Topik diikuti
Pergi ke BHkuPiala Dunia: Dari tenis ke bola sepak, New York lancar zon peminat percuma
Piala Dunia: Dari tenis ke bola sepak, New York lancar zon peminat percuma
Antara lima lokasi seperti itu dirancang di seluruh bandar
Piala Dunia: Dari tenis ke bola sepak, New York lancar zon peminat percuma
NEW YORK: Gelanggang yang selama ini sinonim dengan kejohanan tenis Terbuka Amerika Syarikat bakal bertukar wajah daripada sukan tenis kepada bola sepak, sempena pertandingan Piala Dunia 2026.
Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani, mengumumkan bahawa lokasi di Queens itu akan menjadi zon peminat Piala Dunia terbesar daripada lima lokasi percuma yang dirancang di seluruh bandar tersebut.
Menurut pihak berkuasa, Pusat Tenis Nasional Billie Jean King Usta itu dijangka mampu menampung sehingga 10,000 pengunjung pada satu-satu masa antara 11 dengan 27 Jun.
Selain itu, beberapa lokasi lain turut disediakan di Manhattan, Bronx, Brooklyn dan Staten Island.
“Pada awalnya, acara-acara ini tidak ditetapkan sebagai percuma, namun permainan bola sepak sepatutnya milik dunia,” kata Mamdani.
“Kami telah membuat keputusan bersama untuk menjadikan acara ini menjadi tempat di mana peminat dapat menyaksikan perlawanan bersama tanpa perlu berbelanja.”
Di Manhattan, perhimpunan peminat akan berlangsung di Pusat Rockefeller dari 6 hingga 19 Julai.
Acara lebih kecil pula akan diadakan di Bronx Terminal Market dan Staten Island University Hospital Community Park Staten Island.
Sementara itu, Taman Brooklyn Bridge akan menjadi lokasi salah satu zon peminat yang akan berlangsung dalam tempoh paling lama, dari 13 Jun hingga 19 Julai.
Inisiatif tersebut dilihat sebagai usaha memastikan penyokong tempatan tidak tersisih akibat kenaikan harga tiket pertandingan itu, yang semakin mendapat kritikan daripada kumpulan peminat dan penggubal undang-undang.
Mamdani menegaskan bahawa bola sepak berakar daripada golongan pekerja, namun harga tiket semasa berada di luar jangkauan ramai.
“Bola sepak adalah permainan yang lahir daripada golongan kelas pekerja,” katanya.
“Harga tiket yang kita lihat sekarang bukanlah sesuatu yang mampu dibayangkan pun oleh ramai daripada golongan pekerja.”
Zon-zon peminat tersebut akan menawarkan tayangan langsung perlawanan, gerai makanan serta program kebudayaan.
Lebih banyak kegiatan masyarakat dan acara tambahan dijangka diumumkan dalam beberapa minggu akan datang.
Gabenor New York, Kathy Hochul, pula menjangkakan kawasan lebih luas tersebut akan menerima lebih sejuta pelawat dengan kesan ekonomi sekitar AS$3.3 bilion ($4.2 bilion).
Beliau turut mengumumkan beberapa langkah sokongan seperti pelanjutan waktu operasi perniagaan, permit untuk tontonan luar bersama serta acara tontonan di seluruh negeri.
Mengenai aspek keselamatan, Mamdani berkata persiapan sedang diselaraskan bersama pihak polis dan agensi berkaitan, bagi mengambil kira kebimbangan keselamatan menyusuli kejadian keganasan politik baru-baru ini di negara itu.
“Ini merupakan acara di mana warga New York boleh bersuka ria tanpa rasa takut,” katanya.
“Kami yakin dalam kebolehan kami untuk memastikan warga kami selamat.”
Kawasan New York-New Jersey akan menjadi tuan rumah bagi lapan perlawanan termasuk perlawanan final pada 19 Julai, manakala kejohanan Piala Dunia akan bermula pada 11 Jun di Amerika Syarikat, Mexico dan Canada. – Agensi berita.
