SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Roberto De Zerbi muncul sebagai calon utama Spurs

Roberto De Zerbi muncul sebagai calon utama Spurs

Jurulatih asal Italy sedia bimbing pasukan; penyokong lahir kebimbangan
Mar 31, 2026 | 1:49 PM

Roberto De Zerbi muncul sebagai calon utama Spurs

Roberto De Zerbi, Spurs, pengurus Tottenham
Bekas pengurus Olympique de Marseille, Roberto De Zerbi, muncul sebagai calon utama untuk mengambil alih sebagai ketua jurulatih pasukan Tottenham Hotspur. Walaupun beliau pernah dikatakan lebih cenderung memilih untuk mengambil alih pada hujung musim, kini beliau terbuka untuk terima jawatan tersebut secara serta-merta. - Foto AFP

LONDON: Tottenham Hotspur kini dilaporkan berada di peringkat rundingan lanjut untuk mendapatkan Roberto De Zerbi.

Bekas pengendali Brighton & Hove Albion itu dikatakan sudah bersedia mengambil alih pasukan dengan serta-merta.

Sebelum ini, terdapat beberapa laporan yang menyatakan bahawa jurulatih dari Italy itu terbuka untuk menggalas peranan ketua jurulatih Spurs, namun lebih cenderung untuk menunggu sehingga musim berakhir.

Kini, Spurs dilihat memperkuatkan usaha mereka untuk memuktamadkan perjanjian dalam masa terdekat.

Perbincangan antara kededua pihak dikatakan berjalan lancar dan positif, dengan ada yang mengatakan bahawa kesepakatan akhir semakin dekat.

Ia juga difahamkan bahawa Spurs bersedia menawarkan kontrak jangka panjang kepada jurulatih berusia 46 tahun itu.

De Zerbi kini tidak terikat dengan mana-mana kelab selepas meninggalkan Olympique de Marseille pada Februari lalu.

Ketika ini, Spurs berada di tangga ke-17 Liga Perdana England (EPL), hanya satu mata di atas zon penyingkiran, dan masih belum mencatat sebarang kemenangan liga sepanjang 2026.

Ketua jurulatih sementara, Igor Tudor, meninggalkan kelab pada 29 Mac selepas hanya 44 hari mengendali pasukan.

Ketua pegawai eksekutif Spurs, Vinai Venkatesham, dan pengarah sukan Johan Lange kini dipertanggungjawabkan mencari pengganti.

Keputusan untuk berpisah dengan Tudor difahamkan dibuat susulan kekalahan 0-3 kepada Nottingham Forest pada 22 Mac, namun pihak kelab memberi ruang kepadanya untuk mengurus diri atas pemergian bapanya pada hujung minggu tersebut.

Pada masa sama, beberapa kumpulan penyokong Spurs menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan pelantikan De Zerbi, khususnya berkaitan sokongannya terhadap bekas penyerang Manchester United, Mason Greenwood.

Greenwood, 24 tahun, meninggalkan United untuk menyertai Marseille di bawah kendalian De Zerbi pada 2023 selepas pertuduhan terhadapnya, termasuk cubaan merogol dan serangan, digugurkan.

Ketika di Perancis, De Zerbi pernah menyifatkan Greenwood sebagai “individu yang baik” yang telah “membayar harga yang mahal” atas masa silamnya.

Sementara itu, bekas pengurus Forest, Sean Dyche, turut dipertimbangkan sebagai pilihan jangka pendek.

Dyche, yang kini bebas selepas dipecat pada Februari lalu, dikenali dengan rekodnya membantu kelab kekal dalam EPL, satu kelebihan penting memandangkan Spurs berdepan ancaman penyingkiran.

Namun begitu, Dyche difahamkan mahukan kontrak sekurang-kurangnya 18 bulan jika dilantik, yang mungkin menyukarkan rundingan.

Nama Mauricio Pochettino juga menjadi pilihan ramai penyokong berdasarkan kejayaannya sebelum ini bersama Spurs.

Namun, komitmennya bersama pasukan kebangsaan Amerika Syarikat menjelang Piala Dunia musim panas ini menjadikan pemindahan segera sukar direalisasikan.

Beberapa calon lain yang mempunyai kaitan dengan Spurs seperti Ryan Mason, Harry Redknapp dan Tim Sherwood dikatakan bersedia mengambil alih secara sementara sehingga akhir musim.

Malah, pemain semasa Ben Davies turut dipertimbangkan sebagai penyelesaian jangka pendek.

Bekas pemain Spurs seperti Glenn Hoddle dan Chris Hughton juga disebut sebagai calon sementara. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg