Topic followed successfully
Go to BHkuRosenior mula dikritik, sokongan pemain jadi tanda tanya
Rosenior mula dikritik, sokongan pemain jadi tanda tanya
Rosenior mula dikritik, sokongan pemain jadi tanda tanya
LONDON: Liam Rosenior mula menerima kritikan walaupun beliau baru menggalas tanggungjawab sebagai pengurus Chelsea.
Namun persoalannya, adakah kritikan itu wajar, dan adakah pemain benar-benar menyokong beliau menjelang penghujung musim?
Kekalahan 0-3 kepada Everton pada 22 Mac menyaksikan Chelsea tewas empat perlawanan berturut-turut, sesuatu yang tidak berlaku sejak 2023.
Mereka kini berada di tangga keenam Liga Perdana England (EPL), dengan kedudukan kelima berpotensi cukup untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan.
Prestasi semasa menjadi kebimbangan memandangkan cita-cita kelab untuk kembali ke pentas elit Eropah.
Namun begitu, Chelsea hanya ketinggalan satu mata di belakang Liverpool selepas kekalahan mereka kepada Brighton & Hove Albion.
Jurang dengan Manchester United dan Aston Villa pula semakin melebar, menjadikan mereka kini enam mata ketinggalan belakang tempat keempat.
Di dalam kelab, tiada petanda bahawa Rosenior bakal kehilangan jawatannya, sama ada dalam masa terdekat atau selepas musim berakhir.
Pihak pengurusan memahami beliau mengambil alih pasukan di pertengahan musim selepas Enzo Maresca meninggalkan kelab susulan konflik dalaman, walaupun sebelum itu mereka berharap beliau kekal sekurang-kurangnya hingga musim panas.
Sokongan terhadap Rosenior masih kukuh. Beliau, yang terikat hingga 2032, turut terlibat secara aktif dalam perancangan pemindahan bersama pengarah sukan Paul Winstanley dan Laurence Stewart.
Selepas tempoh rehat antarabangsa, Chelsea akan menentang Port Vale dalam suku akhir Piala FA, sebelum berdepan Manchester City dan Manchester United di Stamford Bridge.
Rosenior mempertahankan dirinya dengan menyatakan bahawa pasukan hanya sempat bermain 10 perlawanan liga di bawah kendaliannya.
Dalam tempoh itu pasukannya memperolehi 17 mata, prestasi yang jika diambil kira dalam tempoh itu, meletakkan pasukan itu di kelompok empat teratas.
Namun, selepas hanya satu kemenangan dalam enam perlawanan terakhir liga, Chelsea kini kembali merosot.
Masalah kecederaan dan disiplin terus menghantui pasukan, manakala Rosenior turut mengaitkan jadual padat sebagai punca mereka sering kalah dari segi intensiti larian.
Sejak awal musim lalu, Chelsea telah mengharungi 113 perlawanan, jumlah paling banyak dalam kalangan kelab EPL, termasuk kejayaan di pentas Eropah dan kejohanan dunia kelab.
Tempoh rehat antara musim juga sangat singkat, hanya sekitar 35 hari.
Sebagai langkah mengatasi keletihan, Chelsea telah melakukan 99 perubahan kesebelasan utama musim ini, jumlah tertinggi dalam liga.
Pada peringkat awal, Rosenior banyak mengekalkan pendekatan Maresca kerana kekangan masa latihan.
Hasilnya, beliau mencatat tujuh kemenangan dalam sembilan perlawanan pertama.
Namun selepas mempunyai lebih masa untuk menerapkan falsafah sendiri, prestasi pasukan mula merosot.
Masalah disiplin, intensiti dan fokus kembali menjadi isu, termasuk kad merah dalam beberapa perlawanan.
Beliau juga mengakui perlu mengurus giliran pemain dengan lebih baik, selain menerima kritikan kerana belum menetapkan penjaga gol utama, terutama selepas prestasi tidak konsisten Robert Sanchez.
Kritikan bukan sahaja ditujukan kepada Rosenior.
Penyokong Chelsea mula menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pemilik kelab dan merancang mengadakan bantahan menjelang perlawanan menentang Manchester United.
Prestasi hambar di Goodison Park turut menimbulkan persoalan tentang tingkah laku pemain sepanjang perlawanan.
Naib kapten Enzo Fernandez sebelum ini menyatakan bahawa pasukan kehilangan identiti selepas pemergian Maresca, walaupun Rosenior menegaskan kenyataan itu disalah tafsir dan dibuat dalam keadaan emosi.
Terdapat juga spekulasi pemindahan pemain melibatkan Fernandez, dengan Real Madrid dan Paris Saint-Germain dilaporkan berminat. – Agensi berita.

