Topik diikuti
Pergi ke BHkuGrab tawar tempahan teksi rentas sempadan dari S’pura ke 5 destinasi di Johor
Grab tawar tempahan teksi rentas sempadan dari S’pura ke 5 destinasi di Johor
Pengguna boleh jadual atur perjalanan sekurang-kurangnya 12 jam lebih awal
Grab tawar tempahan teksi rentas sempadan dari S’pura ke 5 destinasi di Johor
Pengguna Grab di Singapura kini boleh menempah teksi rentas sempadan dari mana-mana lokasi di merata Singapura ke Johor menerusi aplikasi tersebut.
Namun, harga yang ditawarkan kelihatan lebih tinggi berbanding tambang teksi, yang diambil di Terminal Ban San Street di Bugis.
Melalui ciri tersebut, yang diperkenalkan secara berperingkat mulai 10 pagi pada 4 Mei, pengguna Grab boleh menempah perjalanan ke mana-mana destinasi di Johor Bahru, Iskandar Puteri, Forest City, Kulai, dan Senai sekurang-kurangnya 12 jam lebih awal.
Berdasarkan semakan oleh The Straits Times (ST) pada 10 pagi, 4 Mei, tambang teksi rentas sempadan bagi empat penumpang berharga $36 dari Braddell ke sebuah kedai makan berhampiran KSL City Mall di Johor Bahru.
Namun, ini dipercayai berlaku akibat satu gangguan sistem.
Pilihan ‘standard’ – iaitu teksi bagi empat penumpang yang berlepas dari Terminal Ban San Street di Bugis ke Terminal Larkin Sentral atau ke mana-mana destinasi dalam lingkungan 35 kilometer – berharga $80.
Apabila semakan semula dilakukan lewat pagi pada 4 Mei, harga di aplikasi Grab tertera dengan lebih tepat.
Ini meskipun terdapat turun naik bergantung pada waktu perjalanan itu dijadualkan.
Perjalanan dari Braddell ke kedai makan yang sama berhampiran KSL City Mall berharga $111.20 jika dijadualkan pada 9 pagi, 5 Mei.
Sekiranya dijadualkan pada 2 petang pula, tambangnya ialah $101.20.
Harga-harga tersebut adalah setelah diskaun 20 peratus.
Di laman web Grab, ia dinyatakan bahawa tambang akan berbeza bergantung pada beberapa faktor termasuk waktu perjalanan, jarak perjalanan, dan sama ada ia berlaku semasa musim cuti.
Pengendali tersebut turut menambah, tambang akan dikenakan dalam mata wang tempatan dan hanya pembayaran tanpa tunai akan diterima.
Jika pembayaran dibuat dalam mata wang asing, caj kad asing akan dikenakan.
Bagi pembayaran menggunakan kad kredit, ia akan dikenakan tambahan 3 peratus.
Dompet digital seperti Alipay dan Kakao Pay pula akan dikenakan caj tambahan 2 peratus.
Yuran tol, termasuk bagi Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP), telah dimasukkan ke dalam jumlah tambang keseluruhan dan tiada bayaran tambahan diperlukan.
Sementara teksi rentas sempadan berdaftar Singapura melalui Grab dibenarkan mengambil penumpang dari mana-mana lokasi di Singapura dan menghantar mereka ke mana-mana dalam lima kawasan yang diluluskan di Johor, mereka tidak dibenarkan melakukan perkara yang sama di seberang sempadan itu.
Hanya teksi rentas sempadan berdaftar Malaysia melalui Grab dibenarkan mengambil penumpang dalam kawasan operasi yang diluluskan di Johor.
Teksi rentas sempadan berdaftar Singapura di bawah Grab hanya dibenarkan mengambil penumpang dari Terminal Larkin Sentral, pusat beli-belah Toppen, Angsana Mall, atau Mid Valley Southkey Mall.
