Topic followed successfully
Go to BHkuFifa: Iran akan tetap sertai Piala Dunia di AS
Fifa: Iran akan tetap sertai Piala Dunia di AS
Persekutuan Bola Sepak Iran telah desak agar tiga perlawanan kumpulan pasukan itu dipindah ke Mexico
Fifa: Iran akan tetap sertai Piala Dunia di AS
ANTALYA (Turkey): Presiden Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), Gianni Infantino, berkata pada 31 Mac bahawa Iran akan tetap bermain dalam perlawanan Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat pada Jun seperti yang dijadualkan, walaupun negara itu sedang terlibat dalam konflik bersenjata dengan Amerika.
Persekutuan Bola Sepak Iran (FFIRI) telah mendesak agar tiga perlawanan kumpulan Piala Dunia pasukan itu dipindahkan dari Amerika ke Mexico, sambil menyebut tentang penglibatan tentera Amerika bersama Israel dalam serangan ke atas Iran yang mencetuskan perang serantau yang sedang berlaku sekarang.
FFIRI menyatakan mereka sedang berbincang dengan Fifa mengenai pertukaran lokasi, sementara Kementerian Sukan Iran pula telah mengharamkan pasukan sukan kebangsaan dan kelab negara itu daripada mengembara ke negara yang dianggap bermusuhan, sehingga diberitahu kelak.
Namun begitu, Infantino menolak kemungkinan pertukaran lokasi itu apabila ditanya semasa lawatan mengejutnya ke Turkey bagi menyaksikan kemenangan 5-0 Iran ke atas Costa Rica dalam satu perlawanan persahabatan.
“Tidak, tidak, perlawanan akan diadakan di tempat yang telah ditetapkan mengikut undian,” katanya kepada pemberita di bandar Antalya, Turkey, di mana skuad Iran sedang menjalani kem latihan.
“Nampaknya kita akan berada di tempat yang betul. Kami sangat gembira kerana mereka adalah pasukan yang sangat, sangat kuat, seperti yang kita lihat hari ini. Saya sangat senang. Saya telah berjumpa dengan pasukan itu, berbual dengan pemain dan jurulatih.”
Iran, yang mendapat tempat dalam pertandingan itu pada Mac 2025, dijadualkan bermain kesemua perlawanan Kumpulan G mereka di Amerika – dua di Los Angeles dan satu di Seattle – menentang Belgium, Mesir dan New Zealand.
Presiden Amerika, Donald Trump, telah berkata walaupun pasukan kebangsaan Iran dialu-alukan untuk bermain di Amerika, ia mungkin tidak wajar demi “nyawa dan keselamatan” mereka.
Trump kemudiannya menjelaskan bahawa sebarang ancaman terhadap pemain itu tidak akan datang dari Amerika.
Pemain penyerang Iran yang bermain di Amiriah Arab Bersatu (UAE), Sardar Azmoun, pula tidak disertakan dalam skuad untuk kem latihan tersebut.
Ini berikutan laporan media Iran yang mendakwa beliau diketepikan kerana dianggap tidak menyokong pemerintah Iran.
Azmoun, yang telah menjaringkan 57 gol dalam 91 perlawanan antarabangsa, pernah memuat naik gambar pertemuannya dengan pemimpin pemerintah Dubai, Mohammed Rashid Al Maktoum, di Instagram.
Dubai adalah antara kawasan yang pernah diserang dengan roket dan dron Iran semasa konflik itu berlangsung.
Ketika bercakap terus kepada pemain Iran pada 31 Mac, Infantino menyatakan sokongannya namun mengelak daripada menyentuh isu yang lebih luas berkaitan perang tersebut.
“Dari sekarang hingga Piala Dunia, saya akan melakukan apa sahaja yang boleh untuk menyokong pasukan kebangsaan Iran,” kata Infantino, menurut FFIRI.
“Jika anda ingin menganjurkan kem latihan atau jika ada sebarang perkara berkaitan kegiatan di luar negara, apa sahaja, saya akan membantu.
“Bila-bila masa anda mahu, sila hubungi saya. Saya sedia membantu dan akan membantu apa sahaja yang anda perlukan,” tambahnya.
Piala Dunia akan berlangsung di Amerika, Mexico dan Canada dari 11 Jun hingga 19 Julai. – Reuters.

