SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Bintang bola sepak pacu populariti catur

Bintang bola sepak pacu populariti catur

Tampak catur, bola sepak jauh berbeza daripada aspek fizikal, namun kededuanya miliki kelebihan serta persamaan yang tidak dijangka
Mar 31, 2026 | 5:00 PM

Bintang bola sepak pacu populariti catur

Bintang bola sepak, populariti catur, Haaland
Bintang penyerang pasukan bola sepak Manchester City dan Norway, Erling Haaland, mengakui gemar bermain catur kerana ia menajamkan pemikirannya. - Foto AFP

LONDON: Erling Haaland dan Mohamed Salah merupakan antara bintang Liga Perdana England (EPL) yang ‘ketagih’ bermain catur, sekali gus membantu mencetuskan peningkatan populariti permainan itu dalam kalangan golongan muda.

Penyerang Manchester City, Haaland, begitu meminati sukan minda itu sehingga beliau baru-baru ini melabur dalam program jelajah catur baru yang inovatif bagi memanfaatkan populariti sukan itu yang melonjak menyusuli penglibatan selebriti terkenal.

Selain Haaland, penyerang Liverpool, Salah, serta rakan sepasukan England seperti Harry Kane, Trent Alexander-Arnold dan Anthony Gordon juga merupakan peminat kuat pemainan catur.

Salah paling gemar dengan ‘blitz’ – jenis permainan catur yang pantas – dalam talian sambil menggunakan akaun tanpa nama.

“Setiap hari, saya benar-benar ketagih bermain catur,” kata superstar Mesir itu.

Pemain Arsenal, Martin Odegaard, dan juga Eberechi Eze, turut giat bermain catur, dengan Eze pernah menjadi juara kejohanan amatur pada 2025.

Memainkan peranan dalam menjayakan pertembungan antara catur dengan bola sepak ialah ‘grandmaster’ catur, Magnus Carlsen, juara dunia lima kali dan juga peminat bola sepak.

Kecintaan warga Norway itu terhadap kedua-dua sukan itu memainkan peranan dalam pertembungan tidak dijangka antara dua sukan itu.

Alexander-Arnold pula sering bermain catur bersama adik-beradiknya, dan pernah sesekali bermain dengan Carlsen. Namun, pemain pertahanan Real Madrid itu tewas kepada Carlsen dalam hanya 17 gerakan dalam tempoh lima minit.

Penyerang AC Milan, Christian Pulisic, mempunyai tatu catur di tangannya untuk menghormati datuknya yang mengajarnya bermain catur semasa beliau masih kecil lagi.

Juara Piala Dunia dari Perancis, Antoine Griezmann, serta pemain Real Madrid, Dani Carvajal, turut gemar bermain catur.

Catur, yang lebih mengutamakan pemikiran dan strategi, lazimnya kelihatan jauh berbeza daripada aspek fizikal dan lasak yang seiras dengan bola sepak profesional.

Namun, apabila kedua-dua sukan itu dibandingkan dengan lebih mendalam, terdapat lebih banyak persamaan yang tidak disangka.

“Catur sangat bermanfaat kerana ia menajamkan pemikiran. Kami perlu berfikir secara lancar dan mengikut naluri. Strategi dan perancangan secara awal juga sangat penting,” kongsi Haaland.

Disokong oleh Persekutuan Catur Antarabangsa (Fide), program jelajah catur baru menampilkan empat kejohanan setiap tahun di bandar yang berbeza.

Tiga juara akan muncul daripada jenis klasik pantas, ‘rapid’ dan ‘blitz’. Hadiah berjumlah sekurang-kurangnya £2 juta ($2.96 juta) ditawarkan pada setiap musim.

“Melihat seorang atlet bertaraf dunia seperti Erling Haaland menyertai Jelajah Kejohanan Dunia Catur Total adalah petanda kukuh tentang perhatian global dan kepentingan budaya yang dimiliki catur pada hari ini,” kata presiden Fide, Arkady Dvorkovich.

Permainan catur, yang berasal daripada abad ketujuh India, melonjak dalam talian semasa pandemik Covid-19. Menurut Fide, sekurang-kurangnya 1.5 bilion orang kini mempunyai aplikasi catur di telefon bimbit.

Strategi yang terlibat dalam catur juga menarik minat pengurus bola sepak yang mencari kelebihan mental dalam perancangan taktikal bagi perlawanan.

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, pernah berkata dalam buku Pep Confidential: “Anda tidak tahu betapa miripnya kedua-dua perkara ini.” – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg