Sorakan gemuruh daripada tepi padang, semangat mewakili negara dan jiwa daya saing yang membara telah mencetuskan pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central apabila mereka menyertai satu kejohanan bola sepak bertemakan Piala Dunia 2026.

Kejohanan tersebut melibatkan 48 pasukan yang terdiri daripada 480 pemain daripada ITE Kolej Central, dengan setiap pasukan ‘mewakili’ pasukan negara yang bertanding dalam Piala Dunia.

Ia juga merupakan kejohanan bola sepak 7 sepasuk berinspirasikan Piala Dunia yang pertama dianjurkan pada skala sebegini, sekali gus menerima pengiktirafan daripada Buku Rekod Singapura sebagai kejohanan bola sepak 7 sepasuk terbesar di Singapura.

Penjaga gol pasukan ‘Maghribi’, Ariq Rizqi Muhammad Nur Alif (tengah), mempamerkan semangat juang dalam kejohanan bola sepak ITE Kolej Central.
Penjaga gol pasukan ‘Maghribi’, Ariq Rizqi Muhammad Nur Alif (tengah), mempamerkan semangat juang dalam kejohanan bola sepak ITE Kolej Central. - Foto BH oleh IZZ-ALMATIN

Antara pemain yang bertanding ialah penjaga gol pasukan ‘Maghribi’, Ariq Rizqi Muhammad Nur Alif, yang berkongsi dengan Berita Harian (BH) bahawa peluang untuk bersaing dalam kejohanan 48 pasukan itu merupakan sesuatu yang tidak akan dilupakannya.

“Saya berasa gembira dan bersyukur dapat bermain bersama kawan-kawan saya. Harapan saya adalah melakukan yang terbaik,” kata pelajar tahun pertama kursus Produksi Filem dan Video berusia 16 tahun itu.

Ariq, yang melihat penjaga gol Singapura Izwan Mahbud sebagai idolanya, turut meletakkan sasaran tinggi buat dirinya sepanjang kejohanan tersebut, dengan semangat berkobar-kobar untuk mempamerkan bakatnya di pentas ‘dunia’.

“Saya suka cara beliau (Izwan) yang selalu lantang, berani dan yakin mengarah pemain pertahanannya, dan saya juga akan cuba lakukan yang sama untuk kejohanan ini,” kata Ariq.

Selain aksi di padang, pihak penganjur turut menyediakan peluang pembangunan untuk pelajar cemerlang.

Seramai 18 pelajar terpilih akan menyertai kejohanan bola sepak serta program khidmat masyarakat di Malaysia, manakala tiga pelajar terbaik pula bakal diberi peluang mengadakan lawatan ke kelab bola sepak di Eropah atau Asia.

Bagi pemain pasukan ‘Afrika Selatan’ pula, Mohamed Firas Irsyad Ali Amran, 17 tahun, kejohanan itu menjadi landasan untuk membuktikan kemampuannya di atas padang.

“Saya mahu menang pertandingan ini dan tunjuk yang kami juga boleh bermain walaupun ramai pemain yang lebih bagus di luar sana. Kami juga ada bakat tersendiri,” katanya.

Rakan sepasukannya, Sabbynaash Kumar, 18 tahun, pula berharap pasukannya mampu menamatkan kejohanan sebagai juara selain merebut peluang ke Eropah.

“Kalau boleh memang kami mahu jadi nombor satu dan dapat peluang ke Eropah,” katanya.

Menurut Sabbynaash, kehadiran legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad, selaku tetamu terhormat di acara pelancaran kejohanan tersebut yang diadakan di ITE Kolej Central pada 8 Mei, turut memberi motivasi tambahan kepada peserta.

“Beliau pernah bermain di Eropah dan itu memang menjadi impian saya juga. Bila lihat beliau datang untuk saksikan kami bermain, ia beri motivasi buat saya,” katanya.

Fandi turut berkata beliau gembira melihat sambutan hangat daripada golongan muda terhadap kejohanan tersebut.

“Saya rasa bangga melihat anak muda sekarang mahu mengejar impian mereka untuk mungkin menjadi pemain bola sepak pada masa depan,” katanya.

Menurut beliau, kejohanan seperti itu penting untuk membantu mencungkil bakat baru bola sepak tempatan.

“Saya tahu daripada 48 pasukan ini pasti ada pemain berbakat dan bermutu tinggi,” tambahnya.

Kejohanan itu turut mendapat sokongan Akademi Bola Sepak Lion City Sailors dan berlangsung sepanjang Mei dengan perlawanan diadakan setiap Jumaat di kampus ITE Kolej Central.

Perlawanan separuh akhir dan final akan berlangsung di tempat sama pada 29 Mei nanti.

Pelajar ITE Kolej Central bergembira dan menikmati suasana kejohanan bola sepak 7 sepasukan bertemakan Piala Dunia 2026 di kampus mereka.
Pelajar ITE Kolej Central bergembira dan menikmati suasana kejohanan bola sepak 7 sepasukan bertemakan Piala Dunia 2026 di kampus mereka. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Pensyarah Perniagaan dan Perkhidmatan merangkap penganjur kejohanan, Poh Kai Quan Gaelan, berkata idea bertemakan Piala Dunia dipilih bagi menyemai nilai positif dalam kalangan pelajar.

“Kami mahu membawa semangat Piala Dunia seperti kerja berpasukan, hormat dan semangat kesukanan kepada pelajar supaya mereka dapat mempelajari nilai ini semasa bermain,” katanya.

“Saya rasa bangga melihat anak-anak muda sekarang mengejar impian mereka untuk mungkin menjadi pemain bola sepak pada masa depan... Saya tahu daripada 48 pasukan ini pasti ada pemain berbakat dan berkualiti tinggi.”
Legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad, yang hadir sebagai tetamu terhormat di kejohanan tujuh sepasuk anjuran  ITE Kolej Central.

“Kami mahu membawa semangat Piala Dunia seperti kerja berpasukan, hormat dan semangat kesukanan kepada pelajar supaya mereka dapat mempelajari nilai ini semasa bermain.”
Poh Kai Quan Gaelan, wakil penganjur kejohanan bola sepak tujuh sepasuk ITE Kolej Central.

Saya mahu menang pertandingan ini dan tunjuk yang kami juga boleh bermain walaupun ramai pemain yang lebih bagus di luar sana. Kami juga ada bakat tersendiri.”
Peserta Kejohanan Bola Sepak Berinspirasikan Piala Dunia 2026, ITE Kolej Central, Mohamed Firas Irsyad Ali Amran.