SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Tuchel ambil iktibar positif daripada perlawanan dengan Uruguay

Tuchel ambil iktibar positif daripada perlawanan dengan Uruguay

England, Uruguay seri 1-1; Jerman tewaskan Switzerland 4-3
Mar 28, 2026 | 12:37 PM

Tuchel ambil iktibar positif daripada perlawanan dengan Uruguay

england, uruguay, Ben White
Pemain England, Ben White (dua dari kiri), mengasari pemain Uruguay, Federico Vinas, dalam kotak penalti ketika masa kecederaan, menghadiahkan penalti dan gol kepada Uruguay. - Foto REUTERS

LONDON: Thomas Tuchel berkata beliau kini lebih mengenali pemainnya dan keupayaan pasukan England selepas ia seri 1-1 dengan Uruguay di Wembley dalam satu perlawanan persahabatan pada 27 Mac.

Pemain Arsenal, Ben White, menjaringkan gol pertama perlawanan pada minit ke-81, tetapi beliau juga yang mengasari Federico Vinas dalam kotak penalti pada masa kecederaan, menyebabkan pengadil memberikan tendangan penalti kepada Uruguay.

Federico Valverde merebut peluang keemasan untuk menjaringkan gol dan memastikan perlawanan berakhir seri.

Tuchel, yang bakal memimpin sesebuah negara buat kali pertama di Piala Dunia, telah memilih 35 pemain untuk skuad England menjelang perlawanan persahabatan dengan Uruguay itu dan dengan Jepun pada minggu depan, demi menilai keupayaan beberapa pemain seperti James Garner dan James Trafford.

Bercakap kepada wartawan selepas perlawanan dengan Uruguay, Tuchel berkata beliau menimba pengetahuan penting menjelang perlawanan dengan Jepun – perlawanan terakhir England – sebelum Piala Dunia bermula.

“Saya banyak belajar kerana pemain lawan kita amat lasak. Ia adalah ujian yang begitu baik untuk pemain kami,” kata beliau.

“Anda bertarung dengan (Manuel) Ugarte, (Federico) Valverde di tengah padang... anda tidak boleh berehat sesaat pun sepanjang perlawanan.”

Menambah, Tuchel berkata perlawanan dengan Uruguay yang dipimpin Marcelo Bielsa yang juga melayakkan diri ke Piala Dunia memenuhi jangkaannya.

“Marcelo memberitahu saya pemainnya tidak akan menganggap perlawanan ini sebagai perlawanan persahabatan. Justeru, kita tahu apa yang patut dijangka.

“Tapi kita tetap menurunkan pemain dan formasi baru, dan pada pendapat saya, kita telah beraksi dengan baik,” ujar Tuchel.

Mengulas mengenai perbuatan sebahagian penyokong England yang mengherdik White apabila pemain itu dimasukkan ke padang, Tuchel berkata beliau kecewa mendengarnya.

Penyokong menunjukkan rasa tidak puas hati dengan White semasa beliau menyertai perlawanan dalam separuh masa kedua.

White telah meninggalkan pasukan di tengah-tengah Piala Dunia Qatar empat tahun lalu, dengan Persatuan Bola Sepak England berkata beliau berbuat demikian kerana sebab-sebab peribadi.

Laporan media di England menyusuli kejadian itu mendakwa White telah berkelahi dengan penolong jurulatih England ketika itu, Steve Holland, walaupun jurulatih England pada ketika itu, Gareth Southgate telah beberapa kali menolak dakwaan tersebut.

Dalam beberapa perlawanan lain di Eropah, pemain Liverpool, Florian Wirtz, menjaringkan dua gol menarik dan membantu menjaringkan dua lagi gol untuk Jerman yang menewaskan Switzerland 4-3 di Basel.

Dua lagi gol dijaringkan oleh Jonathan Tah dan Serge Gnabry.

Dalam perlawanan antara Sepanyol dengan Serbia pula, Mikel Oyarzabal menjaringkan dua gol separuh masa pertama dan Victor Munoz menambah satu lagi gol dalam separuh masa kedua untuk membantu negara mereka mengatasi Serbia 3-0. – Reuters, AFP.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg