SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Ishida sahut cabaran jadi ketua jurulatih bola sepak wanita S’pura

Ishida sahut cabaran jadi ketua jurulatih bola sepak wanita S’pura

Berasal dari Jepun, pernah juarai Liga Perdana Wanita England bersama Arsenal pada 2004 sebelum bergelar bintang rok
Apr 6, 2026 | 3:44 PM

Ishida sahut cabaran jadi ketua jurulatih bola sepak wanita S’pura

Ishida, bola sepak wanita S’pura, Lionesses
Mihoko Ishida membuat kemunculan awam pertama sebagai jurulatih pasukan bola sepak wanita nasional Singapura, Lionesses, dalam acara Hari Bola Sepak Wanita AFC di Kick Off! di Pusat Sukan Kovan pada 5 April. - Foto FAS

Pasukan bola sepak wanita nasional Singapura atau Lionesses, berharap mereka dapat menempuh fasa baharu, susulan pelantikan Mihoko Ishida sebagai ketua jurulatih pasukan tersebut dengan kontrak selama dua tahun.

Wanita berusia 43 tahun dari Jepun itu hadir dengan profil cukup unik dan pelbagai.

Bukan sahaja pernah bergelar penyerang berbakat yang memenangi Liga Perdana Wanita di England bersama Arsenal pada 2004, malah Ishida juga seorang bintang rok yang pernah mengikat kontrak rakaman, sebelum memberi tumpuan dalam bidang kejurulatihan bersama kelab di Jepun.

Memiliki personaliti luar biasa, Ishida jelas gemar menyahut cabaran baru, sekali gus mendorongnya untuk menggalas peranan itu di Singapura.

Ishida yang membuat kemunculan awam pertamanya sebagai jurulatih Lionesses dalam acara Hari Bola Sepak Wanita AFC di Kick Off! di Pusat Sukan Kovan pada 5 April, berkata:

“Salah satu sebab saya memilih Singapura adalah kerana peluang dapat menyahut cabaran bersama-sama sebagai satu pasukan.

“Ia bukan sesuatu yang telah siap sepenuhnya; sebaliknya, ada tarikan yang kuat untuk membinanya dari peringkat awal.”

Ishida mengambil alih peranan bekas ketua jurulatih Lionesses, Karim Bencherifa, yang mana kontrak tiga tahunnya tidak dilanjutkan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada 2 April.

Pengerusi Jawatankuasa Wanita FAS merangkap Anggota Majlis FAS, Yeong Sheau Shyan, berkata Ishida adalah calon tepat kerana pengalamannya yang luas di pelbagai peringkat.

“Prestasi bola sepak wanita di Singapura sedang meningkat, namun kita masih berstatus amatur.

“Pemain dalam skuad masih lagi belajar atau mempunyai pekerjaan sepenuh masa, jadi latihan hanya dijalankan selepas waktu pejabat, dan bermain dalam liga pada hujung minggu.

“Kami mahukan seseorang yang mempunyai pengalaman bermain dan melatih di peringkat amatur serta profesional – seseorang yang dapat memahami situasi pemain kami dan memberi inspirasi kepada mereka.

“Sejak penubuhan Liga WE, pelaburan Jepun dalam bola sepak wanita dan pendidikan kejurulatihan telah melahirkan ramai jurulatih wanita elit, dan mereka telah membuktikan tahun demi tahun, bagaimana pemain Asia yang mempunyai fizikal lebih kecil mampu bersaing di pentas antarabangsa.

“Kami berharap Ishida dapat berkongsi ilmu dan kepakaran tersebut dengan kami – bukan sahaja untuk skuad senior, bahkan membantu dalam membentuk pembangunan belia kami,” kata Yeong.

Ishida mempunyai profil mengagumkan serta personaliti cukup unik.

Bermula sebagai penyerang Kolej Musashigaoka yang tidak fasih berbahasa Inggeris, beliau ditandatangani kelab gergasi Arsenal selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam satu siri jelajah kolej di England pada 2003. 

Beliau kemudian memenangi kejuaraan liga dan Piala FA bersama legenda seperti Faye White – kapten paling lama berkhidmat dalam sejarah bola sepak wanita England – serta Alex Scott, yang mempunyai 140 penampilan antarabangsa.

Ishida menamatkan kerjaya sebagai pemain bersama kelab JEF United di Jepun.

Peminat setia kumpulan Bon Jovi itu mula menyanyi pada usia 17 tahun, selepas mengambil alih posisi vokalis sebuah kumpulan, namun memilih untuk memberi tumpuan penuh kepada bola sepak.

Namun, rakan sepasukan di Arsenal serta guru tuisyen bahasa Inggerisnya meyakinkan beliau bahawa tidak salah untuk mempunyai minat yang pelbagai. 

Didorong semangat tersebut, Ishida menandatangani kontrak rakaman dan turut menghasilkan lagu bertemakan bola sepak seperti Striker dan Captain selepas bersara sebagai pemain.

Walaupun masih meminati muzik, Ishida tekad ‘menggantikan’ mikrofon dengan papan taktik kejurulatihan.

Antara 2019 hingga 2021, ketika bergelar penolong jurulatih kelab Jepun, Sfida Setagaya, beliau membantu pasukan itu menjuarai Divisyen Dua Liga Nadeshiko.

Selepas beralih ke Yokohama FC Seagulls sebagai penolong jurulatih pada 2022, Ishida dilantik sebagai ketua jurulatih pada musim berikutnya, jawatan yang digalasnya sehingga 2025.

Selaras dengan falsafahnya yang menggalak pemain untuk mengambil inisiatif dan berfikir sendiri di atas padang, beliau berkata:

“Gaya permainan saya adalah tentang keberanian untuk terus mencuba tanpa rasa takut untuk membuat kesilapan.

“Pemain tidak akan dipaksa, tetapi perlu ada struktur dan disiplin.

“Malah, semua pemain adalah sama. Setiap pemain di Singapura mempunyai peluang (untuk berjaya).”

Ishida yang pernah memantau skuad Lionesses semasa latihan berpusat pada Februari lalu, menambah:

“Perkara pertama yang saya rasakan ialah dedikasi pemain. Mereka memilih bola sepak walaupun perlu membahagikan masa dengan kerjaya masing-masing.

“Saya melihat kekuatan, kecekalan, dan keengganan mereka untuk memberikan alasan.

“Saya mahu sokong mereka sepenuhnya supaya minat mendalam terhadap bola sepak itu bertukar menjadi keyakinan diri, sekali gus membolehkan keunikan setiap pemain terserlah di atas padang.”

Mengenai peranan barunya di Singapura, beliau menambah:

“Saya mahu sesiapa sahaja yang terlibat dalam bola sepak wanita di Singapura berasa bangga dengan usaha ini.

“Mungkin dalam tempoh lima atau 10 tahun lagi, persekitarannya akan berubah secara drastik. Detik ini mungkin menjadi asas bagi masa depan tersebut.”

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg