Mendapatkan maklumat yang diperlukan kini lebih mudah.

Dengan beberapa sentuhan pada telefon bijak, seseorang boleh mencari jawapan kepada hampir apa sahaja persoalan.

Buku pula boleh dibaca secara digital, kuliah yang disampaikan dari suluruh dunia pun boleh ditonton dengan mudah.

Kehadiran kecerdasan buatan (AI) pula mampu menjelaskan sesuatu perkara dalam masa beberapa saat.

Dalam hal ini, timbul satu persoalan yang menarik:

Jika maklumat begitu mudah diperoleh, adakah manusia masih memerlukan seorang guru?

Islam, sejak awal meletakkan ilmu pada kedudukan yang tinggi.

Namun, ilmu bukan sekadar maklumat yang dikumpulkan. Ia perlu difahami, dibimbing dan diterjemahkan dengan betul dalam kehidupan.

Di sinilah peranan seorang guru tidak mudah digantikan.

Ilmu dan kehidupan manusia

Ilmu adalah sesuatu yang mampu menerangi perjalanan hidup manusia.

Tanpa ilmu, manusia tidak akan mampu untuk mengendalikan keperluan hidupnya dengan betul dan selamat.

Begitulah kehendak Allah swt kepada manusia untuk mempersiapkan diri menjadi khalifah dengan ilmu pengetahuan sebagai antara bekalan utama bagi menjayakan amanah mereka di bumi.

Menariknya, apabila Al-Quran menceritakan penciptaan Adam as, antara perkara awal yang disebut ialah proses pembelajaran.

Allah swt berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 31, yang bermaksud:

“Dan Dia (Allah) mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda) semuanya…”

Sejak awal penciptaan manusia, ilmu menjadi sebahagian daripada amanah manusia dalam menjalani kehidupan di bumi.

Selanjutnya, ilmu pengetahuan disampaikan kepada sekalian manusia menerusi pelbagai cara, termasuk melalui perantara mereka yang mempunyai pengetahuan untuk disampaikan.

Dalam Islam, menuntut ilmu mempunyai kedudukan yang sangat penting.

Dalam menimba ilmu, seseorang bukan sekadar memerlukan maklumat, tetapi juga penjelasan dan bimbingan daripada mereka yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman.

Rasulullah saw sendiri menerima wahyu Allah swt melalui Malaikat Jibril as yang menyampaikannya kepada Baginda.

Ini menunjukkan bahawa penyampaian ilmu mempunyai kedudukan yang penting dalam tradisi Islam.

Sebab itu para ulama sejak dahulu memberikan perhatian yang besar kepada hubungan antara guru dengan murid.

Ilmu bukan hanya sesuatu yang dibaca dan dihafal, tetapi perlu difahami dengan betul agar dapat diamalkan dengan baik.

Maklumat banyak, tapi siapa bimbing?

Teknologi telah memberikan banyak kemudahan dalam proses pembelajaran.

Enjin carian, video pendidikan, perpustakaan digital dan AI membolehkan seseorang mendapatkan maklumat dengan lebih cepat berbanding generasi sebelumnya.

Namun, kemudahan mendapatkan maklumat tidak bermakna peranan guru sudah tidak diperlukan.

Maklumat boleh diperoleh daripada pelbagai sumber, tetapi seorang guru membantu seseorang memahami ilmu dengan lebih tersusun, membetulkan kesalahan dan membimbing bagaimana ilmu itu digunakan dengan baik.

Guru bukan sekadar menyampaikan fakta, tetapi membantu seorang pelajar membina cara berfikir dan memahami sesuatu perkara dengan lebih mendalam.

Lebih daripada itu, dalam tradisi Islam, seorang guru berperanan membentuk akhlak dan keperibadian pelajarnya.

Seorang guru akan mengenali perkembangan pelajarnya, mengetahui kelemahan dan kekuatannya serta mampu memberikan teguran dan dorongan apabila diperlukan.

Teknologi boleh membantu proses pembelajaran, tetapi hubungan antara guru dengan murid mempunyai dimensi kemanusiaan yang sukar digantikan oleh sebuah skrin atau algoritma.

Sebab itu para ulama terdahulu memberikan perhatian yang besar terhadap adab dalam proses menuntut ilmu.

Seseorang mungkin boleh memperoleh maklumat daripada buku atau teknologi, tetapi nilai seperti amanah, kesabaran, disiplin dan keikhlasan sering dipelajari melalui contoh yang ditunjukkan oleh seorang guru.

Tidak hairanlah ramai manusia masih mengingati guru-guru yang pernah membimbing mereka walaupun berpuluh tahun telah berlalu.

Apa yang diingati bukan sekadar isi pelajaran yang diajar, tetapi nasihat, teguran dan contoh kehidupan yang ditunjukkan oleh guru tersebut.

Inilah antara sebab mengapa peranan guru terus relevan walaupun dunia semakin maju.

Disebabkan peranan guru sangat besar dan penting, Islam meletakkan kedudukannya di tempat yang tinggi.

Allah swt berfirman dalam Surah Al-Mujadilah ayat 11 yang bermaksud:

“Allah mengangkat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat.”

Imam al-Qurtubi ketika mentafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa Allah meninggikan kedudukan orang yang berilmu di dunia dengan kemuliaan dan di akhirat dengan pahala serta ganjaran yang besar.

Rasulullah saw juga pernah bersabda bahawa Allah swt, para malaikat serta penduduk langit dan bumi, sehinggakan semut di sarangnya dan ikan di lautan, mendoakan kebaikan bagi orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia. (Riwayat al-Tirmizi)

Jika demikian tingginya penghargaan Islam terhadap mereka yang menyampaikan ilmu, maka sudah sewajarnya seorang murid juga belajar bagaimana menghargai guru yang telah mendidik dan membimbingnya.

Ilmu bermula dengan kerendahan hati

Disebabkan peranan guru yang begitu penting, antara penghargaan terbaik yang

boleh diberikan kepada mereka ialah menjaga adab ketika menuntut ilmu.

Contoh terbaik dalam perkara ini dapat dilihat melalui kisah Nabi Musa as yang diperintahkan oleh Allah swt untuk menuntut ilmu daripada Khidr sebagaimana yang dirakamkan dalam Surah Al-Kahfi.

Walaupun Nabi Musa as mempunyai kedudukan yang tinggi sebagai seorang rasul, Baginda tetap mendatangi Khidr dengan penuh kerendahan hati.

Baginda bertanya sebagaimana yang dirakamkan dalam Surah Al-Kahfi ayat 66 yang bermaksud:

“Bolehkah aku mengikutimu supaya engkau mengajarkan kepadaku daripada ilmu yang telah diajarkan kepadamu”.

Segala adab Nabi Musa as yang dipaparkan dalam kisah tersebut amat wajar dihayati dan diteladani oleh setiap penuntut ilmu.

Ia menunjukkan bahawa ilmu seharusnya menjadikan seseorang semakin tawaduk, bukan semakin sombong.

Hari ini, teknologi moden memudahkan pencarian maklumat dengan begitu pantas sehingga seseorang mungkin merasakan bahawa dirinya sudah mengetahui sesuatu perkara hanya selepas membaca beberapa artikel atau menonton beberapa video.

Namun, mengetahui maklumat tidak semestinya bermakna seseorang sudah memahami sesuatu ilmu secara mendalam.

Justeru, para pelajar pada zaman ini masih perlu memberikan penghargaan dan penghormatan kepada guru-guru yang mengajar mereka serta tidak merasa dirinya lebih pandai hanya kerana mempunyai akses kepada maklumat yang banyak.

Allah swt mengingatkan dalam Surah Yusuf ayat 76 yang bermaksud:

“Dan di atas setiap orang yang mempunyai ilmu pengetahuan, ada lagi yang lebih mengetahui”.

Menghargai masa dan usaha guru

Penghargaan kepada guru juga dapat diterjemahkan melalui sikap seorang pelajar ketika berada dalam majlis ilmu atau kelas.

Para penuntut ilmu hendaklah berusaha menghadiri kelas dengan baik, duduk dengan tertib dan memberikan perhatian ketika guru menyampaikan pelajaran.

Guru akan berasa dihargai apabila anak murid menunjukkan adab yang baik serta kesungguhan untuk memahami ilmu yang disampaikan.

Kesungguhan seorang pelajar juga dapat dilihat melalui konsistensinya dalam menuntut ilmu.

Kehadiran yang baik, kesediaan membuat persediaan dan usaha memahami pelajaran merupakan antara cara seorang murid menghargai masa dan pengorbanan gurunya.

Adab seperti ini mungkin kelihatan kecil, tetapi ia membentuk sikap seseorang terhadap ilmu.

Menghargai guru bukan bermakna seseorang tidak boleh bertanya atau mempunyai pandangan yang berbeza.

Sebaliknya, seorang pelajar boleh bertanya, berbincang dan bahkan tidak bersetuju dengan sesuatu pandangan, tetapi semuanya dilakukan dengan ilmu dan adab yang baik.

Doakan guru

Antara penghargaan yang mungkin tidak kelihatan tetapi mempunyai nilai yang besar ialah mendoakan kebaikan buat guru.

Doakan agar guru-guru diberikan kesihatan dan kekuatan untuk terus menyampaikan ilmu.

Doakan juga agar usaha mereka diberkati, sentiasa dirahmati oleh Allah swt serta diampunkan segala kekurangan dan kesalahan mereka.

Hubungan seorang murid dengan gurunya juga tidak semestinya berakhir apabila tamat persekolahan atau pengajian.

Ada guru yang mungkin hanya mengajar kita selama beberapa tahun, tetapi ilmu, teguran dan nasihatnya terus diingati sepanjang kehidupan.

Kadangkala seseorang hanya benar-benar memahami nilai nasihat gurunya setelah bertahun-tahun meninggalkan alam persekolahan.

Hadiah terbaik buat guru

Penghargaan kepada guru bukan hanya diberikan melalui ucapan terima kasih, hadiah atau sambutan pada Hari Guru.

Semua itu mempunyai nilai dan maknanya.

Namun, hadiah yang lebih besar bagi seorang guru ialah apabila ilmu yang disampaikan terus hidup mekar dalam diri anak muridnya.

Seorang guru mungkin tidak lagi berada di hadapan kelas, tetapi nasihatnya terus memandu keputusan, tegurannya terus menjaga adab dan ilmu yang diajarkan terus memberi manfaat kepada orang lain.

Hadiah yang terbaik dan teristimewa buat guru adalah melihat para pelajarnya menjadi insan yang berguna dan beradab, serta menjadi inspirasi kepada orang lain dalam meneruskan usaha murni menyebarkan ilmu yang telah dipelajari.

Barangkali itulah antara penghargaan terbaik yang boleh diberikan kepada seorang guru – menjadi manusia yang lebih baik kerana pernah dididiknya, kemudian meneruskan kebaikan itu kepada orang lain.

“Kerana akhirnya, kejayaan seorang guru bukan hanya terletak pada apa yang dipelajari oleh muridnya, tetapi bagaimana ilmu itu membentuk masa depan mereka.”

Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti