Beliau mungkin tidak pernah melahirkan.

Namun Cik Noraini Hamid, 53 tahun, telah mencurahkan seluruh jiwa dan raganya sebagai sosok ibu untuk adik-beradiknya sejak remaja lagi.

Ini terutama sekali buat adiknya, Encik Mohamad Anuar Hamid, 40 tahun, yang dilahirkan pramatang dengan keadaan microcephaly, iaitu keadaan di mana saiz kepala kecil dan perkembangan otak terbatas.

Disebabkan keadaannya, walaupun tubuh dan wajahnya bak orang dewasa, keupayaan intelek Encik Anuar bak kanak-kanak kecil, di mana beliau masih gemar bermain dengan permainan kanak-kanak, anak patung, dan menonton kartun.

Encik Mohamad Anuar Hamid, 40 tahun, dilahirkan pramatang dengan keadaan microcephaly.
Encik Mohamad Anuar Hamid, 40 tahun, dilahirkan pramatang dengan keadaan microcephaly. - Foto BM oleh FANDY RAZAK

Menurut Cik Noraini, beliau berhenti sekolah menengah separuh jalan demi menjaga adik-adiknya.

Ketika itu, ibu bapanya kerap ulang-alik antara Singapura dengan Pulau Tekong atas tujuan mencari rezeki, dan berpesan agar Cik Noraini sentiasa menjaga adik-adiknya.

“Saya menjaga adik saya sejak beliau bayi lagi, kerana ibu bapa saya tidak dapat hadir sepanjang masa.

“Saya rela tidak sekolah, kerana ini adik saya, tak kan saya nak tinggalkan beliau?

“Saya masak, beri beliau makan, dan susu,” katanya yang seterusnya juga menjaga adik bongsunya, Cik Nur Ain Hamid, kini 38 tahun.

Cik Noraini, anak kedua dalam empat adik-beradik, kini tinggal sendirian bersama adiknya setelah pemergian arwah ayah, ibu dan abang sulungnya.

Adik bongsunya, Cik Nur Ain, ibu tunggal empat anak, tinggal berdekatan dan setiap hari akan berkunjung untuk menawarkan bantuan.

Setiap hari, Cik Noraini akan menyiapkan adiknya untuk ke sekolah, MINDSville@Napiri, termasuk memandikan beliau.

Manakala itu, Cik Nur Ain, akan datang untuk menyiapkan sarapan dan menghantar Encik Anuar ke sekolah.

Sebelum ini, Cik Noraini merupakan pencari nafkah tunggal keluarga dengan bekerja sebagai penghantar makanan.

Bagaimanapun, sejak menghidap ‘neuropathy’ - iaitu keadaan kerosakan saraf, kaki beliau menjadi lemah sehingga menyukarkannya untuk berjalan dengan stabil.

Memandangkan beliau kini tidak lagi bekerja, beliau menerima bantuan kewangan dan keperluan harian daripada Pejabat Khidmat Sosial (SSO), Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), rumah kebajikan SunLove, dan Kumpulan Orang-Orang Cacat Singapura (KCMS).

Baginya, bantuan tersebut sudah mencukupi untuk menampung kehidupan harian beliau dan adiknya.

Meski sudah banyak berkorban, Cik Noraini tidak pernah menganggap adiknya sebagai beban.

Sebaliknya, Encik Anuar merupakan sumber kebahagiaan yang sering menghiburkan hatinya, terutama dengan gelagat yang mencuit hati bak kanak-kanak.

Ditanya tentang cabaran yang dihadapi, Cik Noraini berkata:

“Ramai mak saudara yang bertanya kenapa tak nak kahwin, kenapa tak nak ada keluarga sendiri.

“Saya cakap, takkan saya nak tinggalkan adik saya begitu?

“Dahulu apabila saya ada teman lelaki, saya bertanya kepadanya, jika ingin berkahwin dengan saya, bolehkah saya membawa adik saya sekali?

“Saya perlu beliau ada bersama saya. Apabila lelaki itu tak boleh terima, saya putuskan hubungan.”

Berpegang pada prinsip ‘air dicencang tidak akan putus’, Cik Noraini sangat mementingkan hubungan kekeluargaan yang rapat serta peri pentingnya untuk setiap ahli keluarga saling mengambil berat dan menyokong antara satu sama lain.

“Saya sentiasa menganggap kami sebuah keluarga yang baik. Walaupun tidak kaya, mak dan bapak telah memberikan kami makan dan pakaian yang secukupnya.

“Nasihat saya, usahlah kita menganggap masalah kita ini terlalu berat, kerana mungkin orang lain melalui ujian yang jauh lebih mencabar.

“Contohnya, adik saya masih boleh berjalan, sedangkan ada anak-anak lain perlu didukung atau terlantar di katil.

“Kita perlu terus tabah dan percaya bahawa Allah tidak akan sesekali meninggalkan kita,” katanya.