LONDON: Sabastian Sawe mencipta sejarah di Maraton London dengan menjadi atlet pertama yang berlari maraton di bawah dua jam dalam perlumbaan kompetitif.

Atlet Kenya berusia 31 tahun itu melintasi garisan penamat untuk menang dalam masa satu jam 59 minit 30 saat, lebih satu minit lebih pantas daripada rekod terdahulu milik mendiang Kelvin Kiptum iaitu dua jam 35 saat, yang dicatat pada 2023.

Legenda Eliud Kipchoge sebelum ini menjadi lelaki pertama yang berlari maraton di bawah dua jam pada 2019, namun, pencapaian itu tidak layak sebagai rekod rasmi kerana dilakukan dalam keadaan terkawal.

Ketika sudah berada pada kadar rekod dunia kala melepasi separuh perlumbaan dalam masa satu jam 29 saat, Sawe berjaya meningkatkan kelajuan pada separuh kedua perlumbaan untuk mencatat masa yang lebih pantas daripada catatan Kipchoge.

Sawe membuat pecutan penentu sebelum 10 kilometer (km) terakhir, dengan hanya pelari baru, Yomif Kejelcha, mampu mengekori larian Sawe.

Menariknya, Kejelcha yang membuat penampilan sulung dalam maraton, menjadi lelaki kedua berlari di bawah dua jam dalam keadaan perlumbaan, menamatkan saingan di tempat kedua dengan masa satu jam 59 minit 41 saat.

Pemegang rekod dunia separuh maraton, Jacob Kiplimo, turut melintasi garisan penamat lebih pantas daripada rekod lama Kiptum, melengkapkan podium dengan masa dua jam 28 saat.

Sawe sebelum ini menyasarkan rekod dunia Kiptum di Berlin pada September lalu, apabila beliau melepasi separuh perlumbaan dalam masa 60 minit 16 saat.

Namun, percubaan itu akhirnya gagal disebabkan cuaca panas.

Dalam keadaan perlumbaan yang sempurna di London, Sawe memecut untuk mencapai pencapaian bersejarah itu, melakukannya dalam masa yang suatu ketika dahulu dianggap mustahil.

Selepas menamatkan separuh pertama laluan dalam masa 60 minit 29 saat, Sawe meningkatkan rentak untuk melengkapkan separuh kedua hanya dalam 59 minit satu saat.

Hanya 63 lelaki dalam sejarah pernah berlari separuh maraton sepantas itu, dengan catatan peribadi terbaik Sawe sendiri ialah 58 minit lima saat.

Catatan pecahan masanya terus menjadi lebih pantas ketika mengejar sasaran, mencatat 13 minit 54 saat bagi jarak lima kilometer antara 30 dengan 35km, dan 13 minit 42 saat bagi segmen antara 35 dengan 40km, kelajuan purata selama dua minit 45 saat setiap kilometer.

Dengan memakai kasut “supershoes” terbaru tajaan Adidas, Sawe yang telah memenangi kesemua empat maraton yang disertainya, berjaya memperbaiki catatan peribadi maratonnya sebanyak dua minit 35 saat.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penonton kerana memberi sorakan kepada saya. Saya rasa mereka banyak membantu, kerana tanpa mereka, anda tidak akan rasa begitu dihargai,” kata Sawe.

“Saya fikir mereka sangat membantu kerana sorakan mereka membuatkan anda berasa gembira, kuat dan terus berusaha.

“Itulah sebabnya saya boleh katakan apa yang saya capai hari ini bukan hanya untuk saya, tetapi untuk kita semua di London,” tambah beliau. – Agensi berita.