Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penerbit podcast BH sedia uji diri di pentas Sukan SEA

Terpaut dengan jujitsu yang tuntut atlet fikir strategik atasi lawan
Nov 30, 2025 | 5:30 AM
jujitsu, natasha mustafa, sukan sea 2025, penerbit podcast, berita harian
Atlet jujitsu negara, Natasha Mustafa, yang juga Penerbit Podcast Berita Harian hadapi cabaran mengimbangi masa bekerja dan berlatih, tetapi tetap berjuang demi mengharumkan nama negara. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Sebagai penerbit podcast di Berita Harian (BH), Natasha Mustafa, 29 tahun, tampil sebagai suara BH yang menemu bual tetamu, mengupas isu semasa dan menyelami kisah masyarakat dengan jelas dan berempati.

Namun di luar studio, beliau melangkah ke dunia yang amat berbeza – latihan jujitsu yang lasak.

Dari studio podcast, Natasha kini bakal mewakili Singapura dalam acara jujitsu (Newaza – 63kg) di Sukan SEA di Thailand.

Perjalanan beliau bukan bermula dengan impian untuk menjadi atlet, tetapi disebabkan rasa ingin tahu dan mencari hobi yang akhirnya mengubah hidupnya.

Sebelum menceburi dunia jujitsu, Natasha bergiat dalam sukan Muay Thai.

Namun satu insiden mencetuskan titik perubahan yang tidak dirancang.

“Semasa Muay Thai, kepala saya pernah ditendang... Sakit! Jadi trauma jugalah sebenarnya,” ceritanya sambil ketawa.

Seorang rakan gim kemudian mengajaknya mencuba kelas percubaan jujitsu.

Pada mulanya beliau enggan dan ragu-ragu untuk mencuba sukan tersebut.

Menurutnya, sukan tersebut melibatkan banyak aksi yang memerlukan sentuhan rapat dan posisi yang kelihatan pelik.

“Tapi apabila saya cuba, saya rasa… eh ‘best’ juga. Jujitsu sebenarnya memerlukan kita berfikir, bagaimana untuk mengatasi lawan.

“Itu yang buat saya terpaut,” kongsi Natasha.

Saat Natasha menyarungkan (seragam) ‘gi’ buat kali pertama, beliau tidak pernah menyangka yang langkah itu akan membuka pintu kepada beliau untuk mewakili Singapura di Sukan SEA.

Apa yang bermula sebagai hobi pada 2021, bertukar menjadi serius.

“Apabila saya diberitahu nama saya akan didaftar untuk pemilihan Sukan SEA, saya tersentap,” katanya.

“Kini saya akan memikul nama negara. Tekanannya berada di tahap yang lain.”

Beliau pada mulanya kurang yakin dengan kebolehannya.

Namun jurulatih gimnya, Daryl Tan Kah Wee, mendorongnya untuk meneruskan penyertaannya, walaupun ada rasa takut.

“Jurulatih saya dulu wakil Singapura tapi tidak dapat ke Sukan SEA.

“Jadi saya sahut cabaran itu untuk sambung impian beliau,” ujarnya.

Namun perjalanan mendapatkan kelayakan tidak mudah.

Natasha perlu mengumpul ‘mata’ daripada pertandingan di luar negara untuk layak, perkara yang memerlukan pengorbanan masa dan wang.

Penentu kelayakan ke Sukan SEA jatuh semasa pertandingan Kejohanan Serantau Asia Tenggara 2025 pada Julai.

Jikalau beliau tidak berjaya mendapat tempat tiga teratas untuk mengumpul mata, peluang beliau ke Sukan SEA sangat tipis.

Oleh itu, beliau bertarung bermati-matian dan akhirnya berjaya meraih tempat ketiga.

Namun pada masa itu, Natasha tidak sedar beliau sudah dapat tempat ketiga.

“Saya ingat ada satu lagi perlawanan. Lepas tu pegawai perlawanan datang, cakap saya dapat tempat ketiga. Saya terus menangis,” katanya.

Di sebalik air mata itu, ada kelegaan, ada rasa syukur dan ada secebis kecil keyakinan yang akhirnya muncul selepas sekian lama beliau meragui kemampuan dirinya.

Sokongan keluarga pula tidak datang dalam bentuk sorakan kuat, tetapi dalam bentuk yang lebih halus.

Adik-beradiknya menyokong sejak awal, malah mengangkatnya sebagai contoh kepada wanita lain.

“Mereka kata jika orang lain lihat yang saya boleh melakukannya (sukan jujitsu), mesti ramai ingin cuba terutama dalam kalangan perempuan bertudung,” katanya.

Ayahnya pula pada mulanya ragu-ragu kerana memikirkan tentang masa depannya tetapi bangga.

Melalui cara ayahnya bertanya, “Training macam mana?”, cara beliau hulurkan makanan kesukaannya selepas sesi latihan panjang, membuat Natasha rasa terharu.

Bekerja di BH pula memerlukan komitmen yang tinggi.

Sebagai penerbit podcast, beliau perlu bersedia sepanjang masa, mengulang rakaman, memastikan semua aspek berjalan baik, membetulkan skrip dan menghadiri rakaman walaupun apabila kurang rehat.

“Sejujurnya memang sukar, tetapi penyunting dan rakan kerja saling menyokong,” kata Natasha.

Selain itu, beliau juga mengalami beberapa kecederaan kepada bahagian belakang, buku lali dan bahunya.

Namun baginya halangan terbesar bersifat mental.

“Ada hari semuanya rasa tidak kena.. kadangkala ada juga hari yang saya persoalkan keputusan saya,” katanya.

“Tetapi saya selalu ingatkan diri sendiri, orang lain tidak mendapat peluang ini, jadi saya perlu berikan segalanya.”

Di Sukan SEA nanti, Natasha ingin menguji dirinya dan menetap sasaran untuk mendapatkan pingat.

“Saya cuma ingin lakukan yang terbaik. Nak uji diri dan kedudukan saya,” ujar beliau.

Apabila ditanya apa yang beliau mahu lakukan setelah Sukan SEA selesai, beliau ketawa.

“Sudah tentu tidur, rasakan nikmat makan banyak dan luangkan masa bersama keluarga,” katanya.

Ada hari semuanya rasa tidak kena.. kadangkala ada juga hari yang saya persoalkan keputusan saya. Tetapi saya selalu ingatkan diri sendiri, orang lain tidak mendapat peluang ini, jadi saya perlu berikan segalanya.
Natasha Mustafa.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg