USTAZ SYAFIQ MARDI

Apabila tibanya Zulhijah, umat Islam di seluruh dunia mula membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha.

Bagi mereka yang berkemampuan dan telah menerima visa haji daripada Kerajaan Arab Saudi, ada yang sudah berangkat lebih awal ke Tanah Suci Makkah, meninggalkan keluarga, sanak saudara dan sahabat handai demi menunaikan rukun Islam kelima.

Meskipun sambutan Hari Raya Aidiladha di Singapura tidak semeriah Aidilfitri, kemeriahan dan penghayatannya tetap dirasai.

Bagi keluarga yang berkemampuan, ibadah korban dilaksanakan dengan menyembelih haiwan korban di masjid tertentu di Singapura.

Erti sebenar pengorbanan

Walaupun dari sudut ibadah, sambutan Hari Raya Aidiladha dikaitkan dengan ibadah haji di Makkah serta pelaksanaan ibadah korban melalui penyembelihan haiwan, hakikatnya, ia juga merupakan satu peluang mengajar umat Islam tentang erti sebenar pengorbanan dalam meraih keredaan Allah swt.

Sifat sanggup berkorban merupakan antara nilai terpenting dalam menjalani kehidupan harian.

Tanpa pengorbanan, mustahil seseorang mampu mencapai kejayaan, sama ada dalam urusan dunia mahupun akhirat.

Besar atau kecilnya pengorbanan yang dilakukan, demikian juga ganjaran dan hikmah yang bakal diraih.

Bahkan, pengorbanan yang dilakukan sedikit sebanyak membentuk peribadi seseorang serta mencerminkan cara pandang dan prinsip kehidupannya.

Pada masa sama, bentuk pengorbanan yang dipilih juga mampu menentukan arah kehidupan seseorang.

Pengorbanan bukan sahaja penting dalam kehidupan individu, malah amat besar peranannya dalam institusi keluarga dan masyarakat.

Seorang individu yang mendirikan rumah tangga akan membentuk sebuah keluarga, dan daripada institusi keluarga lahirnya masyarakat serta rakyat sesebuah negara.

Justeru, sikap berkorban sebagai seorang anak, ketua keluarga mahupun anggota masyarakat amat penting dalam membina masyarakat yang sejahtera dan berakhlak.

Oleh itu, pengorbanan yang akan dibincangkan selepas ini merupakan antara aspek penting demi kebaikan kehidupan individu, keluarga dan masyarakat secara keseluruhan.

Korban demi kesihatan

Sebagai umat Islam dan pengikut Nabi Muhammad saw, kita digalak mencontohi keperibadian serta cara hidup Baginda.

Para ulama bersepakat setiap perkataan, perbuatan dan perilaku Rasulullah saw merupakan sunah yang wajar dijadikan pedoman dalam kehidupan.

Namun, apabila berbicara tentang sunah, sebahagian masyarakat sering memberi tumpuan hanya kepada aspek ibadah seperti berpuasa sunat pada Isnin dan Khamis, menunaikan solat duha atau mengamalkan zikir tertentu.

Hakikatnya, antara sunah Rasulullah saw yang juga penting namun kurang diberi perhatian ialah sunah dalam menjaga kesihatan dan menjalani gaya hidup seimbang.

Baginda saw dikenali sebagai seorang yang aktif dan cergas.

Antaranya, Baginda saw mengamalkan kegiatan seperti memanah dan menunggang kuda.

Malah, terdapat riwayat yang menggambarkan Baginda bersukan dengan menaiki kuda bersama isteri tercinta, Sayidatina Aisyah ra.

Namun, antara amalan sunah yang paling utama dalam aspek kesihatan ialah cara Baginda menjaga pemakanan.

Rasulullah saw makan secara sederhana, berhenti sebelum terlalu kenyang, dan tidak menjadikan makanan sebagai saluran untuk memenuhi kehendak nafsu.

Disebabkan gaya hidup aktif dan pemakanan yang terkawal, Baginda juga digambarkan sebagai seorang yang memiliki tubuh badan yang sihat dan tidak berlebihan berat badan.

Namun demikian, apabila melihat keadaan sebahagian umat Baginda saw di Singapura, khususnya masyarakat Melayu/Islam, realitinya agak membimbangkan.

Berdasarkan Tinjauan Kesihatan Penduduk Kebangsaan, kadar obesiti dalam kalangan masyarakat Melayu merupakan antara yang tertinggi di Singapura.

Selain obesiti, masyarakat Melayu turut mencatat kadar penyakit kencing manis yang tinggi berbanding masyarakat lain.

Justeru, sekiranya kita benar-benar mencintai dan mencontohi Rasulullah saw, kita perlu bersedia memperbaiki tabiat harian serta corak pemakanan kita.

Kita perlu sanggup berkorban meninggalkan keseronokan sementara seperti pengambilan makanan tidak berkhasiat dan minuman tinggi gula demi memperoleh kesihatan yang lebih baik.

Dengan mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat, kita dapat mengurangkan risiko obesiti serta penyakit berbahaya seperti kencing manis dan serangan jantung.

Pada masa sama, apabila usia kian meningkat, kita juga perlu lebih peka terhadap penjagaan kesihatan dengan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala melalui kemudahan yang disediakan di Singapura.

Langkah pencegahan dan pengesanan awal amat penting bagi membantu kita mengawal serta menghindari penyakit yang tidak diingini.

Korban demi masa depan, nasib keluarga

Sabda Baginda saw: “Setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian akan diminta pertanggungjawaban atas yang dipimpinnya.” (HR Bukhari dan Muslim).

Daripada hadis ini, jelas menunjukkan setiap individu memainkan peranan amat penting dalam pembangunan keluarga dan masyarakat.

Dalam sesebuah keluarga, ibu bapa merupakan pemimpin.

Sebagai pemimpin keluarga, kita harus bersedia mengorbankan masa bagi meluangkan waktu bersama anak.

Kehadiran dan keterlibatan kita memainkan peranan besar dalam pembentukan diri anak, bukan sahaja dari sudut perwatakan, malah cara mereka melihat dan memahami persekitaran.

Andai kata kita sebagai pemimpin keluarga tidak mengorbankan masa untuk bersama anak, sudah pasti mereka lebih mudah terpengaruh dengan unsur yang tidak baik di luar sana.

Ini kerana pada usia muda, demi memenuhi kekosongan masa dan kehendak jiwa, mereka akan cenderung mencari teman yang belum tentu jelas latar belakangnya.

Jika tidak berhati-hati, anak anda boleh terdedah dan seterusnya terlibat dalam gejala sosial atau jenayah pada usia sangat muda.

Bagi golongan belia pula, mereka harus sentiasa mengorbankan masa demi mencapai masa depan yang lebih baik.

Golongan belia perlu bersungguh-sungguh menimba ilmu dan memperbaiki diri kerana perkembangan teknologi baru seperti kecerdasan buatan (AI) dan landskap pekerjaan pada hari ini telah banyak berubah.

Dengan kewujudan robot dan sistem berasaskan AI, besar kemungkinan pekerjaan seperti penyambut tetamu, khidmat penghantaran dan pemeriksa jaminan mutu akan berkurang atau hilang pada masa hadapan.

Maka, antara musuh besar kita adalah sikap leka.

Apabila kita lalai terhadap perubahan persekitaran, kita akan berasa tiada keperluan mengorbankan masa demi masa depan.

Hakikatnya, jika kita lambat menyedari perubahan tersebut, kita akan semakin ketinggalan jauh ke belakang.

Korban diri demi negara

Allah swt berfirman dalam Surah Al-Mumtahanah, ayat 8:

“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halamanmu. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.”

Dalam perkembangan dunia hari ini yang penuh dengan pelbagai konflik dan ketidaktentuan, khususnya di Timur Tengah, yang turut memberi kesan kepada ekonomi serta hubungan antarabangsa, kita sering terdedah kepada pelbagai maklumat dan pandangan yang boleh membentuk persepsi kita terhadap sesuatu isu.

Secara tidak langsung, hal ini boleh mendorong kita untuk berasa simpati atau cenderung kepada pandangan tertentu berdasarkan maklumat yang kita terima.

Perasaan ini kadangkala terbentuk secara emosi dan dipengaruhi oleh cara sesuatu isu diketengahkan kepada kita.

Apatah lagi dengan peranan algoritma media sosial, kita berkemungkinan terdedah kepada ruang gema atau ‘echo chamber’ tanpa disedari – iaitu apabila kita lebih banyak melihat kandungan yang selari dengan pandangan sedia ada.

Keadaan ini boleh menyebabkan berlakunya bias pengesahan atau ‘confirmation bias’, iaitu kecenderungan menerima maklumat yang menguatkan keyakinan kita tanpa menilai secara lebih menyeluruh atau membuat semakan lanjut.

Dalam masa sama, ketika kita meluahkan simpati dan sokongan terhadap mana-mana pihak – sama ada atas dasar kemanusiaan, agama atau ekonomi – adalah penting untuk kita sentiasa berusaha memahami sesuatu isu dengan lebih seimbang dan berhati-hati dalam menilai maklumat yang diterima.

Ini kerana dalam era digital hari ini, maklumat boleh tersebar dengan sangat pantas, dan tidak semuanya sentiasa tepat atau lengkap.

Oleh itu, keupayaan menilai maklumat secara kritikal dan bertanggungjawab merupakan satu bentuk tanggungjawab bersama dalam memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.

Oleh itu, sebagai umat Islam dan masyarakat Melayu di Singapura, kita perlu bersedia mengorbankan diri demi negara dengan bijak menapis maklumat tidak berasas serta berita palsu yang berlegar di Internet.

Maklumat palsu sering bertujuan mengelirukan pemikiran serta mempengaruhi kita ke arah sesuatu naratif atau ideologi tertentu.

Justeru, kita perlu sentiasa berwaspada dalam menerima dan menyebarkan berita, demi menjaga keamanan negara.

Kesimpulan

Setiap daripada kita pasti pernah berikrar sebagai rakyat Singapura, kita akan sentiasa bersatu padu tanpa mengira bangsa, bahasa atau agama dalam menegakkan keadilan demi kemakmuran dan kemajuan negara.

Demi memenuhi ikrar dan janji terhadap negara, kita harus berani mengorbankan perkara yang telah dibahaskan di atas.

Dengan menunaikan janji dan ikrar tersebut, nescaya kita akan digolongkan dalam kalangan orang-orang yang beruntung di sisi Allah swt.

Hal ini selaras dengan firman-Nya dalam Surah Al-Mu’minun, ayat 8: “Dan (sungguh beruntung) orang-orang yang memelihara amanah dan janjinya.”

Penulis ialah mantan Pembantu Penyelidik di Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) mengenai hubungan Uthmaniyyah-Singapura dan memiliki ijazah Sarjana daripada Jabatan Sejarah dan Kesenian Islam di Universiti Cukurova di Adana, Turkey. Beliau juga telah mengikuti program Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS), yang dijalankan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan tersenarai di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS). Penulis kini merupakan calon Doktor Falsafah (PhD) di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS).