SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Salah ukir nama sebagai antara pemain terhebat EPL

Salah ukir nama sebagai antara pemain terhebat EPL

Tampil dalam 310 perlawanan untuk Liverpool dengan 191 gol, 93 bantuan gol
Mar 30, 2026 | 11:29 AM

Salah ukir nama sebagai antara pemain terhebat EPL

Penyerang Liverpool asal Mesir, Mohamed Salah, memberi tepukan ketika meninggalkan padang selepas digantikan dalam perlawanan Liga Juara-Juara Uefa di Anfield pada 18 Mac.
Penyerang Liverpool asal Mesir, Mohamed Salah, memberi tepukan ketika meninggalkan padang selepas digantikan dalam perlawanan Liga Juara-Juara Uefa di Anfield pada 18 Mac. - Foto AFP

Mohamed Salah akan meninggalkan Liverpool hujung musim ini sebagai salah seorang pemain terhebat yang pernah mewakili kelab itu dan menghiasi Liga Perdana England (EPL).

Perangkaan pencapaian Salah sudah menjadi bukti.

Namun, masih banyak kehebatannya yang tidak dapat diterjemahkan melalui angka, bagi ikon Anfield yang digelar ‘Raja Mesir’ oleh para penyokong yang mengaguminya di kelab itu.

Beliau tiba di Liverpool daripada kelab Italy AS Roma pada 23 Jun 2017 dengan bayaran 34 juta paun ($58 juta), bayaran yang kini kelihatan amat rendah jika dibandingkan dengan apa yang beliau capai selepas itu.

Salah, seperti legenda EPL lain iaitu Kevin de Bruyne, pernah berada di Chelsea tetapi gagal memberi kesan, menjaringkan dua gol dalam 19 penampilan buat kelab itu, dengan hanya 10 permainan sebagai pemain utama.

Beliau pada mulanya memilih Chelsea berbanding Liverpool selepas meninggalkan kelab Switzerland, Basel, pada Januari 2014. 

Kenangan tunggalnya di Anfield sebelum akhirnya menyertai Liverpool adalah ketika beliau bermain untuk pasukan Jose Mourinho, dan menewaskan tuan rumah 2-0 pada April 2014.

Perlawanan itu menjadi terkenal kerana kesilapan Steven Gerrard, yang akhirnya membantu Manchester City merampas gelaran juara EPL.

Sejak itu, Salah telah mengukir kenangan abadi bagi Liverpool dan peminat kelab itu di seluruh dunia, dengan membantu memenangi Liga Juara-Juara, dua gelaran EPL, Piala FA, Piala EFL, Piala Super Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa)  dan Piala Dunia Kelab Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Kerjaya Salah bermula agak perlahan di Basel, dengan jurulatih Murat Yakin, memberi petunjuk tentang apa yang boleh dicapainya, selepas beliau menjaringkan gol dalam kemenangan suku akhir Liga Europa 2013 menentang Tottenham Hotspur.

Yakin berkata: “Jika Salah boleh menjaring gol dengan baik, beliau tidak akan berada di sini lagi.”

Beliau berjaya berbuat demikian, dan beliau memang tidak kekal di kelab itu.

Salah bermain dengan lebih baik selepas meninggalkan Chelsea, mula-mula dipinjamkan ke Fiorentina sebelum melalui tempoh cemerlang di Roma.

Mohamed Salah beraksi bersama pemain Sunderland, Reinildo Mandava, semasa perlawanan di Stadium of Light, Sunderland, pada 11 Februari.
Mohamed Salah beraksi bersama pemain Sunderland, Reinildo Mandava, semasa perlawanan di Stadium of Light, Sunderland, pada 11 Februari. - REUTERS

Menjelang ketibaan beliau di Anfield, beliau sudah menjadi pemain yang matang, namun tidak mungkin Jurgen Klopp, menyedari betapa luar biasanya bakat yang baru sahaja beliau dapatkan.

Gol pertama Salah adalah usaha yang kurang kemas – ditolak masuk daripada garisan gol dalam keputusan seri 3-3 di Watford pada hari pembukaan musim pertamanya.

Namun sejak itu, beliau tidak pernah berhenti menjaringkan gol.

Salah telah menjaringkan 255 gol dalam 435 perlawanan untuk Liverpool.

Ini meletakkan beliau di tempat ketiga dalam senarai penjaring gol terbanyak sepanjang masa kelab, di belakang Ian Rush dan Roger Hunt.

Dalam EPL, beliau telah membuat 310 penampilan untuk Liverpool, dengan 191 gol dan 93 bantuan gol.

Jumlah 281 sumbangan gol itu adalah yang terbesar untuk satu kelab dalam sejarah EPL, lima gol lebih banyak daripada Wayne Rooney, untuk Manchester United.

Penyerang Liverpool, Mohamed Salah, meraikan kejayaan bersama trofi EPL selepas perlawanan menentang Crystal Palace di Anfield, pada 25 Mei 2025.
Penyerang Liverpool, Mohamed Salah, meraikan kejayaan bersama trofi EPL selepas perlawanan menentang Crystal Palace di Anfield, pada 25 Mei 2025. - Foto AFP

Beliau menunjukkan keupayaannya pada musim pertama yang gemilang, menjaringkan 44 gol dan 14 bantuan gol dalam 52 penampilan. 

Namun, musim itu berakhir dengan kesedihan, apabila beliau terpaksa meninggalkan padang hanya selepas 31 minit dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Kiev, setelah mengalami kecederaan bahu akibat dicabar bek Real Madrid, Sergio Ramos.

Liverpool tewas 1-3 dalam perlawanan tersebut.

Beliau hanya perlu menunggu setahun untuk menebus dirinya di perlawanan akhir Liga Juara-Juara, menjaringkan penalti apabila Liverpool mengalahkan Tottenham 2-0 di Madrid.

Salah membentuk tiga serangkai penyerang yang terhebat di dunia pada waktu itu, bersama Sadio Mane, dan Roberto Firmino. 

Salah menyerang dari kanan, Mane dari kiri, manakala Firmino berperanan sebagai penyerang atau bantu menambah sentuhan kreatif kepada gabungan serangan yang lancar dan bahaya.

Ia merupakan gabungan sempurna antara tekanan, kuasa, kemahiran, kelajuan dengan ancaman.

Salah dan Mane tidak selalu serasi secara peribadi, tetapi di padang mereka bermain dengan baik bersama, dibantu oleh Firmino dari Brazil.

Ketekalan dan kecergasan Salah sungguh luar biasa.

Jumlah gol terendahnya dalam satu musim penuh sebelum kempen semasa ini adalah pada musim 2019-2020 apabila beliau ‘hanya’ menjaringkan 23 gol ketika Liverpool memenangi gelaran EPL untuk kali pertama dalam 30 tahun.

Mohamed Salah dinamakan Pemain Terbaik Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) pada 2018.
Mohamed Salah dinamakan Pemain Terbaik Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) pada 2018. - Foto fail

Dalam kerjayanya bersama Liverpool, Salah mencatat kadar kemenangan 63.9 peratus daripada 310 penampilan Liga Perdana, dan 62.7 peratus daripada keseluruhan 435 perlawanannya.

Penyokong Liverpool gembira apabila beliau menandatangani kontrak baru dua tahun pada April 2025.

Masa depan beliau kelihatan cerah.

Perbandingan perangkaan jaringan gol antara Mohamed Salah dengan beberapa legenda Liga Perdana England.
Perbandingan perangkaan jaringan gol antara Mohamed Salah dengan beberapa legenda Liga Perdana England. - Foto BH

Justeru, agak mengejutkan apabila prestasi Salah merosot musim ini, walaupun seperti seluruh kelab, beliau turut dilanda kesedihan mendalam atas pemergian rakan sepasukan tercinta, Diogo Jota, yang terkorban dalam satu nahas kereta pada Julai 2025.

Walaupun kesedihan banyak yang tidak dizahirkan, Salah menunjukkan emosinya dalam perlawanan pembukaan musim ini menentang Bournemouth di Anfield.

Kemerosotan prestasinya akhirnya menyebabkan beliau diketepikan ke bangku simpanan untuk tiga perlawanan berturut-turut, sebelum beliau membuat wawancara yang menggemparkan selepas menyaksikan Liverpool seri 3-3 menentang Leeds United pada 6 Disember.

Namun, sumbangannya akan sentiasa kekal utuh.

Apabila segala-galanya reda, tiada siapa yang boleh menafikan hakikat mudah bahawa Salah telah menjadi salah seorang pemain terhebat yang pernah mengenakan baju merah Liverpool itu. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg