Topic followed successfully
Go to BHkuGavin Lee: Keputusan baik, tapi persembahan tidak
Gavin Lee: Keputusan baik, tapi persembahan tidak
Ketua jurulatih berkata skuad kebangsaan belum benar-benar bersedia hadapi tekanan sebenar bola sepak Asia
Gavin Lee: Keputusan baik, tapi persembahan tidak
Kemenangan tipis 1-0 ke atas Bangladesh mungkin dapat melengkapkan kempen kelayakan Piala Asia bagi skuad Singa tanpa sebarang kekalahan, namun di sebalik keputusan positif itu, masih terserlah hakikat yang sukar dinafikan – skuad kebangsaan belum benar-benar bersedia menghadapi tekanan sebenar bola sepak Asia.
Berkata kepada media selepas perlawanan, ketua jurulatih, Gavin Lee, tidak berselindung dalam menilai situasi tersebut.
Beliau secara terbuka menyifatkan persembahan pasukannya sebagai “tidak memuaskan”, walaupun berjaya dan meraih kemenangan tanpa dibolosi gawang.
“Kami dapat keputusan baik, tetapi bukan persembahan yang baik,” katanya.
Apa yang lebih menarik perhatian ialah penjelasannya mengenai suasana perlawanan, satu faktor yang jarang diketengahkan, tetapi kali ini jelas memainkan peranan.
Dengan kehadiran lebih 30,000 penyokong memenuhi stadium, sorakan bergema tanpa henti, serta ‘hype’ yang membara menjelang perlawanan, perlawanan tersebut merupakan antara suasana paling meriah pernah yang disaksikan dalam kempen ini.
Ironinya, tenaga luar biasa itulah yang seakan-akan mengganggu rentak permainan Singa di atas padang.
Pemain dilihat kurang tenang, keputusan yang dibuat tidak seperti kebiasaan, dan permainan menjadi tidak lancar – satu petanda jelas bahawa mereka masih belum terbiasa beraksi sebaiknya dalam tekanan sebegitu.
“Kami tidak begitu selesa dengan suasana itu… ia menjejas cara kami berfikir dan tindakan di atas padang,” kata Lee.
Di Piala Asia pada 2027 nanti, Singapura bukan sahaja akan berdepan lawan lebih bermutu, tetapi juga suasana stadium lebih besar, lebih bising, dan jauh lebih mencabar, bermain di depan puluhan ribu penyokong lawan.
Dengan kejohanan itu semakin hampir, peluang memperbetulkan keadaan semakin terhad.
Namun begitu, masih ada ruang untuk bangkit dalam kejohanan akan datang seperti Piala Hyundai, beraksi dengan cemerlang, mara sejauh mungkin dalam pertandingan, menarik lebih ramai penyokong ke stadium, dan mewujudkan suasana lebih meriah seperti ini.
Jika Singapura benar-benar mahu berkembang, maka pengalaman bermain di depan stadium penuh perlu dijadikan kebiasaan, bukan sesuatu yang luar biasa sehingga menjejas prestasi pemain.
Lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk menarik kehadiran penyokong ke stadium, bukan hanya untuk perlawanan besar, tetapi juga perlawanan biasa.
Di peringkat Asia, budaya sokongan bukan sekadar tambahan, ia adalah sebahagian daripada permainan itu sendiri.
Walaupun persembahan keseluruhan tidak mencapai tahap yang diharapkan, terdapat beberapa perkembangan positif yang memberi harapan.
Kembalinya Irfan Fandi ke dalam kesebelasan utama memberikan kestabilan di bahagian pertahanan.
Sepanjang 65 minit di padang, beliau mempamerkan ketenangan, keupayaan membaca permainan serta kehadiran fizikal yang penting dalam mengawal ancaman lawan.
“Setiap kali saya menyarung jersi Singapura, saya rasa bangga… saya cuba beri yang terbaik,” kata Irfan.
Walaupun masih dalam proses mendapatkan semula kecergasan penuh, agak jelas beliau akan menjadi aset penting sekiranya dapat mengekalkan tahap prestasi dan kecergasan.
Dalam masa yang sama, kemunculan Nathan Mao turut mencuri perhatian.
Pemain muda itu menunjukkan keberanian, keyakinan serta kesediaan untuk mengambil risiko – satu ciri yang amat diperlukan dalam bola sepak moden.
Gabungan pemain berpengalaman seperti Irfan dengan bakat muda seperti Nathan memberi gambaran bahawa skuad ini mempunyai asas yang kukuh – namun ia memerlukan masa, pendedahan dan pengurusan yang betul untuk benar-benar berkembang.
Akhirnya, perlawanan ini boleh dilihat sebagai satu ‘amaran’ yang datang pada waktu yang tepat.
Singapura berjaya menamatkan kempen dengan kemenangan, satu pencapaian yang wajar dibanggakan. Momentum ini penting, terutama dari sudut keyakinan pasukan.
Namun pada masa sama, kelemahan yang ditonjolkan dari segi ketenangan, konsistensi permainan serta keupayaan mengendalikan tekanan, memberikan gambaran jelas tentang jurang yang masih perlu ditutup.
“Kami ada lebih banyak untuk berikan, hari ini kami tidak konsisten,” kata penyerang Singa, Ikhsan Fandi.
Ini menjadikan situasi ini sebagai ‘menang-menang’.
Singapura bukan sahaja menang di atas padang, tetapi turut ‘menang’ dari sudut pembelajaran – menerima peringatan awal tentang apa yang diperlukan untuk bersaing di tahap lebih tinggi.
Dengan saingan Asean bakal berlangsung sebelum Piala Asia, tempoh beberapa bulan akan datang menjadi sangat kritikal.
Ia bukan sekadar tentang memperbaiki taktikal atau kecergasan, tetapi juga membina kekuatan mental, keupayaan untuk kekal tenang, berdisiplin dan berani walau dalam apa jua suasana.

