SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Jepun tambah yakin jelang Piala Dunia selepas tewaskan England

Jepun tambah yakin jelang Piala Dunia selepas tewaskan England

Apr 1, 2026 | 2:03 PM

Jepun tambah yakin jelang Piala Dunia selepas tewaskan England

bola sepak, jelang Piala Dunia, Jepun, tewaskan England
Jaringan tunggal bintang Brighton & Hove Albion, Kaoru Mitoma (dua dari kanan), memastikan kemenangan 1-0 Jepun ke atas England dalam perlawanan persahabatan di Stadium Wembley pada 31 Mac. - Foto REUTERS

LONDON: Jepun meraih kejayaan pertama ke atas England dengan kemenangan 1-0 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Wembley pada 31 Mac.

Ia sekali gus memberi keyakinan kepada jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu, bahawa pasukannya mampu menewaskan sesiapa sahaja di Piala Dunia.

Kaoru Mitoma menjaringkan satu-satunya gol dalam perlawanan itu yang menyaksikan England menguasai bola, namun tumpul di bahagian serangan.

Jepun tidak tewas sejak kalah 0-2 kepada Amerika Syarikat pada September 2025 dan mencatat kemenangan ke atas Brazil, Ghana, Bolivia dan Scotland sejak itu.

“England adalah pasukan yang kuat dan kami terpaksa bertahan untuk tempoh yang lama. Namun, para pemain itu menunjukkan ketabahan dan kesabaran apabila keadaan tidak memihak kepada kami.

“Ia memberi kami keyakinan bahawa kami mampu menewaskan sesiapa sahaja. Namun, ia juga perlawanan yang boleh kami tewas.

“Kami perlu bangkit dan memperbaiki prestasi semula,” kongsi Moriyasu.

Moriyasu melakukan beberapa perubahan terhadap kesebelasan yang menewaskan Scotland dengan keputusan 1-0 minggu lalu dan memberi peluang kepada pemain sayap Brighton & Hove Albion, Kaoru Mitoma, untuk dimasukkan sebagai pemain utama.

Mitoma telah memulakan dan menamatkan serangan balas yang menyumbang kepada gol Jepun itu.

“Itulah detik yang kami cari. Ia memberi kami sedikit kelegaan dari segi mental.

“Agak baik kami masih dapat bermain dengan cara yang sama walaupun terdapat perubahan dalam pasukan. Kami akan berusaha untuk menjaringkan lebih banyak gol,” ujar Mitoma.

Jepun telah mara ke pusingan 16 pasukan terakhir dalam tiga daripada empat edisi terakhir Piala Dunia.

Ini termasuk menewaskan gergasi besar Eropah seperti Jerman dan Sepanyol dalam peringkat kumpulan di Qatar pada 2022.

Mereka berada dalam Kumpulan F bagi Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Utara dari 11 Jun hingga 19 Julai dan berdepan dengan Holland, Tunisia dan Sweden.

Sweden berjaya layak ke Piala Dunia setelah jaringan Viktor Gyokeres pada minit ke-88 memastikan kemenangan 3-2 ke atas Poland dalam perlawanan penentuan pada 31 Mac. – Reuters.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg