Topik diikuti
Pergi ke BHkuZulqarnaen, Saifullah sertai skuad Singa hadapi Mongolia, China di Jalan Besar
Zulqarnaen, Saifullah sertai skuad Singa hadapi Mongolia, China di Jalan Besar
Skuad 28 pemain diumum dengan sebahagian besar pasukan dikekal
Zulqarnaen, Saifullah sertai skuad Singa hadapi Mongolia, China di Jalan Besar
Pemain pertahanan Albirex Niigata, Zulqarnaen Suzliman, dan pemain tengah Hougang United, Saifullah Akbar, telah disenaraikan dalam skuad 28 pemain pasukan Singa bagi jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) pada Jun 2026.
Ini sambil pasukan Singa bersiap sedia bagi dua perlawanan persahabatan menentang Mongolia dan China di Stadium Jalan Besar.
Dalam satu kenyataan media pada 18 Mei, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) menyatakan Singapura akan berdepan dengan Mongolia pada 31 Mei sebelum menjadi tuan rumah kepada China pada 5 Jun.
Mongolia berada di kedudukan Fifa ke-187, sementara China berada di kedudukan ke-94, iaitu 53 tangga lebih tinggi daripada Singapura.
Kedua-dua perlawanan tersebut akan bermula pada 7.30 malam.
Skuad tersebut diumumkan oleh ketua jurulatih Singa, Gavin Lee, sambil pasukan Singa meneruskan persiapan untuk pertandingan antarabangsa akan datang, termasuk Piala Asia Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Arab Saudi 2027.
Singapura diundi dalam Kumpulan D bersama Australia, Iraq dan Tajikistan.
Menyentuh tentang senarai pasukannya itu, Lee berkata undian Piala Asia memberi kejelasan tambahan kepada perancangan jangka panjang pasukan Singa.
“Kami sangat berbangga Singapura dapat bersaing di Piala Asia, dan kini setelah kami mengetahui pasukan yang akan dihadapi, ia memberikan lebih kejelasan dan hala tuju dalam persiapan serta kajian strategi kami.
“Tumpuan kami tidak berubah. Ia kembali kepada persiapan rapi, memaksimumkan setiap jendela antarabangsa, serta memastikan kami tiba di Piala Asia dalam versi terbaik,” ujar beliau.
Menurut FAS, senarai 28 pemain skuad Singa menampilkan kumpulan teras yang sebahagian besarnya dikekalkan.
Ini di samping beberapa pemain yang diberi ganjaran atas prestasi cemerlang dalam Liga Perdana Singapura (SPL).
Zulqarnaen mendapat panggilan skuad Singa pertamanya sejak Mac 2024 selepas menampilkan prestasi cemerlang pada separuh kedua musim ketika dipinjamkan ke Albirex.
Penampilan terakhirnya untuk Singapura adalah dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia Fifa menentang China, apabila beliau mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) yang menyebabkan beliau terpaksa berehat dalam tempoh yang panjang.
Sementara itu, Saifullah kembali beraksi bersama pasukan Singa selepas empat tahun, susulan prestasi cemerlang dalam kempen di SPL bersama Hougang United.
Menjelang perlawanan menentang Mongolia dan China, Lee menekankan kepentingan untuk terus membina momentum dan meningkatkan piawaian dalam skuad.
Tambah beliau, kedua-dua perlawanan persiapan penting itu akan memberikan cabaran yang berbeza.
“Mongolia dan China akan sama-sama menguji kami dengan cara yang berbeza, dan ini amat berharga untuk pasukan ketika kami terus membina ke arah sasaran jangka panjang untuk bersaing di Piala Asia.
“Pada masa sama, kami juga akan beraksi dalam kejohanan Piala Asean Hyundai dalam beberapa bulan lagi.
“Jadi, setiap kem latihan dan setiap perlawanan adalah peluang untuk kami terus menambah baik sebagai satu pasukan,” kata Lee.
Tiket untuk kedua-dua perlawanan boleh didapati melalui Ticketek dan laman web rasmi FAS di https://fas.org.sg/tickets
