Pendaftaran bagi Maraton BYD Antarabangsa Singapura telah dibuka pada 27 April.

Dibawakan oleh jenama sukan terkemuka dunia Adidas, acara tersebut akan berlangsung dari 4 hingga 6 Disember.

Namun, ia dibelenggu oleh masalah pembayaran di laman web acara tersebut, dengan beberapa peserta membangkitkan isu berkenaan di media sosial.

Sebahagian daripada mereka menyatakan di laman Instagram acara itu bahawa kad kredit mereka telah dicaj, tetapi pendaftaran mereka tidak berjaya.

Tinjauan The Straits Times (ST) mendapati walaupun ada yang berjaya mendaftar, terdapat juga mereka yang tidak dapat berbuat demikian dan masih menunggu respons pihak penganjur.

Salah seorang daripada mereka memberitahu ST bahawa beliau mengalami masalah ketika cuba mendaftar sekitar 10 pagi. Beliau adalah eksekutif pentadbiran yang hanya mahu dikenali sebagai Wendy, 38 tahun.

“Saya kirim mesej kepada mereka (penganjur) melalui Instagram dan mereka memberitahu bahawa mereka akan menghubungi saya semula, jadi saya masih menunggu susulan daripada mereka untuk menyelesaikan isu ini.

“Saya mendaftar bagi acara separuh maraton dan suami saya mendaftar untuk maraton penuh. Kami cuba menggunakan PayNow sebagai kaedah pembayaran sebanyak dua kali tetapi ia berakhir dengan pendaftaran tidak berjaya.

“Saya masih menunggu mereka untuk meneruskan pendaftaran saya kerana saya masih mahu menyertai perlumbaan ini,” kongsinya.

Sementara itu, seorang penjawat awam berusia 58 tahun, Encik Lim Han Chee, berkata:

“Ia berjalan lancar, tetapi... adalah lebih membantu sekiranya penaja baru dan penganjur menghantar e-mel peringatan kepada peserta terdahulu untuk menjemput mereka mendaftar.

“Nampaknya, terdapat sedikit jurang dalam usaha jangkauan tersebut.”

Yuran penyertaan bagi peserta tempatan ialah $168 bagi separuh maraton dan $188 bagi maraton penuh, manakala peserta antarabangsa membayar $188 dan $208 masing-masing bagi acara perlumbaan 21.1 kilometer (km) dan 42.195 km.

Ketika dihubungi, jurucakap SG International Marathon Pte Ltd berkata:

“Kami menerima lebih 4,500 pendaftaran setakat 5 petang pada hari pertama pendaftaran Maraton BYD Antarabangsa Singapura yang dibawakan oleh Adidas.

“Kira-kira 400 orang mengalami masalah teknikal yang menjejas transaksi mereka dan kami sedang bekerjasama dengan portal pembayaran berkaitan untuk menyelesaikan perkara ini.

“Semua peserta terjejas akan menerima bayaran balik bagi caj berganda, dan slot pendaftaran mereka akan tetap diiktiraf.

“Jika mereka perlukan butiran lanjut, mereka boleh menghubungi SG International Marathon Pte Ltd di info@singaporeinternationalmarathon.com.”

Sebelum ini, penganjur mengumumkan pada 27 April bahawa lebih banyak wang hadiah akan ditawarkan kepada peserta Singapura yang bertanding dalam kejohanan kebangsaan di maraton tersebut.

Embed Financial Group Holdings (EFGH) diumumkan sebagai rakan penamaan bagi kejohanan kebangsaan tersebut, dengan jumlah keseluruhan hadiah wang meningkat hampir dua kali ganda kepada $177,500.

Pemenang akan menerima $30,000 – tiga kali ganda lebih tinggi berbanding edisi lalu.

Sementara naib juara akan membawa pulang $15,000 dan tempat ketiga menerima $10,000.