Topic followed successfully
Go to BHkuChina, Pakistan aju inisiatif 5 perkara untuk pulih keamanan di Timur Tengah
China, Pakistan aju inisiatif 5 perkara untuk pulih keamanan di Timur Tengah
China, Pakistan aju inisiatif 5 perkara untuk pulih keamanan di Timur Tengah
BEIJING: China dan Pakistan telah mengemukakan inisiatif lima perkara untuk memulihkan keamanan dan kestabilan di rantau Teluk dan Timur Tengah semasa rundingan antara Menteri Luar China, Wang Yi, dan Timbalan Perdana Menteri Pakistan dan Menteri Luar Mohammad Ishaq Dar di Beijing pada 31 Mac.
Encik Wang, yang juga ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China, dan Encik Dar telah meneliti semula situasi di rantau Teluk dan Timur Tengah semasa rundingan mereka.
Kedua-dua pihak mengemukakan lima perkara berikut:
I. Penghentian permusuhan segera: China dan Pakistan menyeru penghentian permusuhan segera dan usaha terbaik untuk mencegah konflik daripada merebak. Bantuan kemanusiaan mesti dibenarkan ke semua kawasan yang terjejas perang.
II. Permulaan rundingan damai secepat mungkin: Kedaulatan, integriti wilayah, kemerdekaan negara serta keselamatan Iran dan negara-negara Teluk harus dijaga.
Dialog dan diplomasi adalah satu-satunya pilihan berdaya maju untuk menyelesaikan konflik. China dan Pakistan menyokong pihak-pihak berkaitan dalam memulakan rundingan, dengan semua pihak komited untuk menyelesaikan pertikaian secara aman, dan menahan diri daripada penggunaan atau ancaman penggunaan kekerasan semasa rundingan damai.
III. Keselamatan bukan ketenteraan: Prinsip melindungi orang awam dalam konflik ketenteraan harus dipatuhi. China dan Pakistan menyeru pihak-pihak dalam konflik supaya segera menghentikan serangan terhadap orang awam dan sasaran bukan ketenteraan, dan mematuhi sepenuhnya Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa.
Mereka juga perlu berhenti menyerang infrastruktur penting, termasuk tenaga, penyahgaraman dan kemudahan kuasa, infrastruktur nuklear yang aman, seperti loji kuasa nuklear.
IV. Keselamatan laluan perkapalan: Selat Hormuz merupakan laluan perkapalan global yang penting untuk barangan dan tenaga. China dan Pakistan menyeru pihak-pihak yang terlibat supaya melindungi keselamatan kapal dan anak kapal yang terkandas di Selat Hormuz, membenarkan laluan awal dan selamat kepada kapal-kapal awam dan komersial, serta memulihkan laluan normal melalui selat itu secepat mungkin.
V. Keutamaan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB): China dan Pakistan menyeru usaha untuk mengamalkan multilateralisme sebenar, untuk bersama-sama memperkukuh kepentingan PBB, dan menyokong pemeteraian perjanjian bagi mewujudkan rangka kerja keamanan yang komprehensif dan merealisasikan keamanan berkekalan berdasarkan tujuan dan prinsip Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa.
Inisiatif bersama itu diusahakan di tengah-tengah kebimbangan global yang semakin meningkat mengenai potensi konflik lebih luas di Teluk dan Asia Barat yang boleh menjejas bekalan tenaga dan laluan perdagangan maritim antarabangsa. - Agensi berita

