Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sedekad menanti untuk jadi wakil negara di acara antarabangsa bagi sukan jujitsu

Nov 30, 2025 | 5:30 AM
jujitsu, fuad bakar, sukan sea 2025
Atlet jujitsu Singapura, Fuad Bakar, bakal mencapai impiannya untuk mewakili Singapura dalam sukan seni bela diri. Beliau telah menanti selama lebih sedekad, membina kemahirannya dalam sukan seni bela lain seperti silat dan taekwando. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Sudah lebih sedekad Fuad Bakar menanti peluang ini.

Sejak usia mudanya, beliau mengimpikan mahu mewakili Singapura dalam sukan seni mempertahankan diri.

Tetapi peluang itu tidak pernah datang hinggalah 2025, tatkala beliau berusia 34 tahun.

“Saya sangat gembira kerana pada waktu muda saya, saya tidak dapat ke pasukan kebangsaan,” katanya yang bertugas sebagai penyelaras keselamatan itu.

“Saya bekerja keras dan akhirnya berjaya berada di tahap ini.”

Kini, buat kali pertama dalam hidupnya, beliau akan bertanding di Sukan SEA 2025 dalam kategori Fighting –77 kilogram, satu perkara yang dahulu dirasakan hampir mustahil.

Perjalanan Fuad sampai ke peringkat itu tidak mudah.

Beliau mula mempelajari seni mempertahankan diri sejak di bangku sekolah rendah, bermula dengan taekwondo, sukan yang digemarinya kerana tendangan-tendangannya yang indah.

“Saya suka taekwondo kerana terdapat beberapa tendangan yang kelihatan hebat,” katanya.

Seni itu membentuk asasnya. Beliau kemudian menceburi sukan silat pula apabila sedang menuntut di Institut Pendidikan Teknikal (ITE).

Apabila beliau mula bekerja, semuanya terhenti dan Fuad tidak berlatih selama tujuh tahun.

Pada 2023, tercetus semula keinginan untuk menceburi bidang sukan.

Fuad bermula secara perlahan-lahan, membina ketahanan dan kemahirannya semula.

Tidak hairanlah apabila jurulatih jujitsu mengenal potensi Fuad dalam sukan seni bela diri.

“Antara sebab mereka inginkan saya sertai pasukan Sukan SEA adalah kerana saya mempunyai latar belakang taekwondo,” kata atlet berusia 34 tahun itu.

“Tendangan merupakan sebahagian daripada jujitsu dan jika tidak mempunyai pengalaman seni bela diri, seseorang mungkin tidak boleh tendang dengan betul.”

Bagi seseorang yang sudah lama tidak bersukan, kembali ke peringkat elit bukan mudah.

Fuad membina semula rutin dan menguatkan tubuhnya sedikit demi sedikit.

Beliau menjaga pemakanan dengan ketat dan melalui jadual latihan yang padat.

Menyusun jadual kerja dengan latihan intensif bukan perkara mudah, namun beliau menerima dorongan daripada rakannya.

Pengalaman bertanding di pentas Asia baru-baru ini turut mengubah perspektifnya.

Dalam Kejohanan Asia di Filipina, beliau tewas kepada atlet Thailand yang sangat berpengalaman.

“Saya kalah kepada atlet Thailand dan jika saya tak silap, beliau merupakan juara dunia,” katanya.

Walaupun kekalahan itu pahit, ia membuka matanya untuk terus mengasah kemahirannya.

Apabila pulang ke Singapura, Fuad terus bertanya jurulatihnya bagaimana untuk memperbaik prestasinya.

“Kami belajar daripada kesilapan dan kekalahan itu menjadi pendorong besar saya kerana saya tahu saya perlu tingkatkan kemahiran saya,” katanya lagi.

Dengan Sukan SEA semakin dekat, Fuad meletakkan sasaran yang sederhana.

“Saya sasarkan untuk sekurang-kurangnya pingat gangsa,” katanya.

Baginya, pingat bukan satu-satunya matlamat.

Sekiranya beliau tidak berjaya memperoleh pingat sekalipun, pengalaman tersebut tetap akan menjadi sesuatu yang sangat berharga, sesuatu yang boleh beliau sampaikan kepada generasi pelapis,

Bagi beliau, suatu hari nanti, beliau mahu membimbing dan tidak lagi bersaing dalam pertandingan.

“Saya tahu saya usia saya tidak begitu muda... jadi tumpuan seterusnya kepada generasi muda,” katanya.

Namun sebelum itu, Fuad masih mempunyai satu matlamat peribadi, iaitu untuk bertemu semula atlet Thailand yang mengalahkannya – bukan untuk membalas dendam, tetapi ingin mengukur sejauh mana beliau telah bangkit.

Pernah hilang arah dalam bersukan dan kemudian bangkit semula, Fuad memegang pendirian bahawa seni bela diri bukan sekadar sukan tetapi sebenarnya memang digunakan dari dulu lagi sebagai cara mempertahankan diri, katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg