Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usia lebih 50 tahun sertai Ironman, ingin kekal sihat, uji daya tahan sendiri

Jan 11, 2026 | 5:30 AM
gaya hidup sihat, Ironman, Shamsuri A Rahman
Pemandu kereta sewa privet (PHV), Encik Shamsuri A Rahman, 55 tahun, mendaftarkan dirinya dalam acara Ironman 70.3 walaupun pada mulanya tidak mahir berenang. - Foto ihsan SHAMSURI A RAHMAN

Air mata Encik Shamsuri A Rahman menitis tatkala mengenang perjalanannya menamatkan perlumbaan Ironman di Australia pada Disember 2025 pada usia lebih separuh abad.

Walaupun tiada pengalaman sebelum ini dalam menyertai maraton Ironman, dan tidak mahir berenang, pemandu kereta sewa privet (PHV) itu mengambil langkah untuk mendapatkan jurulatih renang sebagai persiapan diri menghadapi perlumbaan yang mencabar itu.

Bapa seorang anak perempuan itu telah mendaftarkan diri bagi acara Ironman separuh jarak yang diberi nama Ironman 70.3 di Busselton, Australia Barat, pada Disember 2025.

“Sebenarnya, saya mendaftarkan diri untuk Ironman ini tanpa sebarang pengetahuan bagaimana hendak berenang. Saya hanya ingin mencabar diri saya kerana saya yakin saya boleh lakukannya,” kongsinya.

Dalam acara tersebut beliau berenang sejauh 1.9 kilometer, berbasikal 90km dan berlari separuh maraton sejauh 21.1km. Keseluruhan jarak bagi ketiga-tiga acara adalah sejauh 113km.

Menurutnya, beliau hanya mula menyertai kelas berenang persendirian bersama jurulatih peribadi pada awal Januari 2025.

“Setiap pagi Khamis saya akan berulang-alik dari rumah saya di Woodlands ke kolam renang Pasir Ris untuk latihan.

“Pada hujung minggu pula, saya sertai latihan bersama kelab kumpulan penggiat sukan triatlon, Terai-Melayu SG,” katanya yang turut berlatih di pantai East Coast bagi sesi renang laut terbuka.

Encik Shamsuri berkata beliau mula aktif menyertai acara maraton sejak 2022 bagi memulakan gaya hidup sihat dan mengawal berat badannya yang kini sekitar 80 kilogram (kg).

Sebabnya hanya beberapa tahun lalu berat badan beliau pernah mencecah sehingga 122kg.

Namun selepas diberi amaran oleh doktor mengenai risiko kesihatan serius termasuk kemungkinan menghidapi masalah buah pinggang sekiranya tidak merubah gaya hidupnya, beliau bertekad mengubah keadaan dirinya.

Selepas menjalani pembedahan bariatrik – melibatkan pengecilan bahagian perut – atas saranan doktor, bapa seorang anak perempuan itu membulatkan tekadnya untuk mengekalkan berat badan yang turun kepada 80kg dengan memilih gaya hidup yang lebih sihat.

Penyertaannya dalam acara Ironman juga dianggap sebagai cabaran peribadi untuknya menguji daya tahannya.

Bagi mengukur tahap kesediaannya pula, Encik Shamsuri menyertai Triatlon Antarabangsa Port Dickson Kenanga pada Mei 2025 bagi menguji dirinya sebelum ke Australia.

“Ketika itu (acara triatlon di Port Dickson) saya masih belum mahir berenang dengan gaya bebas dan hanya menggunakan teknik gaya ‘katak’ bagi menyelesaikan acara renang,” katanya.

Segala usaha dan pengorbanan itu membuahkan hasil apabila beliau berjaya melintasi garisan penamat Ironman 70.3 di Australia dalam masa 7 jam 50 minit, iaitu 40 minit lebih awal daripada had masa 8 jam 30 minit yang ditetapkan penganjur.

Lebih membanggakan, Encik Shamsuri A Rahman berjaya menamatkan cabaran Ironman 70.3 sebelum had masa yang ditetapkan penganjur.
Lebih membanggakan, Encik Shamsuri A Rahman berjaya menamatkan cabaran Ironman 70.3 sebelum had masa yang ditetapkan penganjur. - Foto ihsan SHAMSURI A RAHMAN

Encik Shamsuri mengakui berasa syukur apabila melintasi garisan penamat sambil disorak oleh isterinya, yang turut hadir di acara tersebut.

“Ini merupakan pencapaian yang amat membanggakan saya, lebih-lebih lagi pada usia sebegini.

“Semasa perlumbaan itu, saya kerap memberitahu diri saya bahawa saya melakukan ini demi keluarga dan ingin membuat mereka bangga apabila melihat saya melintasi garisan penamat,” kongsinya yang mengakui acara tersebut bukan sahaja menguji kekuatan fizikal tetapi juga ketahanan mental.

Isterinya merupakan tulang belakang utama dalam perjalanannya, sering memberikan dorongan dan sokongan moral.

Antara sokongan utama Encik Shamsuri A Rahman ialah isterinya, Cik Norlinda Dasuni (kanan), yang turut menemaninya ke Australia dan juga sering menjadi teman lariannya ketika beliau berlatih.
Antara sokongan utama Encik Shamsuri A Rahman ialah isterinya, Cik Norlinda Dasuni (kanan), yang turut menemaninya ke Australia dan juga sering menjadi teman lariannya ketika beliau berlatih. - Foto ihsan SHAMSURI A RAHMAN

Pasangan itu juga kerap berlatih larian bersama memandangkan Cik Norlinda Dasuni, 55 tahun, juga gemar berlari.

“Dahulu saya yang berada di belakangnya ketika berlari, kini saya pula di hadapannya,” kata Encik Shamsuri sambil tersenyum.

Kini Encik Shamsuri sedang membuat persiapan untuk acara Climbaton di Gunung Ledang dan Ironman 2026 bagi mencabar lagi dirinya.

Infobox:

  1. Ironman penuh ialah siri perlumbaan triathlon jarak jauh yang terdiri daripada 3.8 kilometer (km) renang, 180.2 km berbasikal dan 42.2 km larian yang perlu diselesaikan mengikut turutan tersebut, dengan keseluruhan jarak sejauh 226.3 km. Kebanyakan acara Ironman mempunyai had masa antara 16 hingga 17 jam.
  1. Manakala Ironman 70.3 ialah separuh jarak daripada perlumbaan Ironman penuh, iaitu 1.9 km renang, 90 km berbasikal dan 21.1 km larian separuh maraton, dengan keseluruhan jarak sejauh 113 km.
  1. Perlumbaan Spartan terdiri daripada litar sejauh 5 km hingga 50 km, masing-masing mempunyai lebih daripada 20 halangan ikonik. Antaranya termasuk memanjat tali, ayunan multi-rig yang kompleks dan lontaran lembing yang tepat.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg