Skuad Silat Singapura membawa pulang 15 pingat – sebutir emas, sebutir perak dan 13 gangsa – setelah beraksi di Kejohanan Pencak Silat Asia Ke-10 2026 di Vietnam.

Dari 17 hingga 22 Julai, pendekar dan srikandi Singapura bersaing dalam 14 acara tanding dan lapan kategori seni.

Muhammad Farrel Danish Mohamed Farid menyumbang satu-satunya pingat emas buat negara selepas menewaskan wakil tuan rumah, Cao Tuan, 9.965-9.945 dalam aksi sengit final acara Kreatif Solo Putera.

Sementara itu, jurulatih kanan skuad seni, Nur Fazlin Juma’en, turut diiktiraf atas kecemerlangan beliau apabila dinobatkan sebagai jurulatih terbaik kejohanan itu.

Selain sumbangan emas daripada Farrel, anak didik seni turut menyumbang lima pingat gangsa kepada kutipan pingat keseluruhan Singapura.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Nur Fazlin mengakui tidak menyangka akan menerima anugerah tersebut, namun beliau tetap bersyukur atas pengiktirafan pertama peribadinya sejak bergelar jurulatih pasukan nasional sejak 2021.

“Saya amat bersyukur menerima anugerah ini, terutamanya kerana sudah ada ramai jurulatih termasyhur dari rantau ini.

“Anugerah ini juga hasil bimbingan daripada jurulatih lebih berpengalaman di sekeliling saya,” kongsi Nur Fazlin.

Sebelum bergelar jurulatih kanan di skuad nasional, Nur Fazlin pernah beraksi untuk skuad negara dari 2010 hingga 2016 dalam acara seni Regu dan Ganda.

Berjinak-jinak menjadi jurulatih di Grasio Association (Singapura) sejak 2010, Nur Fazlin menganggap anugerah tersebut menjadi pemangkin untuk beliau terus mempertingkatkan kemahiran sebagai jurulatih demi membimbing 32 anak didik seni.

“Tugas ini lebih daripada sekadar melatih anak didik. Sebagai jurulatih, mereka melihat kami sebagai teladan dari segi tingkah laku dan jati diri. Oleh itu, saya mahu terus menjadi contoh terbaik buat mereka,” kongsi Nur Fazlin.

Menurutnya, 13 pesilat seni telah mempamerkan aksi yang memberangsangkan semasa kejohanan itu.

Beliau berasa puas hati apabila strategi memperkasakan rutin Tunggal dan Regu agar lebih mantap dan tajam – serupa dengan skuad gergasi seperti Indonesia – mula membuahkan hasil.

Beliau juga bangga dengan keyakinan pesilat acara Solo dan Ganda Kreatif yang berjaya mempersembahkan rutin yang 80 peratus baharu.

Bagi kategori seni, acara Tunggal, Ganda dan Regu memerlukan pesilat mempersembahkan rutin serta gerakan tetap pada tahap terbaik. Sebaliknya, acara Kreatif memberikan kebebasan kepada mereka untuk mencorak rutin sendiri.

“Pesilat kami bersungguh-sungguh berlatih, meskipun perlu mengimbangi tuntutan kerja sepenuh masa dan sekolah,” tambah Nur Fazlin.

Barisan pesilat bagi kategori tanding turut mempamerkan semangat juang tinggi di gelanggang, dengan merangkul sebutir pingat perak dan lapan gangsa.

Quraifah Aqiffah Muhammad Suria meraih pingat perak itu, setelah ditewaskan oleh lawan dari Indonesia, Atifa Fishmawati, 10-40 dalam pertarungan akhir Kelas D Wanita (60-65 kilogram).

Mengulas prestasi pesilat tanding secara keseluruhannya, ketua jurulatih Rafili Ramli berkata:

“Saya percaya pesilat kami dan lawan dari rantau ini berada pada tahap kekuatan fizikal dan teknik perlawanan yang seimbang. Pesilat kami juga telah menunjukkan semangat juang kental.

“Kini, kami perlu terus berusaha mempertingkatkan daya ketahanan mental mereka.”

Beliau merasakan kemampuan mempertahankan strategi dan kekal tenang dalam situasi perlawanan yang sengit perlu terus diperkukuh bagi membantu anak didiknya mencapai kemenangan.

Selain itu, beliau berharap kejohanan itu memberi pengalaman penting untuk atlet mereka menyesuaikan diri dengan peraturan baharu.

Peraturan baharu itu, yang dikuatkuasakan sejak Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Terbuka Belgium pada April lalu, tidak lagi membenarkan teknik bergelut dan menarik lawan, sebaliknya lebih mengutamakan mata menerusi asakan dan tendangan.

Kini, skuad silat negara akan memberi tumpuan kepada kejohanan utama seterusnya, iaitu Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-21 yang bakal berlangsung di Uzbekistan pada Disember.

Menjelang kejohanan itu, Rafili berkongsi rancangan untuk terus mengasah keupayaan serta daya ketahanan mental menerusi pertandingan di luar negara, seperti di Indonesia, yang mempunyai tahap pertandingan tempatan yang lebih sengit.

Pada April, mereka juga membawa masuk enam jurulatih baharu dari Indonesia dan Malaysia – lima bagi kategori tanding dan seorang jurulatih seni.

Menurut Rafili, pendekatan tersebut bukan sahaja membantu menyediakan latihan secara lebih bersasar, malah mempermudah proses memantau kemajuan para atlet.