Singa akan berdepan Australia dan Iraq yang akan bertanding dalam Piala Dunia, serta Tajikistan dalam Kumpulan D Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

Ketua Jurulatih Singapura, Gavin Lee dan pasukannya, mengetahui tentang lawan peringkat kumpulan mereka semasa undian rasmi yang berlangsung di Istana Salwa di Riyadh pada 9 Mei.

Dua pasukan teratas daripada setiap enam kumpulan dan empat pasukan tempat ketiga terbaik akan layak ke peringkat kalah mati kejohanan benua berprestij itu yang berlangsung dari 7 Januari hingga 5 Februari.

Anak didik Lee akan memulakan kempen mereka pada 9 Januari menentang Australia, berdepan Tajikistan pada 14 Januari sebelum perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Iraq pada 19 Januari.

Ketika dihubungi The Straits Times (ST) sejurus sesi undian yang dihadirinya secara langsung, Lee berkata: “Sebaik sahaja kami mengetahui lawan kami, saya fikir keadaan menjadi lebih jelas, dan ia agak membuat kami teruja kerana kini anda boleh menetapkan matlamat dengan persediaan dan rancangan yang perlu dibuat.

“Dengan kejelasan kumpulan, ia memberi kami hala tuju dan lebih banyak tujuan untuk persediaan kami kerana kami ingin tiba di Riyadh tahun depan (2027) sebagai versi terbaik pasukan,” tambahnya.

Lee, yang dilantik sebagai jurulatih tetap pasukan Singa pada November 2025, berkata berdepan dua pasukan ‘gergasi’ yang akan menyertai Piala Dunia menampilkan “konteks” cabaran yang perlu diharungi.

Jurulatih berusia 35 tahun itu menambah: “Berdepan dua lawan yang beraksi di Piala Dunia pastinya menetapkan konteks, tetapi itu tidak sepatutnya menentukan mentaliti kami atau bagaimana kami mendekati pertandingan ini.

“Kami mahu bermain bola sepak dengan cara yang membolehkan orang di negara sendiri berbangga, dan akhirnya, selepas pertandingan, kami hanya mahu meletakkan jersi kami di tempat yang lebih baik.

“Apabila kami memasuki pertandingan menentang lawan seperti itu, adalah penting untuk tidak terpengaruh dengan keadaan, gembar-gembur atau bunyi bising di luar. Kita mesti mengawal apa yang boleh kita kawal. Kita sentiasa mahu tenang dan konsisten dalam pemikiran dan tindakan kita, dan pertandingan ini tidak ada bezanya.”

Australia, pasukan nombor 27 dunia, dan Iraq yang berada di kedudukan ke-57, merupakan bekas juara Piala Asia, setelah masing-masing menang dalam edisi 2015 dan 2007.

Australia juga telah layak untuk enam edisi Piala Dunia sejak 2006, manakala Iraq akan beraksi di Piala Dunia 2026 ini buat kali pertama selepas 40 tahun.