SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Skuad Singa akhiri kempen kelayakan Piala Asia dengan kemenangan

Skuad Singa akhiri kempen kelayakan Piala Asia dengan kemenangan

Mar 31, 2026 | 10:44 PM

Skuad Singa akhiri kempen kelayakan Piala Asia dengan kemenangan

Pemain tengah Singapura, Harhys Stewart (kiri), menjaringkan gol pertamanya untuk pasukan kebangsaan, yang juga merupakan gol kemenangan dalam perlawanan pasukan Singa menentang Bangladesh. Gol beliau membantu Singapura untuk menutup kempen kelayakan Piala Asia mereka dengan kemenangan.
Pemain tengah Singapura, Harhys Stewart (kiri), menjaringkan gol pertamanya untuk pasukan kebangsaan, yang juga merupakan gol kemenangan dalam perlawanan pasukan Singa menentang Bangladesh. Gol beliau membantu Singapura untuk menutup kempen kelayakan Piala Asia mereka dengan kemenangan. - Foto BH oleh KHALID BABAB

Skuad Singa berjaya menunaikan hasrat dan menyuntik semangat dalam penyokong Singapura apabila mereka berjaya menutup kempen kelayakan Piala Asia mereka dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Bangladesh.

Penampilan pemain muda, Nathan Mao, yang baru berusia 18 tahun, menjadi simbol masa depan bola sepak negara, sekali gus diharap dapat membakar semangat lebih ramai bakat muda untuk melangkah ke peringkat antarabangsa menjelang kelayakan Piala Asia.

Disaksikan seramai 30,105 penonton di Stadium Negara pada 31 Mac, kemenangan tersebut mendorong keyakinan kepada masa depan bola sepak Singapura.

Skuad Singa memulakan perlawanan dengan penuh semangat, tekad memburu kemenangan.

Sepanjang separuh masa pertama, skuad Singa berjaya mengatur beberapa gabungan dan gerakan serangan yang kemas, namun masih belum menemui sentuhan penyudah yang tajam.

Bangladesh pula tidak memberi laluan mudah, terus mengancam kubu Singapura dengan beberapa percubaan berbahaya.

Pemain sayap Bangladesh, Fahemedul Islam, berjaya melepasi kawalan bek kiri Singa, Nur Adam Abdullah sebelum menghantar bola berbahaya ke dalam kotak penalti, namun percubaan pasukan lawan tidak temui sasaran.

Singapura kemudian bangkit cuba menguasai permainan dengan pemain tengah Kyoga Nakamura, melakukan hantaran bijak, menemui Ryhan Stewart yang meluru ke hadapan, namun hantaran lintangnya berjaya dipatahkan pasukan bimbingan Javier Fernandez.

Akhirnya pada minit ke-30, usaha anak didik Gavin Lee akhirnya membuahkan hasil.

Irfan Fandi, yang membuat penampilan ke-50 beliau untuk negara, membuat hantaran kepada Glenn Kweh yang berjaya melepaskan rembatan kuat, namun berjaya dihalang oleh penjaga gawang Bangladesh, Mitul Marma.

Namun, Mitul hanya berjaya menepis bola tersebut ke arah Harhys Stewart yang melakukan larian lewat ke dalam kotak penalti dan memanfaatkan peluang itu untuk menjaringkan gol pertama beliau bagi pasukan negara dan meletakkan pasukannya di hadapan.

Namun, kesilapan pasukan skuad Singa sendiri hampir mengundang padah.

Pemain tengah negara, Shah Shahiran berlengah dan gagal mengeluarkan bola daripada kawasan sendiri – tapi mujur Bangladesh tidak berjaya memanfaatkan peluang tersebut.

Separuh masa berakhir, dengan pasukan Singa mendahului perlawanan 1-0.

Ketinggalan satu gol jelas tidak mematahkan semangat Bangladesh yang memulakan separuh masa kedua dengan penuh bertenaga, giat memburu gol penyamaan.

Pada minit ke-51, penyerang Bangladesh, Foysal Ahmed Fahim, berjaya menemui ruang di dalam kotak penalti skuad Singa, sebelum membuat percubaan rembatan, namun mudah dikawal penjaga gawang Singa, Izwan Mahbud.

Bangladesh terus menguasai rentak permainan pada awal separuh masa kedua, memberi tekanan berterusan ke atas Singapura.

Satu detik yang membimbangkan berlaku pada minit ke-59 apabila Irfan Fandi, yang baru kembali ke skuad kebangsaan selepas pulih daripada kecederaan, terpaksa dikeluarkan sekali lagi.

Sepanjang kehadirannya, Irfan mempamerkan aksi meyakinkan dengan beberapa halangan penting.

Pada minit ke-65, Ikhsan serta Irfan Fandi digantikan dengan Jacob Mahler dan Nathan Mao.

Disifatkan sebagai “tidak kekok dalam skuad” oleh Lee, Nathan segera membuktikan kemampuannya apabila bijak melepasi dua pertahanan Bangladesh sebelum menghantar bola berbahaya ke dalam kotak penalti kepada Ilhan.

Namun, percubaan Ilhan sekali lagi berjaya dihalang barisan pertahanan Bangladesh.

Pada minit ke-72, Ilhan berjaya meletakkan bola ke dalam gawang lawan dan sorakan penonton bergema di stadium, namun jaringan tersebut tidak dikira akibat ofsaid.

Memasuki minit ke-79, hampir tiba giliran penyokong Bangladesh untuk bersorak, tetapi percubaan mereka sekadar menggegar palang gol pasukan Singapura.

Walaupun Bangladesh terus mengasak kubu pasukan tuan rumah, usaha mereka untuk memburu gol terus buntu apabila serangan yang diaturkan sering kali dipatahkan pertahanan Singa.

Perlawanan berakhir 1-0, memihak pasukan Singa, yang berjaya menutup kempen kelayakan Piala Asia mereka dengan kemenangan, memberikan rakyat Singapura peluang untuk meraikan kejayaan kelayakan bersejarah ke Piala Asia bersama.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg