Topik diikuti
Pergi ke BHkuAlonso belum sedia bersara, ingin terus berlumba
Alonso belum sedia bersara, ingin terus berlumba
Alonso belum sedia bersara, ingin terus berlumba
MONACO: Buat julung-julung kalinya, juara dunia dua kali Formula Satu (F1), Fernando Alonso, menyatakan keinginannya untuk terus beraksi pada beberapa musim akan datang.
Pelumba Sepanyol itu, yang bakal menamatkan kontraknya menjelang akhir 2026, melahirkan harapan bahawa musim ini “bukan yang terakhir” ketika ditemui di Grand Prix (GP) Monaco pada 25 April.
Sebelum ini, Alonso hanya menimbangkan masa depan beliau di F1 tahun demi tahun, dan mengakui keputusan untuk bersara akan menjadi lebih sukar jika kenderaan beliau tidak mampu berdaya saing.
Alonso juga pernah berkata beliau mungkin menganggap musim 2026 sebagai yang terakhir.
Semasa ditemuramah oleh siaran rasmi F1, Alonso berkata:
“Saya benar-benar suka berlumba. Saya hanya berusia tiga tahun semasa perlumbaan pertama saya. Kini saya berusia 44 tahun, jadi saya sudah beraksi selama 41 tahun.
“Ternyata, keputusan untuk bersara akan menjadi keputusan yang sukar untuk dilakukan.”
“Buat masa ini, saya rasa waktu (untuk bersara) belum tiba. Saya masih bersungguh-sungguh bersaing dan gembira setiap kali saya memandu. Jadi, saya berharap ini bukan musim yang terakhir.”
Beliau kini berlumba dalam musim ke-23 dan telah memenangi 32 GP.
Pasukan Aston Martin, yang diwakili Alonso, melangkah ke 2026 dengan harapan menggunung.
Tahun ini merupakan musim pertama mereka bergelar sebagai rakan enjin pengilang bersama bekas juara dunia, Honda, selain diperkukuh dengan kehadiran pereka terkenal, Adrian Newey, yang menyertai pasukan itu pada Mac 2025.
Namun, mereka mempunyai permulaan musim yang hambar, akibat jentera dan enjin yang dibelenggu masalah prestasi serta tahap keandalan yang lemah.
Honda memikul kebanyakan kritikan mengenai prestasi hambar itu, dengan gegaran daripada enjin mereka dikesan menjadi punca kerosakan serta mencetuskan ketidakselesaan yang melampau buat pemandu.
Newey turut mengakui pasukannya kini ketinggalan berbanding pesaing lain dari segi penyelidikan dan pembangunan jentera, akibat penyertaan lewat beliau ke dalam pasukan tersebut.
Namun, beliau yakin pasukannya boleh merapatkan jurang tersebut dalam baki tempoh musim ini.
Selain itu, Aston Martin tiada banyak pilihan untuk pemandu utama bagi musim 2027, selain terus sandarkan harapan kepada Alonso.
Pada masa sama, Alonso mungkin keberatan menamatkan kerjaya gilang-gemilangnya selepas mengharungi musim yang mengecewakan.
Beliau pastinya berharap agar pasukannya dapat kembali bangkit baginya menutup tirai kerjaya secara bermakna pada 2027. – Agensi berita.
