Topik diikuti
Pergi ke BHkuBelajar silat di YouTube, kini bergelar juara Asia
Belajar silat di YouTube, kini bergelar juara Asia
Pada 2020, ketika berusia 12 tahun, Muhammad Farrel Danish Mohamed Farid memanfaatkan YouTube untuk mempelajari rutin seni asas silat secara sendirian.
Beliau sering meniru gerak-geri pesilat Indonesia yang mempersembahkan Jurus Harimau dan Jurus Helang.
Minat mendalam itu akhirnya membuahkan hasil – berdiri di atas podium meraikan kemenangan enam tahun kemudian pada 2026.
Kini berusia 18 tahun, Farrel berjaya merangkul pingat emas sulungnya bagi kategori senior di Kejohanan Pencak Silat Asia Ke-10 2026 yang berlangsung di Vietnam dari 17 hingga 22 Julai.
Dalam acara final Solo Kreatif Putera yang sengit, Farrel berjaya mengatasi pesilat tuan rumah, Cao Tuan, 9.965-9.945 dalam persaingan yang sengit.
Pertemuan terakhir antara dua pesaing ini adalah dalam edisi belia kejohanan tersebut pada 2025, yang menyaksikan Farrel terpaksa menelan kepahitan menanggung kekalahan.
Namun kali ini, Farrel berjaya melengkapkan kebangkitannya, sekali gus menjadikan pingat emas kali ini terasa jauh lebih bermakna.
“Sudah lama saya berusaha untuk meraih pencapaian ini. Saya gembira segala pengorbanan dan kerja keras saya akhirnya berbaloi.
“Ia juga lebih bermakna untuk saya kerana saya perlu mengatasi pencabar yang dianggap gergasi silat di rantau ini,” kata anak kedua dalam keluarga tiga beradik.
Beliau menyertai skuad negara sejak 2021, dan baru sahaja mula bersaing di kategori senior pada tahun ini.
Setelah memungut beberapa pingat emas dalam kategori belia, Farrel akui dahagakan gelaran sebagai juara dalam kategori senior.
Beliau hampir mencapai azam itu semasa Kejohanan Silat Terbuka Piala Cekak Harimau di Pahang, Malaysia pada Mei lalu, namun terlepas peluang merebut emas pertamanya setelah hanya mampu meraih pingat perak.
Lantas, beliau akhirnya menamatkan kemarau meraih pingat emas bagi kategori senior.
Namun, anak didik perguruan Seni Grasio ini mengakui terpaksa mengharungi beberapa cabaran, sehingga ke pagi perlawanan final pada 22 Julai.
Beliau ‘dihantui’ detik ditewaskan oleh Cao Tuan semasa Kejohanan Pencak Silat Asia Belia pada 2025, di mana beliau kalah dengan jurang lima mata.
“Sukar untuk saya tidur lena pada malam sebelumnya kerana saya asyik terfikir tentang final pada hari berikutnya.
“Saya akhirnya tersedar pada 4.30 pagi. Saya mandi, solat dan kemudian duduk di luar hotel untuk tenangkan fikiran.
“Sekitar satu jam setengah kemudian, saya menemui rakan sepasukan yang memberikan kata-kata dorongan,” ceritanya.
Akhirnya, jurulatih dan rakan sepasukan yang membakar semangat beliau dengan mengungkit detik beliau mengejutkan seteru handalan Indonesia, Asep Yuldan Sani, dengan jurang hanya 0.05 mata sahaja di peringkat separuh akhir.
Asep, berusia 33 tahun, pernah memenangi beberapa pingat emas bagi acara seni Regu Putera di Kejohanan Dunia, Kejohanan Asia dan Sukan Sea.
“Jika saya boleh mengatasi lawan handal seperti itu, sudah tentu saya berpotensi merebut pingat emas. Kata-kata dan dorongan itulah yang menyemarakkan semangat saya” kata Farrel.
Kemenangan itu juga hasil keringat dan disiplin semasa latihan.
Selain dibimbing jurulatih kanan, Nur Fazlin Juma’en, Farrel berpeluang bekerjasama dengan jurulatih baharu dari Indonesia, Erik Rukmana.
Erik, yang mempunyai pengalaman sebagai jurulatih di persaingan tempatan Indonesia serta sebagai seorang juru stunt, meneliti rutin Farrel yang sebelumnya.
Farrel berkata:
“Beliau membuat beberapa perubahan kepada koreografi saya. Saya juga memerhatikan bagaimana gerakan tajam dan mantap beliau memukau penonton.”
Kini, tumpuan pendekar muda ini beralih ke Kejohanan Pencak Silat Dunia yang dijadualkan berlangsung Disember ini di Uzbekistan.
Beliau menyifatkan pengalaman di Kejohanan Asia baru-baru ini telah memberi gambaran awal tentang tahap pesaing yang bakal ditemuinya kelak.
“Pingat emas ini hanyalah langkah pertama, ia menjadi pemangkin untuk saya terus bekerja keras untuk kejohanan besar seterusnya,” kata Farrel.
