SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Ujian penting Singa nilai kekuatan jelang Piala Asia

Ujian penting Singa nilai kekuatan jelang Piala Asia

Gavin Lee: Singa kekal rendah hati berdepan Bangladesh, masih dahagakan kejayaan
Mar 30, 2026 | 8:02 PM

Ujian penting Singa nilai kekuatan jelang Piala Asia

pasukan singa, piala asia, gavin lee
Ketua jurulatih Singapura, Gavin Lee (kanan), dan penyerang Singa, Ilhan Fandi, tekankan bahawa mereka kekal rendah hati dan tekad untuk menghasilkan detik manis untuk Singapura. - Foto BH oleh KHAIRUL AKMAL ALI

Walaupun pasukan Singa telah berjaya menempah tempat ke Piala Asia, perlawanan menentang Bangladesh pada 31 Mac dilihat sebagai peluang terbaik buat ketua jurulatih, Gavin Lee, untuk menilai pemain baru yang berpotensi memperkuatkan skuad Singa menjelang kejohanan tersebut.

Namun begitu, Lee menegaskan bahawa pasukannya masih kekal rendah hati dan dahagakan kejayaan.

Dalam sidang media praperlawanan di Stadium Nasional pada 30 Mac, beliau menyatakan bahawa kejayaan di Hong Kong pada November 2025 kini hanyalah satu kenangan manis, bukannya penamat perjalanan.

“Kami mahu capai lebih lagi. Untuk hasilkan lebih banyak detik seperti itu, kami perlu kekal rendah hati, terus bekerja keras, dan ingat bahawa kami hanya sehebat perlawanan seterusnya,” kata jurulatih berusia 35 tahun itu.

Tumpuan utama buat masa ini, katanya, adalah untuk membina pasukan yang benar-benar mantap sebagai persediaan menghadapi Piala Asia.

Antara pemain yang mampu memperkukuhkan skuad menjelang kejohanan itu adalah pemain pertahanan kelab Thailand, Port FC, Irfan Fandi, dan Nur Adam Abdullah daripada Lion City Sailors, yang sebelum ini terpaksa diketepikan akibat kecederaan.

Sepanjang kempen kelayakan, Shah Shahiran, yang asalnya pemain tengah, telah diturunkan di posisi bek kiri.

Sekiranya Nur Adam mampu mempamerkan aksi meyakinkan, beliau berpeluang mengukuhkan kedudukan beliau dalam pasukan, sekali gus membolehkan Shah kembali beraksi di posisi asalnya di bahagian tengah.

Mempunyai skuad yang kompetitif penting, terutamanya dengan jadual kejohanan yang padat.

Ini kerana sebelum ini, Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) telah mengumumkan secara rasmi bahawa Piala Asean Fifa, sebuah kejohanan baru melibatkan 11 negara Asia Tenggara, akan berlangsung dari September hingga Oktober.

Edisi sulung kejohanan itu pula akan diadakan tidak lama selepas satu lagi kejohanan utama rantau ini, Piala Hyundai, yang dijadualkan dari Julai hingga Ogos.

Dengan dua kejohanan besar berlangsung secara berturut-turut, setiap pasukan perlu memiliki skuad yang cukup mendalam bagi menangani keletihan pemain, kecederaan, dan keperluan menggilirkan pemain, terutamanya menjelang Piala Asia pada awal 2027.

Walaupun tempat pasukan Singa sudah terjamin di Piala Asia, ia tetap enggan mengambil mudah cabaran Bangladesh.

Lee menegaskan bahawa faktor luaran seperti sokongan penonton tidak boleh mengganggu fokus pasukan.

“Di luar, ini mungkin satu sambutan. Tetapi tugas kami adalah untuk keluar dan mempersembahkan bola sepak yang boleh diraikan semua,” ujarnya.

Penyerang Singa, Ilhan Fandi, turut membawa mentaliti sama, meskipun namanya kini akan diingati sebagai penjaring gol penting yang membantu Singapura layak ke Piala Asia.

“Saya rasa saya belum capai apa-apa lagi. Saya hanya mahu terus kekal fokus dan buat yang terbaik untuk negara,” katanya.

Jurulatih pasukan Bangladesh, Javier Cabrera, dan kapten Jamal Bhuyan pula menekankan bahawa pasukan mereka masih bersemangat meskipun peluang ke pusingan seterusnya sudah tertutup.

“Kami mahu menamatkannya dengan baik, memberikan persembahan yang baik dan berjuang untuk tiga mata,” kata jurulatih Bangladesh itu.

Jamal pula melihat perlawanan menentang Singapura sebagai peluang mencipta sesuatu yang bersejarah buat pasukannya.

Dengan sasaran mengutip lapan mata keseluruhan, beliau menyifatkan pencapaian itu sebagai sesuatu yang “sangat positif” untuk perkembangan bola sepak Bangladesh.

Jamal juga menegaskan bahawa pasukannya akan membawa semangat penyokong negara itu, termasuk mereka yang tidak berjaya mendapatkan tiket, ke dalam perlawanan.

“Kami akan ingat mereka dan kami akan berjuang untuk mereka,” ujarnya.

Menariknya, Bangladesh mempunyai rekod tanpa kalah di tempat lawan dalam kempen kelayakan kali ini, termasuk keputusan positif menentang India dan Hong Kong.

Mengulas perlawanan pertama yang berkesudahan 2-1 memihak Singapura pada 10 Jun 2025, Cabrera menjangkakan satu lagi perlawanan sengit.

“Kami menjangkakan tahap persaingan yang sama. Kami mahu memberikan tentangan sengit, sekurang-kurangnya setanding dengan perlawanan pertama,” ujarnya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg