Topik diikuti
Pergi ke BHkuDua beradik dalami pengajaran khas, teruskan legasi keluarga pendidik
Dua beradik dalami pengajaran khas, teruskan legasi keluarga pendidik
Ingin bina legasi tersendiri dengan perkasa pelajar punya autisme agar mampu berdikari, berperanan dengan yakin dalam masyarakat
Dua beradik dalami pengajaran khas, teruskan legasi keluarga pendidik
Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi?
Membesar dalam keluarga pendidik, bidang perguruan sememangnya sudah sebati dalam darah Cik Nur Aqilah Jamaludin dan adiknya, Cik Nur Aqidah Jamaludin.
“Sejak kecil, saya selalu ikut ibu ke acara sekolahnya dan perasan bagaimana bekas pelajar beliau sangat menghormatinya.
“Apabila saya lihat kesan yang beliau berikan kepada pelajarnya, saya rasa itu sesuatu yang saya juga ingin lakukan,” terang Cik Aqilah.
Namun, berbeza dengan ibu dan nenek mereka yang berkhidmat di sekolah arus perdana, dua beradik ini memilih haluan berbeza – mendidik dalam sektor pendidikan khas.
Kesan jangka panjang yang ditinggalkan ibu mereka, Cik Nooradelin Mohd Salleh, kini 59 tahun, yang masih disapa bekas pelajar sehingga kini, menyuntik inspirasi buat mereka untuk turut membawa perubahan dalam hidup generasi muda.
Kini, sebagai pendidik generasi ketiga dalam keluarga, Cik Aqilah, 33 tahun; dan Cik Aqidah, 23 tahun, ingin membina legasi tersendiri dengan memperkasa pelajar yang mempunyai autisme agar mampu berdikari dan berperanan dengan yakin dalam masyarakat.
Cik Aqilah merupakan guru di sekolah pendidikan khas AWWA School @ Bedok, manakala Cik Aqidah pula berkhidmat sebagai pembantu guru di sekolah yang sama.
Menurut Cik Aqilah, anak sulung enam beradik yang telah bertugas di sekolah itu sejak 2016, perjalanannya ke bidang pendidikan khas tidak berlaku secara langsung.
Beliau pernah berkhidmat sebagai guru kontrak di sekolah arus perdana, namun berasa kesannya tidak seperti yang diharapkan.
Selepas memperoleh ijazah sarjana muda dalam bidang psikologi daripada Universiti Buffalo pada 2016, beliau mula memahami dengan lebih mendalam tentang dunia pendidikan khas dan keadaan seperti autisme.
“Saya rasa orang awam sering kali ada salah tanggapan tentang autisme kerana media biasanya menggambarkan kanak-kanak yang mempunyai autisme sebagai individu yang sentiasa mengalami meltdown (mengamuk).
“Oleh itu, ramai anggap pekerjaan saya memerlukan kesabaran tinggi, tetapi sebenarnya bekerja dalam sektor ini tidaklah sesukar seperti yang orang bayangkan.
“Pelajar kami mampu melakukan banyak perkara, tetapi orang luar tidak berpeluang melihatnya.
“Mereka antara pelajar paling cemerlang dan bijak yang pernah saya ajar,” ujarnya.
Sebagai seorang guru, Cik Aqilah, yang juga berkelulusan Diploma dalam Pendidikan dan Pengajaran Khas dari Institut Pendidikan Nasional (NIE), mengajar seramai enam pelajar dalam satu kelas dengan memberi tumpuan kepada bahasa, pengiraan dan kemahiran hidup.
Menurutnya, yang juga mengetuai kurikulum seni AWWA School @ Bedok secara bersama, setiap kelas pendidikan khas biasanya mempunyai bilangan pelajar rendah supaya guru boleh memberi perhatian lebih tertumpu dan berkesan.
Walaupun guru seperti Cik Aqilah bertanggungjawab mengajar pelajar, pembantu guru seperti adiknya, Cik Aqidah, berperanan sebagai ‘mata kedua’ guru di dalam bilik darjah, dengan tugas memerhati dan menyokong keperluan pelajar dengan lebih dekat.
Beliau menyokong guru lain dengan menyediakan bahan visual dan menyokong mereka dalam pengendalian kegiatan bilik darjah.
Bagi Cik Aqidah, anak kelima enam beradik, minatnya dalam perkhidmatan sosial menjadi pemangkin untuk berkecimpung dalam bidang pendidikan khas.
Selepas mengikuti kursus Penjagaan Masyarakat dan Perkhidmatan Sosial di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur, serta menimba pengalaman di sebuah lagi sekolah pendidikan khas, beliau menyertai kakaknya di AWWA School @ Bedok pada 2023.
Antara detik paling mencabar dilaluinya adalah apabila pelajar mengamuk, terutama apabila mereka rasa tertekan, cemas atau tidak mampu menyampaikan keperluan mereka.
“Tetapi apa yang membuat saya terus bertahan adalah kemajuan kecil yang pelajar tunjukkan dari masa ke masa.
“Contohnya, mereka belajar menyuarakan keperluan dengan lebih tenang, sekali gus menunjukkan kepercayaan dan hubungan yang semakin terjalin.
“Detik seperti ini mengingatkan saya mengapa pekerjaan saya ini penting.
“Segalanya menjadi berbaloi apabila saya tahu saya dapat membantu pelajar membina kemahiran, keyakinan dan berdikari secara berperingkat,” luah Cik Aqidah.
Walaupun bekerja di tempat sama, kededua adik-beradik itu mengekalkan sempadan profesional yang jelas.
Malah, beberapa rakan sekerja pada awalnya tidak mengetahui hubungan kekeluargaan mereka kerana Cik Aqilah sengaja tidak menonjolkannya bagi mengelakkan jangkaan berlebihan terhadap adiknya.
Mereka tinggal di rumah berasingan tetapi jika berpeluang bertemu di perjumpaan keluarga, mereka jarang berbincang tentang kerja demi menjaga keseimbangan emosi.
Namun, mereka mengakui cabaran dalam pendidikan khas tetap tidak dapat dielakkan.
Menurut Cik Aqilah, cabaran terbesarnya adalah mengawal keterikatan emosi terhadap pelajarnya, sehingga sering memikirkan keperluan mereka di luar waktu kerja.
Malah, beliau pernah membelanjakan wang sendiri untuk membeli bahan mengajar ketika bercuti di luar negara.
Namun, segala pengorbanan itu berbaloi apabila beliau melihat perubahan kecil yang membawa makna besar.
“Satu contoh yang membuat saya terus bertahan dalam kerja ini adalah apabila seorang pelajar berusia sembilan tahun akhirnya tidak lagi perlu memakai lampin.
“Ini membolehkan ibunya membawanya bercuti ke luar negara buat kali pertama,” kongsi Cik Aqilah.
Dalam konteks pendidikan khas, adik-beradik itu menekankan bahawa kejayaan pelajar tidak diukur melalui gred, tetapi melalui perubahan yang meningkatkan mutu hidup mereka dan keluarga mereka.
Lebih daripada sekadar mendidik, mereka turut berusaha menghapuskan stigma masyarakat terhadap autisme.
Cik Aqilah menegaskan bahawa masyarakat sering mengaitkan autisme dengan tingkah laku negatif, sedangkan ramai individu autisme mempunyai potensi besar yang tidak disedari.
Malah, sebahagian daripada mereka berjaya berdikari dan bekerja di restoran dan membawa pulang gaji sendiri, tambahnya.
“Ramai orang menganggap orang autisme tidak mampu berdikari dan harus bergantung kepada orang lain buat selamanya. Ini tidak benar sekali,” tegas Cik Aqilah.
Di samping itu, Cik Aqidah menekankan bahawa pelajar autisme boleh berkembang maju dalam masyarakat selagi struktur dan sokongan sesuai wujud.
Beliau percaya pendekatan itu membantu pelajar autisme menjadi lebih berdikari dan yakin dalam menjalankan kehidupan mereka.
“Saya mahu lebih ramai penduduk Singapura faham bahawa pelajar autisme mampu menimba ilmu, berkembang dan menyumbang kepada masyarakat apabila diberikan sokongan tepat.
“Mereka mungkin belajar dengan cara berbeza atau mengambil masa lebih lama berbanding pelajar arus perdana.
“Namun, dengan kesabaran dan strategi betul, saya percaya mereka boleh membina kemahiran berkomunikasi, sosial serta kehidupan yang dapat membantu mereka bukan sahaja berjaya di sekolah, bahkan juga dalam masyarakat,” tambah Cik Aqidah.
