Pasangan suami isteri biasanya berkongsi kehidupan bersama, tinggal sebumbung dan kongsi rutin harian.
Namun bagi Atiq Syazwani dan suaminya Salihin Suran, mereka berkongsi sesuatu yang lebih unik – perjalanan yang penuh ‘peluh dan kesakitan’ menuju ke pentas Sukan SEA 2025, sebagai atlet jujitsu negara.
Atiq, seorang ahli fisioterapi, akan bertanding dalam empat kategori iaitu Fighting (52 kilogram), Duo Classic, Duo Show dan Duo Open.
Salihin pula akan beraksi dalam acara Fighting (Pasukan) 85 kilogram.
Walaupun pasangan suami isteri itu akan menyarung seragam yang sama, namun perjalanan mereka menghadapi cabaran Sukan SEA secara bersama sesuatu tidak dirancang.
Semuanya bermula apabila Atiq menyahut tawaran untuk bantu mengisi ruang kategori duo pada April 2025.
Setelah mendapati beliau serasi dengan sukan tersebut, beliau memutuskan untuk mendalaminya.
Namun Atiq tidak asing dalam dunia seni bela diri.
“Saya mempunyai latar belakang silat… saya belajar lebih 10 tahun,” katanya.
“Ground work di jujitsu paling berbeza berbanding silat. Saya takut kena choke tiba-tiba, takut kena armbar.”
Semasa Atiq mempelajari teknik baru bela diri untuk sukan jujitsu, Salihin yang mulanya hanya menyokong isterinya, akhirnya memutuskan untuk turut menceburi dunia jujitsu.
“Saya lihat bagaimana beliau hadapi cabaran jalani latihan jujitsu dan saya rasakan saya patut cuba juga untuk sentiasa berada di sisinya.
“Niat saya sama-sama sertai sukan ini adalah untuk memahami dan membantu isteri saya jika beliau menghadapi sebarang cabaran atau keraguan.” kata Salihin.
Pada mulanya, niatnya sekadar mahu membantu.
Namun lama-kelamaan, ia membawa Salihin kembali ke dunia kompetitif yang pernah menjadi sebahagian besar hidupnya.
Hubungan mereka juga berubah dan menjadi semakin erat.
Mereka lebih saling memahami dan bersikap ihsan antara satu sama lain.
Mereka berkongsi bahawa mereka juga sering ‘spar’ (berlatih tinju) di rumah.
“Contohnya untuk dapatkan remote televisyen atau telefon, kami akan cuba mendapatkannya menggunakan teknik jujitsu.
“Kadang-kadang kita renung kembali apa yang kita belajar bersama,” kata Atiq.
Apabila ditanya apakah peranannya, Salihan tertawa.
“Saya pula jadi ahli fisioterapi di rumah. Apabila beliau (Atiq) mengadu, “Eh, sini cramplah… sini sakitlah…”, saya akan mengurutnya dan mengingatkannya untuk meletakkan ais pada kawasan yang sakit,” ceritanya.
Perkara sebegini diperlukan untuk melegakan rasa penat dan tekanan yang mereka rasakan.
Atiq kini berlatih hampir setiap hari.
“Menjalani latihan jujitsu memenatkan fizikal dan mental. Kadangkala rasa nak putus asa, tapi tak boleh,” kongsi Atiq.
Tetapi selepas tujuh bulan menjalani latihan, beban itu mula terasa ringan.
“Sebab apabila sudah sesuaikan diri… badan dah tak rasa sakit sangat. Sekarang saya mula menikmati sukan ini,” tambahnya.
Mereka turut berkongsi bahawa masa yang diluangkan bersama semasa waktu rehat membantu mereka.
“Kami berada di sisi bersama, duduk bersebelahan, tapi kami akan lakukan perkara sendiri. Tetapi kehadirannya cukup untuk mengubat keletihan saya,” kata Atiq.
Mengenai matlamat mereka di Sukan SEA, Salihin akui bahawa walaupun beliau mahu mendapatkan pingat, mewakili Singapura sudah disifatkan sebagai satu pencapaian.
Atiq juga berkongsi matlamat sama.
“Tidak ada sesiapa yang ke Sukan SEA untuk kalah. Saya harap sekurang-kurangnya dapat raih dua pingat daripada empat acara yang saya tanding,” katanya.
Ketika diminta memberi kata-kata semangat kepada isterinya, Salihin tersipu malu, sebelum berkata:
“Jangan risaulah... Saya dapat lihat awak selalu berikan yang terbaik. Percaya pada diri sendiri dan ia akan membuahkan hasil. Tidak kira apa keputusannya, saya tetap bangga dengan awak.”
Atiq jelas terharu apabila air matanya mula bergenang.
“Terima kasih kerana selalu berada di sisi saya dan sentiasa positif,” katanya.
“
Saya lihat bagaimana beliau hadapi cabaran jalani latihan jujitsu dan saya rasakan saya patut cuba juga untuk sentiasa berada di sisinya. Niat saya sama-sama sertai sukan ini adalah untuk memahami dan membantu isteri saya jika beliau menghadapi sebarang cabaran atau keraguan.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg