Topik diikuti
Pergi ke BHkuIman dan amal lindungi individu dari unsur negatif
Kekurangan dalam menuntut ilmu, mungkin menyebabkan sesetengah individu terisi dengan ideologi-ideologi berbahaya
Iman dan amal lindungi individu dari unsur negatif
Menyentuh tentang kes-kes yang berlaku kebelakangan ini tentang radikalisasi kendiri, saya ingin berkongsi, apa yang saya kira sebagai kekurangan dalam menuntut ilmu, yang mungkin menyebabkan sesetengah individu terisi dengan ideologi-ideologi merbahaya, dan cara mengatasinya.
Dalam tulisan minggu lalu telah dikongsikan suatu amalan untuk mendapat kekuatan kerohanian. Minggu ini penulis ingin mengetengahkan beberapa amalan lagi yang boleh diamalkan oleh para penuntut ilmu agar terpelihara dari hasil-hasil negatif.
Berdoa Dan mengingati Allah
Mengenai fadilat nama Allah swt, Allah swt sendiri telah berfirman :-
“Dan bagi Allah nama-nama yang baik maka berdoalah padaNya dengannya (nama-namaNya)” (Surah Al-’Araf, ayat 180)
Allah swt sendiri menganjurkan agar berdoa dengan nama-namaNya.
Antara yang telah berdoa dengan nama Allah swt sehingga menemui ajal adalah sahabat Nabi, Yasir ra dan isterinya Sumaiyah ra, ketika diseksa oleh tuan mereka hingga mati.
Sehingga dikatakan bahawa Sumaiyah ra adalah wanita pertama yang syahid dalam Islam. Beliau teguh mengucapkan kalimat tauhid “La ilaaha illallah” dan “Allahu Ahad” saat diseksa oleh Abu Jahal. Beliau tetap kukuh mempertahankan keimanannya hingga wafat.
Lalu Rasulullah saw bersabda:
“Wahai keluarga Yasir, bersabarlah. Sesungguhnya tempat kembali kalian adalah syurga”, seperti diriwayatkan oleh Al-Hakim”.
Dalam hadis yang lain Rasulullah saw pula bersabda:
“Sesungguhnya bagi Allah sembilan puluh sembilan nama, seratus kurang satu. Barangsiapa menghitung-hitungnya dia akan masuk syurga. Sesungguhnya Dia (Allah) itu ganjil suka kepada yang ganjil”.
Allah swt berfirman lagi dalam surah al-Baqarah, ayat 152:
“Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu, Nescaya Aku akan mengingatimu pula (dalam pemberianKu)”.
Ayat menyatakan bahawa dengan mengingati Allah swt, maka Allah swt akan membalas ingatan tersebut. Dan ingatan Allah terhadap hambaNya adalah curahan Rahmat, kebaikan dan bimbingan. Amalan mengingati Allah swt adalah antara elemen-elemen kerohanian Islam yang suci; di samping ia adalah bentuk amalan yang mudah.
Bahkan di awal-awal Islam sebelum turunnya perintah mendirikan solat, melaksanakan puasa, zakat, haji dan jihad fisabilillah para sahabat dianjurkan banyak mengingati Allah swt melalui apa yang dinamakan sebagai zikrullah.
Sahabat Nabi Bilal bin Rabah ra banyak menyebutkan ‘Ahadun Ahad’ yang bererti Yang Maha Esa, Yang Maha Esa ketika diseksa sehingga akhirnya dia dimerdeka dari penghambaan dan penyeksaan.
Beliau menjadi seorang yang merdeka dan kemudiannya menjadi juru azan Rasulullah saw.
Inilah antara elemen-elemen kerohanian/spiritual Islam yang perlu diisikan ke dalam diri-diri kita lebih-lebih lagi hati golongan remaja kita yang bakal menjadi generasi masa depan. Sebagaimana Rasulullah saw mengisikannya ke dada para sahabat di zamannya yang kebanyakan mereka adalah daripada golongan muda.
Ini juga yang difirmankan oleh Allah swt mengenai Ashabul Kahfi, tujuh pemuda penghuni gua, yang dikisahkan dalam surah al-Kahfi. Antaranya dalam ayat ke-13:
“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka (Ashabul Kahfi) dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk”. (Surah Al-Kahfi, ayat 18:13)
Ayat menyebut dengan tegas dan benar menyatakan bahawa mereka itu adalah orang-orang muda yang beriman kepada Allah swt dan Allah swt tambah kepada mereka dengan hidayah petunjuk.
Namun iman tanpa amal ibarat benih yang tidak disirami baja dan air. Ia akan lemah dan mati. Maka iman tersebut perlu diberi baja, disiram air dan dijaga agar ia hidup subur lalu mengeluarkan hasilnya iaitu buah yang masak ranum.
Maka itu banyak ayat Al-Quran yang menyebutkan seruan kepada orang-orang yang beriman lagi yang beramal dengan amalan yang soleh (baik). Seumpama firman-firman Allah swt:-
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan yang beramal yang soleh (baik).”
Seruan tersebut jelas menyatakan iman tanpa diiringi dengan amal yang soleh, belum terjamin menjadi iman yang murni suci. Maka itu dalam kisah tujuh pemuda dalam surah Al-Kahfi ayat ke-10 menyatakan:
(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda (Ashabul Kahfi) pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami”. (Surah Al-Kahfi, ayat 18:10)
Ayat menyatakan setelah beriman mereka beramal sekalipun dengan amalan yang ringan dengan doa:
“Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami”.
Ini amat menepati hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmidzi dari Anas ra menyatakan:
“Doa itu adalah otak (puncaknya) ibadah”.
Iman dan amal seumpama inilah yang perlu disemai ke dalam hati para pemuda kita sebagaimana Rasulullah saw semaikan ke dalam hati para sahabat. Sesuai dengan firman Alllah swt dalam surah Al-Kahfi, ayat 17:
“Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dialah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong (mursyid) yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya”. (Surah Al-Kahfi, ayat 18:17)
Ayat menyebutkan adanya seorang penolong atau mursyid atau guru atau pembimbing yang dapat menunjukkan ke jalan yang benar.
Maka amalan dengan tiga ayat terakhir surah Al-Hasyr tersebut adalah antara hidayah dan petunjuk Allah swt sesuai dengan firmanNya dalam Surah Al-Isra’, ayat 17:82
“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya”.
Amalan tersebut sangat baik dan menepati maksud ayat kalau dilakukan dengan bimbingan yang betul dari seorang mursyid atau guru atau pembimbing. Amalan dengan tiga ayat terakhir dari surah Al-Hasyr ini boleh juga disempurnakan dengan amalan dalam hadis yang berikut:-
Dari ‘Alqamah dan Al-Aswad: “Kami telah membaca pada ‘Abdullah bin Mas’ud, maka apabila kami telah selesai ke akhir surah Al-Hasyr. Dia (Ibnu Mas’ud) telah berkata: Letakkan tangan kamu berdua di atas kepala kamu berdua sesungguhnya saya telah membaca pada Nabi saw maka apabila saya telah sampai ke ayat ini. Dia (Nabi) telah bersabda: Letakkan tanganmu di atas kepalamu sesungguhnya Jibrail as apabila menurunkannya ke atas ku dia (Jibrail) telah berkata kepada ku: Letakkan tanganmu atas kepalamu sesungguhnya ia adalah penyembuh dari segala penyakit melainkan as-sam iaitu maut”.
Fadilat beramal berdasarkan hadis:
Hadis mengarahkan ketika membaca tiga ayat terakhir surah Al-Hasyr hendaklah meletakkan tapak tangan di atas kepala. Seeloknya tapak tangan sebelah kanan.
Orang yang sakit yang beramal dengannya InsyaAllah akan sembuh dari sakitnya.
Ditakdirkan ia tidak sembuh dan mati dengan sakit tersebut, ia mati dengan mendapat pahala orang yang mati syahid sebagaimana tersebut dalam hadis sebelum ini.
Terakhir dalam penulisan ini ditegaskan bahawa dalil-dalil yang dikemukakan mengenai amalan ini memberikan khabar gembira iaitu kalau ditakdirkan yang beramal dengannya mati, ia dikurniakan pahala orang yang mati syahid.
Dan orang yang mati syahid bukan hanya mereka yang berjuang fisabilillah lalu terkorban, bahkan terdapat juga kematian lain yang dikira juga sebagai mati syahid. Antara mereka adalah yang disebutkan dalam hadis-hadis tersebut. Wallahu’alam.
Penulis ialah pengerusi bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).
