Akhir-akhir ini kejadian radikalisasi kendiri semakin menjadi-jadi.

Ini merupakan satu perkara yang sangat dikesali dan menyedihkan.

Lebih dikesali dan menyedihkan, ia melibatkan golongan remaja yang masih lagi di bangku sekolah, sedangkan mereka seharusnya mengisi dada, mencerdaskan akal dan membentuk hati dengan ilmu.

Kejadian terkini yang dilaporkan media massa, termasuk Berita Harian (BH) pada 28 Julai 2026, melibatkan tiga remaja berusia 14, 15 dan 19 tahun.

Kes ini menyentak banyak pihak termasuk Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Kementerian Pendidikan (MOE).

Turut tersentak dengan kes ini ialah Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), sebuah badan yang telah diasaskan untuk membantu dalam menangani masalah dan gejala yang timbul daripada isu pengganasan dan radikalisasi.

Inilah yang mendorong penulis mengimbau kembali sejarah pembentukan badan RRG.

Mulanya pembentukan RRG

Penulis bersama beberapa lagi Masyaikh Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) adalah antara bapa pergerakan kumpulan ini.

Sejarah pembentukan RRG bermula dengan kedatangan para pegawai Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) ke Pergas, dengan maksud dan tujuan untuk mendapatkan bantuan dalam satu bidang yang mereka yakin ada pada Pergas.

Bantuan yang diperlukan ketika itu adalah untuk menangani ancaman pengganasan, atau terorisme, daripada Jemaah Islamiyah (JI).

Pada waktu itu, semua individu yang terlibat dalam pengganasan adalah golongan dewasa.

Pihak ISD mengatakan mereka ada semua keperluan atau prasarana yang diperlukan dalam menangani masalah pengganasan.

Namun, hanya satu kekurangan yang mereka ada dan mereka yakin Pergas mempunyai keupayaan untuk mengisi kekurangan tersebut.

Penulis masih ingat lagi detik tersebut walaupun ia telah dilalui lebih dari 20 tahun lalu.

Pada ketika itu mantan pengarah ISD sendiri mengatakan mereka kekurangan ilmu berkaitan agama dan spiritual Islam.

Perkara inilah menjadi asas dan punca kumpulan pengganas tersebut terbentuk.

Setelah mendengar kata-kata tersebut dan berbincang dengan Masyaikh Pergas, kami sebulat suara bersedia memberi bantuan yang diperlukan kerana ia bukan hanya untuk negara ini, bahkan juga untuk umat Islam, lebih-lebih lagi mereka yang terlibat dengan ideologi pengganasan dan terorisme ini.

Masyaikh Pergas yang terlibat dalam perbincangan tersebut ialah Allahyarham Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamad, Allahyarham Ustaz Abu Bakar Hashim, Allahyarham Ustaz Ali Mohamed, Allahyarham Ustaz Syed Abdillah Ahmad Al-Juffri (Presiden Pergas ketika itu) dan penulis sendiri, selaku Naib Presiden pada waktu itu.

Mengimbau kembali detik-detik bersejarah itu, serta melihat perkembangan beberapa tahun kebelakangan ini yang menyaksikan golongan remaja yang masih di bangku sekolah turut terlibat dalam isu pengganasan, penulis terdorong untuk menyusun sebuah buku bertajuk, Amalan Kerohanian untuk Penuntut Ilmu.

Buku tersebut diterbitkan bersama Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP) pada 2025.

Kepentingan kerohanian Islam

Dalam buku tersebut, penulis menyentuh beberapa perkara utama iaitu kewajipan menuntut ilmu, kelebihan orang yang menuntut ilmu di sisi Allah dan Rasulullah saw, kepentingan doa sebagai satu ibadah dalam menuntut ilmu, kepentingan teman kerohanian dalam mencari ilmu dan amalan kerohanian bagi penuntut ilmu.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai buku tersebut, anda boleh merujuk dan mendapatkannya di IPIP.

Dalam buku tersebut, penekanan diberikan kepada kepentingan mencari teman yang dapat membimbing dari segi kerohanian, serta amalan yang boleh membantu seseorang memperoleh lingkungan sedemikian.

Ramai orang lupa akan kepentingan mencari teman kerohanian seperti ini, sedangkan ia adalah antara yang diajarkan oleh Rasulullah saw – Guru Agung dalam bidang kerohanian Islam yang suci.

Sesuai dengan firman Allah swt dalam Surah Al-Baqarah ayat 51 yang bermaksud :

“Sebagaimana Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul daripada kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.”

Menyedari akan kepentingan kerohanian Islam ini, seseorang akan sedar betapa ‘kosong’ pencarian ilmu tanpa pengisian rohani berlandaskan ajaran Islam yang suci.

Amalan yang mengisi akal dan hati yang kosong, tanpa amalan kerohanian Islam, seolah-olah ibarat makanan yang tidak berkhasiat.

Situasi inilah, penulis kira, yang sedang melanda sebahagian remaja kita, khususnya mereka yang sedang menuntut ilmu.

Hati yang kosong dengan amalan kerohanian Islam boleh membuka ruang kepada pengaruh berbahaya, termasuk pengganasan dan radikalisasi kendiri, akibat daripada pendedahan kepada pelbagai sumber yang negatif.

Antara bimbingan Rasulullah saw dalam perkara ini adalah sebagaimana yang Baginda sabdakan dalam hadisnya:

“Daripada Ma’qal bin Yasar berkata ia: Telah bersabda Rasulullah saw: “Barang siapa berkata di pagi hari aku berlindung dengan Allah Yang Maha Mendengar Yang Maha Mengetahui dari syaitan yang direjam dan membaca ia tiga ayat terakhir Surah Al-Hasyr, Allah mewakilkan dengannya 70,000 malaikat mendoakan ke atasnya hingga ke petang. Seandainya ia mati pada harinya itu, mati ia sebagai syahid dan barang siapa membacanya ketika petang maka begitu jugalah.” (HR Tirmizi).

Kelebihan Surah Al-Hasyr berdasarkan hadis

Hadis menyatakan fadilat tiga ayat terakhir Surah Al-Hasyr.

Mereka yang membaca dan mengamalkan ayat-ayat tersebut mengakui Allah swt dengan nama-Nya sebagai Penguasa di langit dan di bumi.

Terdapat 15 nama Allah swt dalam tiga ayat terakhir Surah Al-Hasyr:

1. Allah Tuhan Yang Maha Agung.

2. Al-Rahman Yang Maha Pemurah.

3. Al-Rahim Yang Maha Mengasihani.

4. Al-Malik Yang Maha Menguasai.

5. Al-Quddus Yang Maha Suci.

6. Al-Salam Yang Maha Selamat Sejahtera.

7. Al-Mukmin Yang Maha Melimpahkan Keamanan.

8. Al-Muhaimin Yang Maha Pengawal serta Pengawas.

9. Al-Aziz Yang Maha Kuasa.

10. Al-Jabbar Yang Maha Kuat Maha Menundukkan.

11. Al-Mutakabbir Yang Melengkapi segala Kebesaran-Nya.

12. Al-Khaliq Yang Menciptakan (sekalian makhluk).

13. Al-Bari’ Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada).

14. Al-Mushawwir Yang Membentuk (rupa makhluk-Nya menurut yang dikehendaki-Nya).

15. Al-Hakim Yang Maha Bijaksana.

Maka itu, Allah swt mengurniakan 70,000 malaikat untuk menjaga sesiapa yang mengamalkan tiga ayat terakhir Surah Al-Hasyr.

Para malaikat tersebut akan menjaganya dari pagi hingga ke petang dan dari petang hingga ke pagi esoknya, serta menjadi teman kerohanian.

Malaikat teman kerohanian terbaik

Antara keperluan penting bagi seorang penuntut ilmu ialah memiliki teman kerohanian yang dapat membantu menguatkan jiwa dan membimbing perkembangan rohaninya.

Namun, keperluan ini bukan hanya terbatas kepada penuntut ilmu, bahkan setiap Muslim perlu ada teman rohani dalam kehidupannya.

Teman rohani yang terbaik ialah para malaikat.

Oleh itu, seseorang digalakkan mengamalkan amalan kerohanian yang dapat mendekatkannya kepada para malaikat.

Hadis juga menyatakan jika yang beramal dengannya jatuh sakit, Allah swt sembuhkannya daripada sakitnya.

Jika ia tidak sembuh dan ditakdirkan mati pada pagi atau petang hari tersebut, ia mendapat pahala orang yang mati syahid.

Di hari akhirat, Allah swt mewajibkan ia dimasukkan ke syurga.

Penulis ialah pengerusi bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).

Menyedari akan kepentingan kerohanian Islam ini, seseorang akan sedar betapa ‘kosong’ pencarian ilmu tanpa pengisian rohani berlandaskan ajaran Islam yang suci. Amalan yang mengisi akal dan hati yang kosong, tanpa amalan kerohanian Islam, seolah-olah ibarat makanan yang tidak berkhasiat. Situasi inilah, penulis kira, yang sedang melanda sebahagian remaja kita, khususnya mereka yang sedang menuntut ilmu.
Penulis.
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti