Topik diikuti
Pergi ke BHkuMenjadi ibu bukan penghalang bagi ‘Mama Mas’ kejar cita-cita bola sepak
Menjadi ibu bukan penghalang bagi ‘Mama Mas’ kejar cita-cita bola sepak
Dua anaknya jadi pendorong untuk beliau terus berjaya
Menjadi ibu bukan penghalang bagi ‘Mama Mas’ kejar cita-cita bola sepak
Tatkala beliau berusia 24 tahun, ketika ramai menganggap waktu itu sebagai yang terbaik buat seorang pemain bola sepak mengejar peluang dan mencipta nama dalam sukan itu, Mastura Jeilani pula membuat keputusan besar yang mengubah seluruh perjalanan hidupnya.
Beliau memilih untuk berkahwin dan bergelar ibu pada usia muda, sekali gus terpaksa mengetepikan sebahagian impian serta peluang dalam bola sepak demi membesarkan dua anaknya.
Malah, beliau turut meninggalkan pekerjaan tetap pertamanya supaya dapat memberi sepenuh perhatian kepada anak sulungnya ketika itu.
Beliau pernah bertugas sebagai seorang pegawai narkotik di Biro Narkotik Pusat (CNB) selama tujuh tahun.
Namun bagi wanita yang mesra dipanggil ‘Mama Mas’ ini, segala pengorbanan itu tidak pernah dianggap sebagai satu penyesalan.
“Tipu kalau saya kata tidak ada rasa ‘what if’ (bagaimana jika) kadangkala... tapi saya tidak pernah menyesal sebab sekarang saya dapat nikmati hidup bersama anak pula,” kata pengurus bola sepak wanita Singapura berusia 34 tahun itu.
Ini kerana selepas melalui hari yang panjang dan memenatkan – menjalani sesi latihan bersama Geylang International serta menjalankan tugas beliau bersama pasukan kebangsaan – beliau tetap pulang ke rumah dengan penuh semangat, kerana disambut dua cahaya mata yang setia menantikan kepulangannya.
“Sebagai pengurus pasukan, banyak benda perlu difikirkan dan tak boleh ambil mudah. Tapi apabila balik rumah, penat macam mana pun hilang,” katanya.
Di padang bola sepak, beliau dikenali sebagai seorang pengurus dan rakan sepasukan yang tenang dan sentiasa menjadi sandaran pemain.
Namun di sebalik kesibukan menjalankan tugasan harian dan bermain sukan yang dicintainya, Mastura lebih mengutamakan satu peranan yang paling dekat di hatinya – menjadi ibu kepada dua cahaya matanya, Raaiq, 10 tahun, dan Riqqah, 8 tahun.
Dalam kesibukan bekerja dan mengurus pasukan, Mastura berkata detik-detik kecil bersama anak menjadi sumber kekuatannya.
“Balik kerja pula terus uruskan makan malam dan luangkan masa dengan mereka sebelum tidur. Memang penat, tapi alhamdulillah anak-anak sangat memahami dan berdikari,” katanya, seorang ibu tunggal.
Malah beliau berkongsi tentang anaknya dengan penuh bangga.
Raaiq mengikuti jejak ibunya dan bermain bola sepak bersama Akademi Bola Sepak Flair.
Mastura dengan bangga menyatakan Raaiq seorang ‘abang’ yang boleh diharap dan sangat pandai berdikari.
Anak perempuannya pula sering menunjukkan kasih sayang secara terbuka melalui pelukan, lukisan dan kata-kata manis, yang sering menyuntik semangat Mastura.
Beliau malah mengimbau satu kenangan bersama anak lelakinya yang dianggap antara detik yang paling menyentuh hatinya.
“Dia pernah pulang dan menyuruh saya dengar satu lagu dan betul-betul suruh saya hayati liriknya,” kata Mastura.
“Sampai dekat bahagian lirik yang katakan ‘kota ini tak sama tanpamu’, dia cakap pada saya yang dia rasa macam itu apabila saya tak ada bersamanya.”
“Masa itu memang saya terus rasa sangat tersentuh. Benda kecil macam ini yang buat saya rasa semua usaha dan penat lelah itu sangat berbaloi,” kongsinya.
Bagi Mastura, nilai kehidupan jauh lebih penting berbanding pencapaian akademik semata-mata.
Beliau berharap anak-anaknya membesar sebagai insan yang baik, menghormati orang lain dan sentiasa kuat menghadapi cabaran hidup.
“Saya selalu pesan pada mereka supaya sentiasa baik dengan orang lain, tolong antara satu sama lain dan hormat orang sekeliling mereka,” katanya.
“Hidup ini susah. Akan sentiasa ada cabaran. Tapi saya harap mereka tahu jatuh itu bukan penamat, dan mereka perlu terus bangun.”
Walaupun kerjanya memerlukan beliau kerap ke luar negara bersama pasukannya, Mastura berharap anak-anaknya itu memahami bahawa semua yang dilakukannya datang daripada rasa cinta.
“Ada masa bila mereka menangis dan cakap ‘Mama jangan pergi lagi’, memang berat hati saya untuk tinggalkan mereka,” akuinya.
“Tapi saya harap bila mereka besar nanti, mereka faham bahawa saya buat semua ini sebab saya cintakan apa yang saya lakukan dan pada masa yang sama, mahu berikan kehidupan lebih baik untuk mereka.
“Saya harap mereka sentiasa tahu bahawa mereka cukup disayangi dan mampu capai apa saja yang mereka impikan,” tambahnya.
Mastura turut menitipkan pesanan buat golongan ibu yang masih mengejar impian masing-masing.
“Jangan pernah merendahkan kekuatan diri sendiri,” ujarnya.
“Akan ada hari yang penat dan buat kita rasa ragu-ragu, tapi jangan rasa bersalah kerana mengejar sesuatu yang membawa makna dan kebahagiaan dalam hidup.
“Anak bukan hanya belajar daripada apa yang kita cakap, tapi daripada apa yang mereka lihat setiap hari melalui perjuangan kita.”
