SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

4j hilang tempat tinggal akibat konflik AS-Israel-Iran, krisis kemanusiaan kian meruncing

4j hilang tempat tinggal akibat konflik AS-Israel-Iran, krisis kemanusiaan kian meruncing

Mar 27, 2026 | 10:15 AM

4j hilang tempat tinggal akibat konflik AS-Israel-Iran, krisis kemanusiaan kian meruncing

Sebuah keluarga yang kehilangan tempat tinggal duduk di sebelah unggun api di sebuah penempatan sementara, ketika ketegangan antara Israel dan Hezbollah semakin memuncak, dalam konflik Amerika Syarikat-Israel dengan Iran yang berterusan, di Beirut, Lebanon, 26 Mac 2026.
Sebuah keluarga yang kehilangan tempat tinggal duduk di sebelah unggun api di sebuah penempatan sementara, ketika ketegangan antara Israel dan Hezbollah semakin memuncak, dalam konflik Amerika Syarikat-Israel dengan Iran yang berterusan, di Beirut, Lebanon, 26 Mac 2026. - Foto REUTERS

TEHERAN: Sekitar empat juta penduduk di Asia Barat kini kehilangan tempat tinggal susulan konflik bersenjata melibatkan Amerika Syarikat dan Israel, sekali gus mencetuskan krisis kemanusiaan yang semakin membimbangkan.

Anggaran terkini menunjukkan kira-kira 3.2 juta rakyat Iran terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing sejak serangan bermula pada 28 Februari, manakala lebih satu juta penduduk di Lubnan turut berdepan nasib sama dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.

Situasi ini mencerminkan kesan langsung konflik terhadap orang awam, ketika keganasan yang berterusan memaksa keluarga mencari perlindungan dalam keadaan serba kekurangan.

Sehingga kini, lebih 1,500 orang dilaporkan terbunuh di Iran akibat serangan yang dikaitkan dengan perang tersebut. Namun, angka sebenar dijangka lebih tinggi kerana pihak berkuasa masih belum mengeluarkan data rasmi sepenuhnya.

Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), UNHCR, menganggarkan jumlah mereka yang hilang tempat tinggal di Iran kini melebihi tiga peratus daripada keseluruhan populasi negara itu.
Ketua UNHCR memberi amaran bahawa krisis ini memerlukan perhatian segera daripada masyarakat antarabangsa, khususnya dari segi pembiayaan bantuan.

“Kami merayu dana sebanyak AS$69 juta (S$88 juta) untuk rantau ini, tetapi setakat ini kami hanya menerima kurang daripada 10 peratus,” katanya dalam satu wawancara di Brussels.

Beliau menegaskan, “Ini adalah krisis yang sangat besar, dan orang ramai amat memerlukan bantuan.”
Menurut beliau lagi, jumlah individu yang hilang tempat tinggal di seluruh dunia kini berada pada tahap tertinggi dalam sejarah, ketika sumber bantuan pula semakin berkurangan.

“Bilangan mereka yang terpaksa berpindah tidak pernah setinggi ini, tetapi pada masa sama, sumber kewangan semakin menyusut,” katanya.

Krisis ini turut diburukkan oleh pengurangan dana daripada negara penderma utama, termasuk Amerika Syarikat dan beberapa kuasa Barat lain yang kini lebih menumpukan perbelanjaan kepada sektor pertahanan.

Selain itu, konflik yang semakin meluas turut menjejaskan rantaian bekalan global, termasuk penghantaran bantuan kemanusiaan.

Penutupan ruang udara dan gangguan perkapalan di Selat Hormuz telah memberi kesan langsung kepada operasi bantuan antarabangsa.

“Kami bergantung kepada hab logistik di Amiriah Arab Bersatu untuk menghantar bekalan ke Afrika dan Asia,” katanya. “Namun, serangan yang berlaku telah mengganggu operasi ini dan menyebabkan kelewatan, sekali gus menjejaskan keupayaan kami membantu golongan rentan di seluruh dunia.”

Di dalam Iran sendiri, kemusnahan besar-besaran terus dilaporkan apabila lebih 85,000 lokasi awam rosak, termasuk ratusan kemudahan kesihatan dan sekolah. Sebanyak 282 fasiliti kesihatan, 600 sekolah dan lebih 64,000 rumah dilaporkan mengalami kerosakan sejak konflik bermula.

Di ibu negara Teheran, hampir 14,000 unit kediaman rosak, manakala sekurang-kurangnya 6,000 penduduk terpaksa ditempatkan di hotel milik pemerintah sebagai perlindungan sementara.
Kemerosotan perkhidmatan asas seperti air, elektrik dan kesihatan turut mendorong pergerakan penduduk secara besar-besaran ke kawasan yang lebih selamat.

Walaupun aliran keluar merentasi sempadan masih terhad, beberapa negara jiran seperti Iraq telah melaporkan kemasukan kecil rakyat Iran yang melarikan diri daripada konflik.

Di Afghanistan pula, kebanyakan yang tiba adalah rakyat Afghanistan yang kembali dari Iran, manakala Pakistan hanya menerima kemasukan terkawal melibatkan pedagang dan warga sah.
Negara lain seperti Turkey, Turkmenistan dan Azerbaijan melaporkan keadaan sempadan yang masih stabil dengan pergerakan terhad.

Namun, agensi bantuan memberi amaran bahawa tekanan dijangka meningkat sekiranya konflik berlarutan, sekali gus berpotensi mencetuskan krisis pelarian berskala besar.

Sementara itu, Lebanon turut mengalami situasi yang semakin kritikal apabila konflik merebak ke negara itu susulan serangan roket dan dron oleh Hezbollah yang disokong Iran terhadap Israel.
Tindak balas Israel melalui serangan udara berskala besar telah memaksa hampir satu daripada lima penduduk Lubnan meninggalkan kediaman mereka.

Menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM), jumlah individu yang hilang tempat tinggal di negara itu kini mencecah lebih 1.04 juta orang.
Daripada jumlah itu, lebih 132,000 ditempatkan di pusat perlindungan sementara, namun kapasiti sedia ada tidak mencukupi untuk menampung jumlah mangsa yang semakin meningkat.

Ramai keluarga kini terpaksa bermalam di jalanan, dalam kenderaan atau di ruang awam kerana kekurangan tempat perlindungan.

Lebih membimbangkan, lebih 250,000 orang telah meninggalkan Lebanon dalam tempoh dua minggu sahaja, meningkat 40 peratus berbanding tempoh sebelumnya.

Sebahagian besar mereka melarikan diri ke Syria, dengan lebih 125,000 orang telah melintasi sempadan setakat pertengahan Mac, hampir separuh daripadanya adalah kanak-kanak.

Di selatan Lebanon beberapa jambatan utama turut dimusnahkan oleh serangan Israel, sekali gus menjejaskan hubungan antara kawasan dan menyukarkan pergerakan penduduk.

Presiden Lebanon, Encik Joseph Aoun, menyifatkan serangan tersebut sebagai cubaan untuk memisahkan wilayah selatan daripada bahagian lain negara itu. “Serangan ini adalah usaha untuk memutuskan hubungan geografi antara wilayah Litani selatan dan seluruh wilayah Lebanon,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan itu mencerminkan “rancangan mencurigakan untuk mewujudkan zon penampan serta mengukuhkan pendudukan di wilayah Lebanon”. - Agensi berita

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg