Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sertai 18 acara sukan dalam setahun, ibu usia 52 tahun sahut cabaran Ironman

Jan 11, 2026 | 5:30 AM
gaya hidup sihat, Ironman, Marliny Abdul Samad
Cik Marliny Abdul Samad, 52 tahun, baru sahaja beraksi dalam acara menguji ketahanan fizikal Ironman di Australia Barat yang merangkumi tiga acara – larian, renang serta berbasikal. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Apa yang bermula sebagai rasa bosan terhadap sukan larian yang dilakukan semasa pandemik Covid-19 berkembang menjadi minat mendalam terhadap sukan lasak Ironman penuh bagi Cik Marliny Abdul Samad.

Wanita berusia 52 tahun itu, yang giat bersukan sejak di bangku sekolah lagi, berjaya mengatasi garisan penamat Ironman di Busselton, Australia Barat, pada Disember 2025 dengan mencatat masa sekitar 16 jam dalam perlumbaan yang menuntut ketahanan fizikal dan mental.

“Memang semasa pandemik, saya banyak berlari tapi rasa bosan. Namun lama-kelamaan ia menjadi rutin harian saya, sehinggakan saya mula tanam minat untuk berlari lebih jauh dan mencabar dalam sukan lebih lasak pula,” kata ibu seorang anak perempuan remaja itu.

Beliau kemudian mendaftarkan diri dalam perlumbaan Ironman itu yang merangkumi tiga acara – renang sejauh 3.8 kilometer (km), berbasikal 180km dan larian 42.2km.

Ketika ditemui Berita Minggu (BM), Cik Marliny berkata beliau memulakan latihan intensif pada Julai 2025 sebagai persiapan diri bagi acara tersebut di bawah bimbingan seorang jurulatih peribadi yang berpangkalan di Perth.

“Saya menjalani latihan hampir setiap hari dan berehat hanya ketika sakit atau cedera,” katanya.

Mengimbangi masa kerja bersama jadual latihan yang penuh disiplin hampir setiap hari , Cik Marliny tetap berjaya menyertai sebanyak 18 acara sukan pada 2025 dan bakal beraksi sekali lagi dalam beberapa acara sukan pada 2026.
Mengimbangi masa kerja bersama jadual latihan yang penuh disiplin hampir setiap hari , Cik Marliny tetap berjaya menyertai sebanyak 18 acara sukan pada 2025 dan bakal beraksi sekali lagi dalam beberapa acara sukan pada 2026. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Lebih mencabar lagi, Cik Marliny mengimbangi komitmen hariannya sebagai eksekutif di sebuah syarikat binaan, bekerja dari 8.30 pagi hingga 6 petang, sebelum berlatih selama dua hingga tiga jam setiap malam.

“Sejak penampilan sulung saya dalam perlumbaan Ironman 70.3 Langkawi pada 2024, saya sudah bertekad untuk menyertai acara Ironman jarak penuh pada 2025,” kongsi Cik Marliny yang telah menyertai sebanyak 18 acara sukan pada 2025.

Antaranya termasuk larian 55km dalam acara Maraton Ultra Transbalerang, di Trans Barelang Batam; berenang sejauh 750 meter dan berlari sejauh 5km dalam acara MetaSprint Aquathlon di Palawan Beach, Sentosa; berbasikal sejauh 140km dalam Maybank Cycling Series di Johor; dan berlari maraton sejauh 42km di Kuching, Sarawak.

Menurutnya juga, rakan-rakan dari MetaSport sentiasa memberi sokongan menerusi kumpulan di WhatsApp, menjadi antara pencetus utama apabila mereka sepakat untuk mencuba Ironman jarak penuh bersama-sama.

Kata Cik Marliny, antara cabaran yang harus dihadapinya semasa di Australia ialah menyesuaikan diri semasa berenang di perairan yang lebih sejuk akibat cuaca yang berlainan.

Dari segi persiapan, beliau memberi tumpuan kepada pemakanan suplemen berkhasiat termasuk pelbagai gel tenaga, kepingan tenaga dan minuman karbohidrat untuk kekal bertenaga sepanjang perlumbaannya itu.

Latihan renangnya juga dijalankan di beberapa lokasi seperti kolam renang di Bukit Merah dan Pusat Akuatik OCBC selain sesi renang di perairan terbuka Sentosa.

“Latihan ini termasuk menggunakan sut basah atau wetsuit bagi menyesuaikan diri dengan suhu air yang lebih sejuk di Australia.

“Sebagai persediaan bagi segmen berbasikal pula, saya sering berlatih secara solo dan berkumpulan. Saya pernah berkayuh dari Singapura ke Johor sejauh 160km,” kongsi Cik Marliny.

Baginya, cabaran terbesar bukan sekadar keletihan fizikal, tetapi pengurusan masa di tengah-tengah komitmen kerja sepenuh masa dan tanggungjawab sebagai ibu.

Namun, beliau menikmati proses latihan itu sendiri kerana mengingatkannya kepada zaman persekolahan ketika aktif dalam sukan.

Pada hari perlumbaan di Australia pula, Cik Marliny bangun seawal 3 pagi untuk membuat persiapan terakhir.

Disiplin renang, yang dianggap paling mencabar buatnya, berjaya diselesaikan dalam kira-kira dua jam lima minit, hanya beberapa minit sebelum had masa ditetapkan.

Ketika acara berbasikal pula, beliau berdepan cabaran apabila tayar basikalnya pancit yang menyebabkan beliau memerlukan bantuan mekanik dalam menggantikan tiub tayarnya.

Namun, mereka mendapati bahawa tiup tayar Cik Marliny juga bocor. Mujur kata beliau, pegawai mekanik yang sedang meronda di acara tersebut mempunyai tayar ganti.

Akibat cabaran yang tidak diduga itu, beliau terpaksa menunggu hampir dua jam untuk menukar tayarnya sebelum meneruskan perlumbaan.

Beliau kemudian terus menguatkan mentalnya semasa acara larian pula – acara yang terakhir sebelum peserta melintas garisan penamat – walaupun keletihan mula dirasakan.

“Saya kerap memberitahu diri saya untuk tidak diarah berhenti oleh pegawai perlumbaan kerana terlalu perlahan. Saya jadikan ia sebagai motivasi untuk kekal bertahan sepanjang larian saya,” kata Cik Marliny yang berjaya menamatkan perlumbaannya dalam masa 16 jam.

Cik Marliny Abdul Samad (kiri) bersama anak remajanya yang berusia 15 tahun, Maya Syams, juga merupakan sokongan utamanya dalam perjalanannya di Australia.
Cik Marliny Abdul Samad (kiri) bersama anak remajanya yang berusia 15 tahun, Maya Syams, juga merupakan sokongan utamanya dalam perjalanannya di Australia. - Foto ihsan MARLINY ABDUL SAMAD

Beliau akui kejayaannya selama ini ialah juga atas sokongan keluarga terutamanya daripada anak perempuan beliau, Maya Syams, 15 tahun, yang turut hadir memberikan sokongan kepadanya di Australia.

Tahun 2026 ini baru menjelma, namun Cik Marliny sudah pun mula mempersiapkan diri untuk enam acara sukan lasak yang bakal beliau sertai, antaranya ialah Metasprint Duathlon pada 15 Mac ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg