Topik diikuti
Pergi ke BHkuSrikandi muda bukti keupayaan dalam aksi sulung pentas silat Asia; raih pingat perak
Srikandi muda bukti keupayaan dalam aksi sulung pentas silat Asia; raih pingat perak
Matlamat Quraifah Aqiffah Muhammad Suria dalam pertandingan peringkat senior pertamanya jelas – berdiri di atas podium dan membuktikan keupayaan dirinya.
Srikandi berusia 18 tahun ini berjuang berhabis-habisan untuk melangkah ke final kelas D Wanita (60-65 kilogram) Kejohanan Pencak Silat Asia Ke-10 2026 di Vietnam.
Meskipun genggaman emas dalam penampilan sulungnya itu terlepas daripadanya selepas ditewaskan 10-40 oleh pesilat berpengalaman dari Indonesia, Atifa Fismawati, keputusan meraih pingat perak itu tetap satu pengalaman yang membanggakan.
Quraifah menyumbang sebutir pingat perak antara 15 pingat yang diraih oleh skuad silat Singapura setelah bersaing di Kejohanan Asia yang berlangsung dari 17 hingga 22 Julai.
Bagi Quraifah, kejohanan tersebut merupakan satu ‘peluang besar’ yang menjadi landasan untuk beliau mencapai lebih kejayaan yang gemilang.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Quraifah berkata:
“Saya memberikan segala usaha dan tumpuan terhadap kejohanan ini sejak saya diberitahu bahawa saya akan bertanding. Saya juga merupakan antara pesilat paling muda, jadi saya benar-benar ingin membuktikan keupayaan saya.”
Peluang mewakili skuad silat negara di Kejohanan Asia 2026 bukanlah sesuatu yang datang bergolek untuk Quraifah.
Beliau mula menyertai skuad negara sejak 2021, dan berjaya meraih pingat emas di Kejohanan Pencak Silat Belia Dunia dan Asia pada 2024.
“Kemenangan itu menjadi dorongan untuk saya terus berjuang untuk mendapat peluang beraksi di peringkat senior pula,” tambah anak didik perguruan Seni Grasio itu.
Beliau juga merupakan finalis bagi anugerah Olahragawati Muda Terbaik bagi Anugerah Sukan Singapura 2025.
Daripada berjinak-jinak dalam pencak silat sejak 2015, Quraifah kini amat bersyukur dapat merealisasikan matlamatnya untuk berdiri di atas podium kejohanan sebagai atlet senior.
“Pencapaian ini amat bermakna bagi saya. Pengalaman sepanjang kejohanan ini akan memperkukuhkan daya ketahanan mental saya dan menjadi pemangkin untuk memberikan cabaran lebih baik dalam kejohanan akan datang.”
Laluan Quraifah ke perlawanan akhir di Vietnam bukanlah penuh berliku.
Beliau berdepan ujian getir dalam perlawanan pembukaannya apabila perlu menentang juara bertahan Kelas D Wanita dari edisi kesembilan kejohanan itu, iaitu wakil tuan rumah, Nguyen Thi Thuy Trang.
Namun, Quraifah kekal tenang dan mencatatkan kejutan apabila menewaskan Nguyen 31-23 dalam saingan suku akhir itu.
Meneruskan momentum baik itu ke dalam perlawanan separuh akhir, Quraifah kemudian menguasai lawan dari Kazakhstan, Ismurzina Aknur-Aiym, 31-17.
Namun, perjuangan Quraifah tersekat oleh seteru berpengalaman dari Indonesia, Atifa, yang pernah bergelar juara dunia, juara Asia dan Sukan SEA.
Prestasi membanggakan itu hasil persiapan rapi Quraifah.
“Persiapan saya, terutamanya fasa latihan intensif dari pagi hingga malam, membenarkan saya mempertingkatkan kemahiran sambil berseronok dengan rakan seperjuangan saya,” kata Quraifah.
Di sebalik pencapaian membanggakan itu, Quraifah, pelajar tahun kedua di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central jurusan Nitec Lanjutan Pengurusan Sukan, turut berkongsi cabaran yang dihadapinya dalam mengimbangi tuntutan pelajaran dan latihan.
“Kadangkala, saya tidak dapat menghadiri sesi latihan tengah hari... hanya yang malam kerana perlu menyelesaikan kerja sekolah.
“Saya amat bersyukur kerana mereka menganjurkan sesi latihan intensif (selama 10 hari sebelum berangkat ke Vietnam). Ia seolah-olah menggantikan semula sesi latihan yang saya terlepas.”
Prestasi Quraifah juga didorong sokongan jurulatih dan ahli keluarganya.
Quraifah, anak kedua antara empat adik-beradik, merasai sokongan padu keluarganya walaupun jauh dari Singapura.
Quraifah berharap pingat perak terkini mampu memberi inspirasi kepada dua adik lelakinya, yang juga berjinak-jinak dalam pencak silat.
Kini, beliau berazam menyarung seragam skuad silat negara di pentas Kejohanan Pencak Silat Dunia pula, yang dijadual berlangsung di Uzbekistan pada Disember ini.
“Ia merupakan satu lagi peluang yang besar jika saya dapat mewakili negara ke Kejohanan Dunia. Saya akan berlatih bersungguh-sungguh demi memburu satu lagi pingat buat Singapura,” ujar Quraifah.
