Australia, Iraq dan Tajikistan bukanlah lawan yang asing bagi pasukan Singa.

Namun, selain Tajikistan, yang baru dihadapi pasukan Singa pada 2023, sudah lebih sedekad sejak mereka berdepan dengan bekas juara Piala Asia, Iraq dan Australia.

Perlawanan-perlawanan menentang kedua-dua pasukan inilah yang menarik bagi pasukan Singa, yang boleh dijadikan kayu ukur untuk kemajuan bola sepak negara sejak lebih sedekad lalu.

Daripada 11 perlawanan, pasukan Singa hanya mencatat satu kemenangan, iaitu kemenangan 2-0 ke atas Tajikistan pada 2007, manakala selebihnya berakhir dengan kekalahan.

Mari kita lihat dengan lebih dekat ‘gergasi’ yang menanti Singapura.

Australia kini berada di ranking ke-27 dunia dan merupakan pasukan dengan ranking tertinggi dalam kumpulan itu, menjadikannya antara pasukan pilihan.

Juara Piala Asia 2015 itu masih memburu pencapaian lebih baik selepas tersingkir di peringkat suku akhir dalam dua edisi terakhir pada 2019 dan 2023.

Skuad kendalian Tony Popovic itu juga terus membuktikan status mereka sebagai kuasa besar Asia apabila layak ke enam edisi Piala Dunia berturut-turut sejak 2006.

Dengan gabungan pemain berpengalaman dan bakat muda yang beraksi dalam liga-liga utama dunia, Australia dijangka menjadi lawan paling sukar buat Singapura.

Pemain sayap Australia, Craig Goodwin (tengah), merupakan antara ancaman utama Australia menjelang Piala Asia 2027. Beliau bakal mencabar benteng pertahanan lawan dengan hantaran umpanannya yang berbahaya.
Pemain sayap Australia, Craig Goodwin (tengah), merupakan antara ancaman utama Australia menjelang Piala Asia 2027. Beliau bakal mencabar benteng pertahanan lawan dengan hantaran umpanannya yang berbahaya. - Foto INSTAGRAM CRAIGGOODWIN16

Antara pemain yang perlu diberikan perhatian ialah Craig Goodwin.

Pemain sayap Adelaide United, pasukan Liga Australia (Liga A), itu terus menjadi ancaman utama Australia menerusi keupayaannya menghasilkan hantaran lintang berbahaya, situasi bola mati serta rembatan jarak jauh.

Dalam saingan Liga A musim 2025/2026, Goodwin telah menjaringkan tiga gol dan empat bantuan gol meskipun menghadapi beberapa masalah kecederaan.

Di pentas antarabangsa pula, beliau turut menyerlah ketika Piala Asia 2024 dengan dua gol, menjadikannya antara tonggak utama jentera serangan Australia.

Iraq pula hadir dengan reputasi tersendiri sebagai juara Asia 2007 dan kini menghuni ranking ke-57 dunia.

Pasukan itu bakal membuat penampilan ke-10 di Piala Asia dan terkenal sebagai pasukan yang konsisten di kejohanan tersebut, selepas berjaya mara ke pusingan kalah mati dalam sembilan daripada 10 penyertaan sebelum ini.

Penyerang Iraq, Aymen Hussein (kiri), sentiasa mengancam barisan pertahanan pasukan lawan. Kekuatan fizikalnya yang luar biasa membuatnya sukar untuk ditangani pemain pertahanan lawan.
Penyerang Iraq, Aymen Hussein (kiri), sentiasa mengancam barisan pertahanan pasukan lawan. Kekuatan fizikalnya yang luar biasa membuatnya sukar untuk ditangani pemain pertahanan lawan. - Foto REUTERS

Penyerang utama mereka, Aymen Hussein, dijangka menjadi ancaman terbesar buat benteng pertahanan Singa.

Hussein berada dalam rentak jaringan luar biasa sepanjang kempen kelayakan Piala Dunia 2026 di mana beliau menjaringkan beberapa gol penting.

Penyerang itu turut mencatat 13 gol dalam 11 aksi antarabangsa sepanjang 2024 hingga 2025, selain menjaringkan lapan gol dalam saingan kelayakan Asia.

Ketajamannya di depan gol menjadikan beliau antara penyerang paling digeruni di rantau Asia ketika ini.

Tajikistan yang berada di ranking ke-103 dunia juga bukan lawan mudah walaupun dianggap pasukan paling “realistik” untuk dicabar Singapura.

Dalam penampilan sulung mereka di Piala Asia pada 2024, Tajikistan mencipta kejutan besar apabila mara sehingga ke suku akhir.

Mereka layak ke Piala Asia 2027 selepas muncul juara Kumpulan A dalam pusingan kelayakan dan menewaskan Filipina menerusi perbezaan gol.

Prestasi konsisten itu membuktikan Tajikistan kini semakin meningkat sebagai salah satu pasukan yang mampu memberi saingan di Asia Tengah.

Pemain tengah Tajikistan, Parvizdzhon Umarbaev (kanan) , menjadi antara pemain utama pasukan itu. Beliau seorang pemain yang mampu mengawal rentak perlawanan.
Pemain tengah Tajikistan, Parvizdzhon Umarbaev (kanan) , menjadi antara pemain utama pasukan itu. Beliau seorang pemain yang mampu mengawal rentak perlawanan. - Foto INSTAGRAM UMARBAEV39

Tonggak utama mereka ialah pemain tengah kreatif, Parvizdzhon Umarbaev.

Beliau sering dianggap nadi permainan Tajikistan dengan kemampuannya mengawal tempo dan mencipta peluang dari bahagian tengah.

Umarbaev juga tampil cemerlang di peringkat kelab selain turut menyumbang gol buat negaranya dalam kejohanan antarabangsa baru-baru ini.

Singapura akan memulakan kempen Piala Asia pada 9 Januari menentang Australia di Stadium Aramco di Khobar, Arab Saudi.

Mereka kemudian berdepan Tajikistan pada 14 Januari di Stadium Universiti Imam Mohammed Ibn Saud di Riyadh, sebelum menutup aksi kumpulan menentang Iraq pada 19 Januari.