TEHERAN: Iran menganjurkan perhimpunan agar dapat menghantar pasukan ke Piala Dunia, di Dataran Enqelab, Teheran yang dihadiri ribuan penyokong pada malam 13 Mei, meskipun kebimbangan masih wujud mengenai penyertaan pasukan itu ke Amerika Syarikat dan dalam kejohanan tersebut.

Para pemain, yang akan meneruskan persiapan di kem latihan di Turkey, menerima sorakan ramai ketika mereka menyampaikan ucapan semangat patriotik sambil memperkenalkan jersi bagi kejohanan pada 11 Jun hingga 19 Julai itu.

“Ini adalah majlis keberangkatan terbaik dalam empat kempen Piala Dunia terakhir,” kata Presiden Persekutuan Bola Sepak Iran (FFIRI), Mehdi Taj, kepada televisyen negara.

“Para pemain bersama rakyat, manakala orang ramai berdiri bersama maruah dan kehormatan negara.

“Semoga bendera Iran terus dipertahankan walau apa pun keputusannya.”

Penyertaan Iran dalam Piala Dunia dipersoalkan sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran pada akhir Februari.

Taj dilarang memasuki Canada untuk menghadiri Kongres Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dua minggu lalu.

Ini kerana hubungannya dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran, yang disenaraikan sebagai entiti pengganas di Amerika dan Canada, manakala Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, berkata tiada individu yang mempunyai kaitan dengan pertubuhan itu akan dibenarkan memasuki negara tersebut.

Iran menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya kepada Fifa untuk memastikan pemain dan pegawai pasukan dapat memasuki Amerika, di mana ‘Team Melli’ atau ‘pasukan kebangsaan’ dalam bahasa Parsi, dijadual bermain ketiga-tiga aksi kumpulan Piala Dunia mereka.

“Masih belum ada perkembangan mengenai visa.

“Kami berharap ia dapat diselesaikan dalam tempoh ini,” kata Setiausaha Agung FFIRI, Hedayat Mombeini, pada perhimpunan itu.

Beliau berkata Fifa telah memberi jaminan dan berharap para pemain menerima visa tepat pada masanya.

Laporan menyatakan Amerika menolak permohonan visa beberapa pemain Iraq.

Namun, hal itu segera dinafikan Rumah Putih dan Persatuan Bola Sepak Iraq (IFA), menambah kebimbangan Iran.

“Saya juga baru mendengar berita itu,” kata Mombeini.

Beliau berharap Fifa campur tangan kerana sukan perlu dipisahkan daripada politik serta memastikan penyertaan semua anggota pasukan Piala Dunia dipermudahkan.

Iran akan menentang Gambia dalam aksi persediaan Piala Dunia di Antalya pada 29 Mei, dan FFIRI sedang mengatur satu lagi perlawanan persahabatan di Turkey. – Agensi berita.