SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

FAS lantik Mihoko Ishida ketua jurulatih Singa wanita

FAS lantik Mihoko Ishida ketua jurulatih Singa wanita

Sahut peluang libatkan diri dalam pertumbuhan, pembangunan jangka panjang bola sepak wanita
Apr 5, 2026 | 5:06 PM

FAS lantik Mihoko Ishida ketua jurulatih Singa wanita

mihoko ishida
Bekas pemain penyerang Arsenal Women FC, Mihoko Ishida, dilantik sebagai sebagai ketua jurulatih pasukan bola sepak perempuan negara pada 5 April. - Foto FAS

Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengumumkan Mihoko Ishida sebagai ketua jurulatih pasukan bola sepak wanita negara pada 5 April.

Dalam satu kenyataan, FAS berkata Ishida membawa latar belakang yang cemerlang dalam bola sepak wanita, baik sebagai pemain mahupun sebagai jurulatih.

Bekas pemain penyerang yang kini berusia 43 tahun itu pernah menyertai Arsenal Ladies, kini dikenali sebagai Arsenal Women FC, dan berjaya memenangi liga di England dan Piala FA.

Selepas mengadakan perbincangan mendalam dengan FAS sebelum pelantikannya, beliau menyatakan bahawa peluang untuk melibatkan diri dalam pertumbuhan dan pembangunan jangka panjang bola sepak wanita di Singapura merupakan faktor penentu dalam keputusannya.

Beliau yang berpeluang memerhatikan skuad tersebut semasa latihan pusat Lionesses pada Februari lalu, menyifatkan tanggapan pertamanya sangat positif, dan mengiktiraf dedikasi para pemain dalam mengimbangi bola sepak dengan kerjaya mereka.

“Perkara pertama yang saya rasakan adalah dedikasi para pemain.

“Mereka memilih bola sepak sambil mengimbangi kehidupan kerjaya mereka. Saya melihat kekuatan, daya tahan, dan keengganan untuk memberikan alasan,” katanya.

Ishida juga pernah berkhidmat sebagai ketua jurulatih Sfida Setagaya FC dan berjaya membimbing pasukan itu daripada kedudukan bawah Liga Nadeshiko Divisyen Dua hingga ke tangga kedua.

Beliau kemudian menyertai Nippatsu Yokohama FC Seagulls pada 2022 sebagai jurulatih dan kemudiannya memegang jawatan sebagai pengarah.

Ishida, yang telah menandatangani kontrak selama dua tahun dengan FAS, menyatakan cita-citanya untuk meninggalkan asas yang berkekalan bagi sukan bola sepak wanita di Singapura.

“Dalam tempoh ini, saya ingin semua pihak yang terlibat dalam bola sepak wanita di Singapura berasa bangga dengan usaha ini.

“Mungkin dalam masa lima atau sepuluh tahun lagi, persekitarannya akan berubah secara drastik. Detik ini mungkin menjadi asas kepada masa depan tersebut,” ujar Ishida.

Falsafah kejurulatihannya berteraskan persekitaran di mana pemain digalakkan untuk mengambil inisiatif dan berfikir sendiri di atas padang.

Beliau berkata bahawa gayanya adalah untuk membolehkan percubaan tanpa rasa takut untuk membuat kesilapan.

Ishida menambah pemain tidak dipaksa namun terdapat struktur dan disiplin.

Selain itu, semua pemain dianggap sama rata dan setiap pemain di Singapura mempunyai peluang.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Wanita FAS merangkap Anggota Majlis FAS, Yeong Sheau Shyan, berkongsi bola sepak perempuan di Singapura sedang meningkat, namun ia masih berstatus amatur.

“Para pemain sedang belajar atau bekerja sepenuh masa, berlatih selepas waktu pejabat, dan bermain dalam liga pada hujung minggu.

“Kami mahukan seseorang yang mempunyai pengalaman bermain dan melatih di peringkat amatur serta profesional – seseorang yang dapat memahami situasi pemain kami dan memberi inspirasi kepada mereka,” kata Yeong.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg