SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Irfan buru kemenangan penutup kempen Piala Asia 

Irfan buru kemenangan penutup kempen Piala Asia 

Terlepas peluang bersama pasukan negara ketika detik tewaskan Hong Kong
Mar 25, 2026 | 5:12 PM

Irfan buru kemenangan penutup kempen Piala Asia 

Irfan Fandi, Piala Asia
Setelah terlepas beberapa aksi penting Singapura dalam kempen kelayakan Piala Asia, pemain pertahanan, Irfan Fandi, kini kembali memperkukuhkan skuad bagi perlawanan terakhir mereka menentang Bangladesh di Stadium Negara pada 31 Mac. Beliau akui rasa sedih terlepas peluang beraksi semasa detik kelayakan Singa akibat kecederaannya. - Foto BH oleh KHALID BABA

Menyaksikan adiknya menjaringkan gol kemenangan ketika menentang Hong Kong – detik yang mengesahkan kelayakan bersejarah Singapura ke Piala Asia – mencetuskan rasa bangga buat Irfan Fandi dan juga terselit rasa sedih apabila beliau hanya mampu melihat dari jauh.

“Kalau saya kata saya tidak sedih kerana tidak bersama pasukan, itu tidak tepat. Tapi saya percaya dengan kemampuan rakan-rakan, dan mereka telah buktikannya dengan pencapaian tersebut,” kata pemain berusia 28 tahun itu.

Akibat kecederaan yang dialaminya ketika perlawanan persahabatan menentang Malaysia pada 2025, pemain pertahanan itu terlepas peluang bersama pasukan negara ketika detik bersejarah itu tercipta.

Kini, Irfan kembali menyertai skuad negara dengan semangat baru, bertekad menebus masa yang terlepas tatkala Singapura bersiap sedia menutup kempen kelayakan Piala Asia menentang Bangladesh di Stadium Negara pada 31 Mac.

Walaupun hanya satu penampilan lagi untuk melengkapkan 50 penampilan antarabangsa, pencapaian peribadi bukan keutamaannya.

Tumpuannya kekal untuk menyumbang sebaik mungkin demi pasukan.

“Sejujurnya, jumlah penampilan bukan keutamaan saya. Saya cuma mahu bermain, menikmati bola sepak dan bantu pasukan sebaik mungkin,” katanya.

Semangat itu akan turut dibawa ke perlawanan 31 Mac itu.

Walaupun kelayakan itu telah pun dipastikan, Irfan menegaskan bahawa mentaliti skuad tidak berubah, dan mereka tetap memburu kemenangan untuk menamatkan kempen kelayakan itu dengan cemerlang.

“Bagi kami, setiap perlawanan bersama skuad negara adalah penting. Mungkin bagi penyokong, ia satu sambutan, tapi di atas padang ia tetap satu perlawanan yang perlu dimenangi,” ujarnya.

“Kami mahukan tiga mata dahulu, kemudian barulah kita boleh raikan.”

Kepulangan beliau ke skuad negara juga menambah pengalaman dalam pasukan yang menurutnya, telah banyak berkembang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Irfan melihat perubahan positif dari segi komunikasi sebagai antara faktor utama kejayaan pasukan itu.

“Skuad sekarang sangat berbeza berbanding dahulu. Tenaga dalam pasukan baik, dan komunikasi antara pemain dengan barisan kejurulatihan juga sangat kuat. Itu banyak membantu kami,” kongsi Irfan.

Berbekalkan pengalaman beraksi di Thailand bersama Port FC, beliau turut berhasrat mahu membantu pemain muda dalam skuad itu agar terus berkembang.

“Saya akan cuba beri yang terbaik, gunakan pengalaman saya dan bantu pemain muda supaya kami lebih bersedia menjelang perlawanan,” katanya.

Perlawanan di Stadium Negara bukan sekadar aksi terakhir kelayakan di stadium sendiri, malah menjadi pentas bagi penyokong meraikan kejayaan pasukan itu melayakkan diri ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

Penyokong dapat meraikan kejayaan Singa seawal 28 Mac hingga hari perlawanan.

Mereka boleh menikmati stesen permainan bola sepak serta mengambil gambar di dinding foto mozek yang terdapat di Pusat Membeli-belah Kallang Wave.

Pada 28 Mac juga, penyokong boleh berinteraksi bersama ketua jurulatih, Gavin Lee, kapten pasukan, Hariss Harun, dan juga beberapa anggota skuad dalam sesi bertemu dan beramah mesra pasukan Singa.

Suasana pada malam perlawanan dijangka meriah dengan pelbagai kegiatan buat penyokong, termasuk zon peminat, persembahan hiburan dan penglibatan interaktif di dalam stadium.

Penyokong juga boleh menantikan persembahan bakat tempatan, Shazza, yang akan menyanyikan lagu Hari Kebangsaan, Home, sebelum perlawanan bermula.

Pada waktu rehat separuh masa, penyokong boleh menjangkakan persembahan daripada seorang lagi anak Fandi Ahmad, Iman Fandi.

“Melakukan persembahan semasa waktu rehat di The Kallang bukan sekadar satu pentas, tetapi satu detik kebanggaan, perpaduan dan jiwa,” kata Iman.

“Melakukannya ketika adik dan abang saya dalam pasukan kebangsaan menjadikannya lebih bermakna. Ia melambangkan kekeluargaan, bola sepak, dan semangat Singapura dalam satu malam,” tambahnya.

Namun di sebalik kemeriahan itu, tumpuan utama skuad tetap tidak berubah, mengekalkan tahap permainan dan membina momentum menjelang cabaran lebih besar yang menanti.

Bagi Irfan, kejayaan melayakkan diri ke Piala Asia membawa makna lebih luas, khususnya kepada pembangunan bola sepak tempatan.

“Ini satu pencapaian besar bagi bola sepak Singapura. Pemain muda boleh lihat dan percaya bahawa mereka juga boleh sampai ke tahap ini. Ia menjadi penanda aras untuk semua,” katanya.

Menjelang perlawanan penting ini, mesej Irfan mencerminkan pendirian keseluruhan pasukan, menghargai apa yang telah dicapai, tetapi dalam masa sama terus fokus untuk melangkah lebih jauh.

“Kami sudah sampai ke tahap ini, jadi sekarang kami perlu teruskan dan lakukan apa yang perlu,” tambahnya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg