Topik diikuti
Pergi ke BHkuTeksi rentas S’pura-JB boleh ambil, hantar penumpang di lebih banyak lokasi mulai 4 Mei
Teksi rentas S’pura-JB boleh ambil, hantar penumpang di lebih banyak lokasi mulai 4 Mei
Penumpang juga boleh turun di mana-mana di beberapa kawasan Johor
Teksi rentas S’pura-JB boleh ambil, hantar penumpang di lebih banyak lokasi mulai 4 Mei
Mereka yang merancang untuk menaiki teksi rentas sempadan dari Johor Bahru balik ke Singapura bakal menikmati lebih banyak pilihan lokasi pengambilan mulai 4 Mei.
Selain itu, penumpang juga boleh turun di mana-mana sahaja di Johor Bahru, Iskandar Puteri, Forest City, Kulai dan Senai, Johor.
Perubahan ini menjanjikan kemudahan yang jauh lebih besar buat pengembara, umum kementerian pengangkutan kedua-dua negara dalam kenyataan bersama pada 30 April.
Sebelum ini, teksi rentas sempadan hanya dibenarkan menggunakan satu lokasi pengambilan dan penghantaran yang ditetapkan selepas merentasi sempadan.
Teksi berdaftar Singapura perlu ke Terminal Larkin Sentral, hab pengangkutan awam utama di Johor Bahru. Sementara itu, rakan sejawat mereka dari Malaysia pula terhad di Terminal Ban San Street, Bugis.
Pengguna khidmat Grab juga boleh menempah teksi rentas sempadan di Pusat Beli-belah Toppen, Mid Valley Southkey Mall, dan Angsana Mall, di bawah lesen pengendali khidmat kereta sewa rentas sempadan baru yang dianugerahkan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 30 April.
Manakala, teksi Malaysia yang berdaftar dengan Grab pula boleh mengambil penumpang berhampiran kompleks beli-belah VivoCity, berhampiran Pusat Beli-belah Century Square di Tampines, dan di stesen MRT Joo Koon.
Tambang turut disemak semula.
Perjalanan dari Terminal Ban San Street ke Larkin, atau mana-mana destinasi dalam lingkungan 35 kilometer daripadanya, kini berharga $80 untuk kereta standard empat tempat duduk. Bagi destinasi di luar kawasan itu, tambahan $20 akan dikenakan.
Pada masa ini, kos teksi rentas sempadan ke Larkin ialah $60.
Sebagai tambahan kepada kenaikan tambang, lebih banyak pilihan kenderaan akan disediakan, dengan pengenalan kenderaan enam tempat duduk.
Kenderaan itu akan terdapat dalam dua jenis – standard dan premium – dengan pilihan standard berharga $120, dan premium berharga $180. Terdapat bayaran tambahan $30 untuk destinasi lain.
Sementara itu, teksi rentas sempadan Malaysia akan berharga hampir sama dengan khidmat setara di Singapura, dengan pilihan termurah, empat tempat duduk, berharga RM240 ($77.50).
Di laman web Grab, ia mengatakan bahawa pembayaran perlu dibuat sebelum perjalanan bermula, dengan pembayaran tanpa tunai hanya dibenarkan di Singapura.
Perjalanan yang berasal dari Johor Bahru memerlukan pembayaran tunai dalam dolar Singapura atau ringgit Malaysia.
Perubahan yang bertujuan mempermudah perjalanan antara kedua-dua negara jiran ini telah diumumkan oleh kedua-dua kementerian pengangkutan dalam kenyataan bersama pada 5 Disember 2025.
Kedua-dua negara turut menyatakan hasrat untuk meningkatkan kuota teksi berlesen secara beransur-ansur daripada 200 kepada 500, yang akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.
Peningkatan awal adalah sebanyak 100 teksi, dengan kenderaan yang lebih besar dan premium diutamakan bagi memenuhi keperluan rombongan yang lebih besar serta pengembara perniagaan.
Permintaan yang tidak dipenuhi untuk perkhidmatan teksi rentas sempadan yang sah telah mencetuskan pasaran gelap, dengan syarikat menawarkan perkhidmatan haram.
Pihak berkuasa Singapura telah bertindak tegas terhadap perkhidmatan haram itu selepas menerima maklumat daripada pemandu teksi sewa tempatan.
Mereka melaporkan kehadiran kereta berdaftar Malaysia di lokasi seperti Lapangan Terbang Changi dan Taman di Persisiran yang disyaki mengangkut penumpang secara haram di dalam negara ini.
Sementara itu, dalam satu hantaran Facebook beliau pada 30 April, Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) yang juga Penasihat Persatuan Teksi Nasional (NTA), Cik Yeo Wan Ling, berkata NTA mengalu-alukan pengumuman Kementerian Pengangkutan (MOT) mengenai pelaksanaan penambahbaikan kepada Skim Teksi Rentas Sempadan yang berkuat kuasa mulai 4 Mei.
“Sebagai Persatuan Kerja Platform yang berkaitan dengan NTUC, NTA telah terlibat dalam rundingan ini sejak awal lagi, menyuarakan kebimbangan pemandu teksi kami dan memperjuangkan perubahan ini bagi pihak mereka selama beberapa tahun. Kami gembira melihat banyak cadangan kami diambil kira.
“Kami turut gembira dengan perlindungan yang lebih kukuh terhadap perkhidmatan rentas sempadan haram.
“Keperluan pengenalpastian baru untuk teksi rentas sempadan berlesen termasuk pemasangan unit dalam kenderaan Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP2) Singapura pada teksi Malaysia merupakan langkah penting dalam melindungi mata pencarian pemandu kami daripada persaingan yang tidak adil.
“Struktur tambang baru merentas kategori Standard dan Premium dengan harga yang lebih tinggi untuk perjalanan yang lebih jauh akan membantu pemandu kami mendapat pendapatan yang lebih stabil,” kata beliau.
Kawasan menunggu yang ditetapkan dan titik pengambilan baru pula akan memastikan operasi berjalan dengan lebih teratur, di samping membuka lebih banyak peluang pendapatan melalui tempahan aplikasi, katanya.
