Topic followed successfully
Go to BHkuTrump bayang tindakan ke atas Cuba
Trump bayang tindakan ke atas Cuba
Tangguh musnah loji tenaga Iran hingga 6 April, rundingan ‘jalan lancar’
Trump bayang tindakan ke atas Cuba
MIAMI: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump telah memberi bayangan beliau akan memberi tumpuan kepada Cuba menyusuli tindakan ketenteraan Amerika di Venezuela dan Iran.
Berucap di forum pelaburan di Miami pada 27 Mac, Encik Trump berkata “selepas ini Cuba” sebelum memuji kejayaan tindakan ketenteraan Amerika di Venezuela dan Iran.
Walaupun tidak memberi perincian tindakan yang dirancang ke atas negara itu, Encik Trump sering berkata pemerintah di Havana, yang sedang berdepan krisis ekonomi teruk berada di ambang keruntuhan.
Menambah, Encik Trump berkata pentadbirannya telah membuka rundingan dengan beberapa pihak dalam kepimpinan Cuba dan menyusuli itu, memberi bayangan tindakan ketenteraan mungkin berlaku.
“Saya bina tentera hebat ini. Saya kata, ‘Kita tak perlu gunakannya.’ Tetapi kadang-kadang perlu. Cuba selepas ini,” katanya. “Tapi anggap saya tak cakap begitu.”
Presiden Cuba Encik Miguel Diaz-Canel akur negaranya sedang berbincang dengan Amerika bagi mengelakkan kemungkinan pertembungan ketenteraan.
Ekonomi Cuba terjejas akibat gangguan import minyak yang penting untuk tenaga dan pengangkutan.
Sebelum operasi Amerika menahan pemimpin Venezuela Encik Nicolas Maduro pada Januari, Venezuela membekalkan sebahagian besar minyak Cuba.
Namun pemerintah baru di Caracas, di bawah tekanan Washington, telah menghentikan bekalan tersebut.
Awal Mac, Trump berkata pemerintahan Cuba mungkin diambil alih secara mesra, tetapi menyusuli itu berkata ada kemungkinan perkara itu tidak berlaku.
Sementara itu, Trump menangguhkan tarikh akhir serangan ke atas aset tenaga Iran, dengan menyatakan rundingan untuk menamatkan perang “berjalan dengan lancar”.
Ini sedang Israel melaksanakan serangan baru ke atas Teheran pada awal 27 Mac, memperdalam konflik yang kini menggoncang pasaran tenaga sedang ia menghampiri bulan kedua.
Pada 21 Mac, Trump pada mulanya memberi Iran tempoh 48 jam untuk membuka laluan strategik itu kepada kapal tangki minyak, dengan ancaman memusnahkan loji tenaga, namun beliau kini telah menangguhkan tarikh akhir itu dua kali.
“Seperti diminta oleh pemerintah Iran, saya menangguhkan tempoh pemusnahan loji tenaga selama 10 hari hingga 6 April 2026,” katanya di Truth Social pada 26 Mac.
Kira-kira satu per lima bekalan minyak mentah sedunia dan gas asli cecair melalui Selat Hormuz pada waktu aman.
Encik Trump menafikan beliau terdesak untuk mencapai perjanjian walaupun maklum balas dingin Iran terhadap pelan damai Amerika.
“Rundingan sedang berjalan walaupun ada kenyataan palsu media dan ia berjalan dengan lancar,” katanya.
Utusannya, Encik Steve Witkoff, berkata terdapat “tanda kukuh” Teheran bersedia berunding dan mengesahkan Washington telah menghantar senarai 15 perkara kepada Iran melalui pegawai Pakistan.
“Kita akan lihat ke mana hala tuju ini… tanpa pilihan baik selain mengelakkan lebih banyak kematian dan kemusnahan,” katanya.
Encik Trump turut berkata Iran telah membenarkan 10 kapal tangki minyak melalui Selat Hormuz sebagai tanda kesungguhan.
Agensi berita Iran, Tasnim, melaporkan Teheran telah memberi maklum balas terhadap 15 perkara itu dan kini “menunggu maklum balas pihak berkenaan”.
Dalam pada itu, Setiausaha Negara Amerika Encik Marco Rubio berkata negara-negara G7 perlu membantu membuka semula Selat Hormuz, sebelum tiba di Perancis bagi mesyuarat menteri luar blok perdagangan itu. – AFP.

