BENGALURU: Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) sedang mengadakan perbincangan dengan persatuan-persatuan kebangsaan untuk meningkatkan wang ganjaran bagi kesemua 48 pasukan yang menyertai Piala Dunia 2026, menurut badan induk bola sepak dunia itu pada 26 April.

Cadangan tersebut mestilah diluluskan pada mesyuarat Majlis Fifa pada 28 April ini, yang diadakan menjelang Kongres Fifa ke-76 di Vancouver, Canada.

Pada Disember 2025, Fifa berkata wang ganjaran bagi Piala Dunia 2026 ialah 50 peratus lebih tinggi berbanding edisi sebelumnya.

Sebelum ini, wang ganjaran ialah sebanyak AS$655 juta ($834 juta), manakala bagi edisi kali ini, ia mencatatkan rekod sumbangan kewangan baru berjumlah AS$727 juta ($926 juta).

Namun, Fifa memaklumkan bahawa wang ganjaran yang ditawarkan bakal meningkat memandangkan badan induk dunia itu dijangka melepasi hasil pendapatan sebanyak AS$11 bilion dalam kitaran empat tahun semasa dari 2023 hingga 2026.

“Fifa boleh mengesahkan bahawa perbincangan sedang dijalankan dengan persatuan-persatuan di seluruh dunia untuk meningkatkan hasil pendapatan yang tersedia,” kata seorang jurucakap Fifa.

“Ini termasuk cadangan kenaikan sumbangan kewangan kepada semua pasukan yang layak ke Piala Dunia Fifa 2026 serta dana pembangunan yang tersedia untuk kesemua 211 persatuan ahli.

“Piala Dunia Fifa 2026 akan menjadi pencetus perubahan dari segi sumbangan kewangannya kepada masyarakat bola sepak global dan Fifa berbangga berada dalam kedudukan kewangan paling kukuh untuk memberi manfaat kepada sukan global ini melalui program Fifa Forward.”

Bahagian terbesar daripada pakej pembiayaan awal Fifa untuk kejohanan di Amerika Utara tersebut – berjumlah AS$655 juta – adalah untuk pembayaran berasaskan prestasi kepada 48 negara yang bertanding.

Pengumuman Fifa pada Disember 2025 mengenai wang ganjaran menyatakan bahawa juara akan membawa pulang AS$50 juta dan naib juara AS$33 juta, manakala 16 negara yang gagal melepasi fasa kumpulan awal ditetapkan untuk memperoleh AS$9 juta.

Selain itu, setiap negara yang layak berhak menerima AS$1.5 juta bagi menampung kos persediaan.

Laporan tahunan Fifa 2025 berkongsi bahawa 93 peratus daripada jumlah hasil pendapatan yang dianggarkan telah pun ditetapkan menjelang akhir tahun 2025, hasil kejayaan sulung Piala Dunia Kelab dengan 32 pasukan yang diadakan di Amerika Syarikat pada 2025.

Piala Dunia 2026 akan berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai di Amerika, Mexico, dan Canada. – Reuters.