SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Iran larang pasukannya sertai pertandingan di negara ‘seteru’

Iran larang pasukannya sertai pertandingan di negara ‘seteru’

Namun Kementerian Sukan Iran tidak sebut penyertaan negara itu dalam Piala Dunia pada 11 Jun di Amerika Syarikat, Canada dan Mexico
Mar 27, 2026 | 4:10 PM

Iran larang pasukannya sertai pertandingan di negara ‘seteru’

bola sepak, Timur Tengah, Iran larang pasukan bola sepak ke negara seteru, Piala Dunia, AFC,
Pemain pasukan bola sepak nasional Iran kini berada di Turkey bagi menjalani latihan sebagai persiapan untuk perlawanan menentang Nigeria pada 27 Mac 2026. - Foto REUTERS

TEHERAN: Iran telah melarang pasukan sukan kelab dan kebangsaannya daripada mengunjungi negara-negara yang dianggap “bermusuhan” dengannya, lapor stesen penyiar pemerintah Iran pada 26 Mac.

Larangan tersebut dikeluarkan menjelang perlawanan kelab bola sepak Iran, Tractor Sazi FC, yang dijadualkan di Arab Saudi.

Namun, larangan yang diumumkan oleh Kementerian Sukan Iran di Teheran itu tidak menyebut penyertaan negara itu dalam Piala Dunia yang bermula pada 11 Jun di Amerika Syarikat, Canada dan Mexico.

Kementerian itu menekankan perlawanan kelab Tractor menentang Shabab Al Ahli dari Dubai yang dijadualkan berlangsung di Arab Saudi pada April.

Ia adalah perlawanan kalah mati atau playoff dalam Liga Juara-Juara Elit Asia Elite.

“Kehadiran pasukan kebangsaan dan kelab di negara-negara yang dianggap bermusuhan dan tidak dapat memastikan keselamatan atlet dan ahli pasukan Iran adalah dilarang sehingga diberitahu kelak,” kata kementerian itu.

Perang Iran telah memberi kesan kepada rantau itu, dengan hampir setiap negara di Timur Tengah mengalami kerosakan akibat serangan peluru berpandu dan serangan dron.

Perlawanan melibatkan kelab Tractor di Arab Saudi itu adalah hasil undian Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 25 Mac untuk menentukan peringkat suku akhir, sehari selepas mengumumkan bahawa pertandingan kalah mati zon barat yang ditangguhkan kerana perang di Timur Tengah, telah dijadualkan semula pada 13 hingga 14 April di Jeddah.

Bandar di Arab Saudi itu juga dijadualkan menganjurkan pertandingan suku akhir, separuh akhir dan perlawanan akhir kejohanan itu dari 16 hingga 25 April, dengan pihak penganjur menetapkan tarikh dan berharap keamanan kembali semula di rantau berkenaan.

Kementerian Iran itu menambah bahawa adalah “menjadi tanggungjawab persekutuan bola sepak dan kelab Iran untuk memaklumkan Konfederasi Bola Sepak Asia mengenai larangan tersebut dan memindahkan tempat perlawanan”.

Sementara itu, Duta Iran di Mexico City berkata negara itu sedang berunding dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) untuk memindahkan tiga perlawanan peringkat kumpulan yang melibatkan Iran dari Amerika ke Mexico.

Iran dijadualkan bertemu New Zealand pada 15 Jun dan Belgium pada 21 Jun di Los Angeles. Pasukan itu juga akan bertemu Mesir di Seattle pada 26 Jun.

Ini selepas Presiden Amerika, Encik Donald Trump, berkata beliau tidak menggalakkan pasukan Iran menyertai kejohanan melibatkan 48 negara itu, atas alasan keselamatan.

Namun pada minggu lalu, Presiden Fifa, Encik Gianni Infantino, terus mengetepikan percubaan Iran untuk menukar tempat perlawanan Piala Dunia, dengan menyatakan bahawa badan pentadbir bola sepak global itu mahu kejohanan tersebut “dijalankan menurut jadual.”

Pemerintah dan pegawai bola sepak Iran menyatakan bahawa mereka tidak mahu memboikot Piala Dunia, namun pasukan kebangsaannya tidak mungkin pergi ke Amerika ekoran serangan ketenteraan ke atas negaranya oleh Israel dan Amerika sejak 28 Februari. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg