SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Karim Bencherifa akhiri khidmat sebagai ketua jurulatih bola sepak wanita nasional S’pura

Karim Bencherifa akhiri khidmat sebagai ketua jurulatih bola sepak wanita nasional S’pura

Apr 3, 2026 | 1:12 PM

Karim Bencherifa akhiri khidmat sebagai ketua jurulatih bola sepak wanita nasional S’pura

Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengumumkan bahawa tempoh perkhidmatan tiga tahun ketua jurulatih skuad bola sepak wanita nasional Singapura, Karim Bencherifa, telah berakhir pada 2 April.
Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengumumkan bahawa tempoh perkhidmatan tiga tahun ketua jurulatih skuad bola sepak wanita nasional Singapura, Karim Bencherifa, telah berakhir pada 2 April. - Foto fail

Kontrak Karim Bencherifa sebagai ketua jurulatih skuad bola sepak wanita nasional Singapura tidak akan diperbaharui.

Ini selepas Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengumumkan bahawa tempoh perkhidmatan tiga tahun beliau telah berakhir pada 2 April.

Selepas mengambil alih peranan tersebut daripada Stephen Ng pada Februari 2023, warga Maghribi berusia 58 tahun itu telah membimbing skuad yang dikenali sebagai ‘Lionesses’ itu melayakkan diri ke Kejohanan Wanita Asean 2025.

Ini meskipun FAS kemudian menarik penyertaan Lionesses berikutan pertindihan jadual perlawanan.

Bencherifa turut menerajui pasukan untuk mencatatkan kemenangan 9-0 dalam perlawanan persahabatan menentang Macau pada 2024 dan Seychelles pada 2025.

Bagaimanapun, dalam tempoh tersebut, kedudukan ranking dunia Lionesses merosot daripada tangga ke-134 ke tangga ke-152.

Bencherifa meninggalkan pasukan dengan rekod lima kemenangan, dua seri dan 17 kekalahan dalam 24 perlawanan.

Bencherifa yang merupakan bekas pemain Liga.S dan bekas jurulatih skuad wanita nasional Maghribi, berkata: 

“Perjalanan ini bukan sekadar mengenai kemenangan; ia adalah tentang membina kepercayaan, meningkatkan kualiti, dan mewujudkan peluang untuk generasi akan datang.

“Saya tinggalkan pasukan dengan keyakinan tinggi terhadap masa depan Lionesses. 

“Saya bersyukur kerana telah menjadi sebahagian daripada perjalanan ini, dan saya mengharapkan yang terbaik buat jurulatih baru serta skuad Lionesses.”

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Bencherifa telah mengetengahkan ramai pemain remaja dan memberi peluang kepada 15 pemain untuk melakukan penampilan sulung antarabangsa bersama skuad senior.

Pemain muda berbakat daripada Liga Nasional Wanita (WNL) divisyen dua turut dikenal pasti dan diberi peluang untuk menjalani latihan bersama skuad nasional.

Namun, segelintir pemain telah menarik diri daripada skuad Sukan Asia pada 2023 dengan alasan ingin memberi keutamaan kepada kesihatan mental serta kesukaran menyesuaikan diri dengan cara jurulatih tersebut mengendalikan pasukan. 

Sebagai respons, Bencherifa ketika itu berkata beliau dan kakitangan jurulatih sentiasa menggalakkan komunikasi dengan para pemain.

Menyingkap perkhidmatannya, beliau berkata: 

“Antara kenangan terbaik saya adalah melihat pemain muda melangkah ke pentas antarabangsa buat kali pertama – apabila anda memberi kepercayaan dan keyakinan, mereka akan tunjukkan prestasi cemerlang.

“Pemain seperti Farah Nurzahirah, Ardhra Arul (Ganeswaran), Cara Chang dan Kyra Taylor semuanya menjaringkan gol dalam penampilan sulung mereka. 

“Detik-detik ini juga adalah hasil sokongan padu dan kepercayaan ibu bapa mereka, terutamanya bagi pemain lebih muda.

“Kami juga menyasar untuk menerapkan amalan lebih profesional dalam program ini, daripada pemantauan Satelit Kedudukan Global (GPS) dan sokongan sains sukan kepada analisis video serta laporan prestasi berstruktur, sekali gus membina asas lebih kukuh untuk masa depan. 

“Kami telah memperkenalkan generasi pemain baru – yang mana sebilangan besar membuat penampilan antarabangsa pertama mereka – dan membina asas lebih mantap untuk masa depan.”

Sedang persatuan bola sepak itu mencari jurulatih pengganti, Setiausaha Agung FAS, Badri Ghent, mengucapkan terima kasih kepada Bencherifa atas “profesionalisme, komitmen dan sumbangan beliau kepada (arena) bola sepak wanita Singapura”.

“Karim telah memainkan peranan penting dalam pembangunan berterusan skuad Lionesses sepanjang tempoh beliau bersama kami.

“Di luar keputusan di padang, beliau telah memainkan peranan utama dalam memperkukuh laluan antara program belia dengan pasukan nasional senior, memberi lebih banyak peluang kepada pemain muda untuk berlatih dan bersaing di peringkat tertinggi... dan kami mengharapkan kejayaan bagi langkah seterusnya dalam kerjaya kejurulatihan beliau,” tambah Badri.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg