Topic followed successfully
Go to BHkuJurulatih Afrika S yakin pasukan mampu cipta kejutan
Jurulatih Afrika S yakin pasukan mampu cipta kejutan
Jurulatih Afrika S yakin pasukan mampu cipta kejutan
CAPE TOWN: Afrika Selatan mampu mencipta beberapa kejutan di Piala Dunia 2026 kerana mereka akan memasuki kejohanan itu sebagai pasukan kurang dikenali, kata jurulatih Hugo Broos pada 30 Mac.
Pasukan itu, yang bergelar Bafana Bafana, kembali ke Piala Dunia buat kali pertama sejak negara itu menjadi tuan rumah pada edisi 2010, dan akan beraksi dalam perlawanan pembukaan pada 11 Jun.
Afrika Selatan akan menentang tuan rumah bersama, Mexico, di Estadio Azteca, dan juga akan berdepan Korea Selatan dalam Kumpulan A.
Satu lagi pasukan dalam kumpulan itu adalah pemenang perlawanan penentu antara Czech Republic dan Denmark pada 31 Mac.
“Apabila kami berada pada tahap terbaik, dengan mutu yang ada dalam pasukan ini, kami mampu mencipta kejutan di Piala Dunia.
“Kami juga sebuah pasukan yang tidak begitu dikenali ramai, jadi itu mungkin memberi kelebihan kepada kami,” kata Broos, jurulatih veteran asal Belgium, menjelang perlawanan persahabatan menentang Panama pada 31 Mac.
Tambahnya, meskipun pasukannya layak ke kejohanan itu selepas sekian lama, sasaran mereka adalah untuk memberi impak dan mara sejauh mungkin.
“Bagi saya, tidak memadai sekadar berada di sana, dan saya akan berasa sangat kecewa jika prestasi kami tidak seperti yang saya jangkakan.
“Saya tidak perlu terlalu mendesak pemain kerana mereka juga mahu membuktikan kebolehan mereka di Piala Dunia.
“Saya tahu mentaliti mereka, saya tahu keinginan kuat yang mereka miliki untuk melakukan sesuatu di Piala Dunia,” katanya, yang juga bekas pemain antarabangsa Belgium.
Sebelum ini, Afrika Selatan layak ke pusingan akhir Piala Dunia pada 1998 dan 2002, serta menjadi tuan rumah pada 2010.
Namun, mereka mencatatkan keputusan yang mengecewakan sejak itu.
Namun semasa kelayakan Piala Dunia 2026, mereka berjaya menamatkan saingan di hadapan Nigeria dalam kumpulan kelayakan untuk meraih satu daripada sembilan tempat Afrika ke pusingan akhir di Canada, Mexico dan Amerika Syarikat.
“Selepas kami menamatkan kempen dalam kejohanan Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) 2023 di tempat ketiga, tiba-tiba wujud minat terhadap pemain pasukan kami, dan itu paling penting supaya mereka boleh bermain di luar negara,” kata Broos.
Skuad Afrika Selatan kebanyakannya terdiri daripada pemain yang beraksi di liga tempatan, berbeza dengan pasukan Afrika lain yang beraksi di Piala Dunia, kebanyakannya mempunyai pemain yang beraksi di kelab luar negara, terutamanya di Eropah. – Reuters.

