesanan terakhir Rasulullah saw kepada umatnya.

Kesimpulan

Sesungguhnya, semua yang disampaikan Baginda berkisar tentang kepentingan sifat adil kerana manusia secara fitrah cenderung kepada keadilan.

Namun, keadilan akan menjadi tidak seimbang apabila ia diukur berdasarkan penilaian peribadi yang tidak berteraskan hukum Ilahi.

Apabila keadilan hanya berpandukan pandangan manusia dan pertimbangan akal semata, ia mudah menimbulkan perbalahan dan pertikaian kerana setiap pihak akan mendakwa merekalah yang paling adil.

Justeru, Rasulullah saw sentiasa mengingatkan hubungan sesama manusia perlu dibina atas dasar takwa dan berlandaskan hukum Allah swt, kerana hanya hukum-Nya yang benar-benar adil untuk semua manusia.

Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.