Topik diikuti
Pergi ke BHkuTeksi rentas sampadan: Bayar lebih untuk keselesaan, ‘lubuk rezeki’ buat pemandu
Teksi rentas sampadan: Bayar lebih untuk keselesaan, ‘lubuk rezeki’ buat pemandu
Wartawan media sosial BH bayar tambang $111 untuk khidmat teksi Grab dari S’pura ke JB
Teksi rentas sampadan: Bayar lebih untuk keselesaan, ‘lubuk rezeki’ buat pemandu
Kalau sebut tentang perjalanan ke Johor Bahru (JB), saya seperti kebanyakan rakyat Singapura lain, sudah terbiasa dengan rutin harungi sesak menaiki bas, memandu sendiri dalam trafik yang ‘merangkak’ atau bergegas ke Terminal Ban San Street di Bugis untuk mendapatkan teksi.
Justeru, apabila syarikat Grab melancarkan perkhidmatan teksi rentas sempadan secara rasmi mulai 4 Mei, ia menjanjikan perkhidmatan teksi rentas sempadan antara dua negara yang mudah diakses.
Saya dan rakan sejawatan, iaitu wartawan media sosial, Encik Umar Hazim, berpeluang mencuba sendiri khidmat itu pada 6 Mei, dengan melakukan perjalanan ulang-alik dari bangunan SPH Media di Toa Payoh North ke pusat beli-belah Mid Valley Southkey di JB.
Sesuatu yang saya sedari dengan segera ialah perbezaan nilai kemudahan ini.
Berbeza dengan kos tetap sekitar $80 sehala dari Terminal Ban San Street ke Larkin, Grab mengenakan harga lebih tinggi dan saya dikenakan tambang $111 sehala.
Namun, sebagai ganti, saya tidak perlu lagi membuat perjalanan tambahan ke terminal sebab teksi itu sendiri yang datang menjemput saya di pejabat SPH Media.
Perkhidmatan itu bagaimanapun bukanlah untuk mereka yang gemar melakukan perjalanan pada detik-detik akhir.
Sebab, syaratnya anda perlu membuat tempahan awal – sekurang-kurangnya antara 12 jam dengan tujuh hari lebih awal – sekali gus memaksa kita untuk membuat perancangan awal dahulu.
Perjalanan saya bermula tepat 10 pagi dengan menaiki Toyota Noah Hybrid yang selesa dan luas.
Meskipun terdapat sedikit kesesakan di pusat pemeriksaan Woodlands, saya selamat tiba di Mid Valley Southkey dalam masa sejam setengah tanpa perlu keluar dari kenderaan untuk pemeriksaan pasport.
Pemandu saya berkongsi bahawa saya adalah pelanggan rentas sempadan pertamanya di bawah aplikasi itu.
Walaupun beliau sudah dianggap pemandu teksi ‘veteran’ di jalan raya, teknologi ini tetap memberi rasa teruja yang baharu buatnya.
Pengalaman pulang pada 2 petang pula memberi perspektif lebih mendalam.
Pemandu saya, Encik Zulkarnaen (bukan nama sebenar), 34 tahun, sedia menanti 30 minit lebih awal dengan kereta Proton Saga.
Bagi beliau, satu tempahan ke Singapura yang mencecah RM333 ($98) adalah satu ‘lubuk rezeki’ yang sangat besar.
“Kalau saya kerja kuat di Johor, ambil penumpang di CIQ (Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin) selalunya dapat sekitar RM150 sehari.
“Jadi apabila ada tempahan Grab ke Singapura, sekali jalan sahaja saya sudah boleh dapat RM333. Ini lebih seganda pendapatan harian saya,” jelas bapa tiga anak itu.
Namun, di sebalik angka lumayan itu, tersimpan pengorbanan yang jarang dilihat penumpang.
Encik Zulkarnaen mendedahkan memastikan perjalanan tersebut berbaloi, beliau sering kali terpaksa menunggu lama, malah sehingga tertidur di dalam keretanya di Singapura untuk mendapatkan penumpang pulang.
Secara keseluruhan, perjalanan ini menelan kos $111 untuk pergi dan RM333 ($98) untuk balik.
Meskipun agak mahal bagi perjalanan untuk dua penumpang, kos antara $25 dengan $28 seorang bagi kumpulan empat orang adalah sangat berbaloi.
Bagi pengembara yang mengutamakan keselesaan dan privasi, perkhidmatan ini merupakan satu perubahan besar bagi perkhidmatan rentas sempadan Singapura-Johor (Malaysia).
