Topik diikuti
Pergi ke BHkuSyed Farid Alatas tamat kerjaya di NUS setelah lebih 30 tahun tabur bakti
Syed Farid Alatas tamat kerjaya di NUS setelah lebih 30 tahun tabur bakti
Majlis penghormatan diadakan buat pakar sosiologi yang dikenali dek ketajaman intelek, penyambung gagasan ‘ilmu mandiri’
Syed Farid Alatas tamat kerjaya di NUS setelah lebih 30 tahun tabur bakti
Seorang cendekiawan yang kritis berhujah dan dikenali dengan penyebaran ‘ilmu mandiri’ serta ketajaman inteleknya, Profesor Syed Farid Alatas Syed Hussein Alatas, bakal menamatkan kerjaya cemerlang dalam dunia akademik di Universiti Nasional Singapura (NUS), setelah berkhidmat selama lebih tiga dekad.
Dikenali sebagai pakar sosiologi ternama, Profesor Syed Farid, 65 tahun, juga telah mengetuai Jabatan Pengajian Melayu di NUS, antara 2007 dengan 2013.
Bagaikan satu warisan akademik keluarga, awal sebelum itu, antara 1967 dengan 1987, jabatan tersebut telah dipelopori dan dipimpin ayah Profesor Syed Farid, Allahyarham Profesor Syed Hussein Alatas Syed Ali Alatas, yang juga merupakan seorang ahli akademik dan politik yang tidak asing lagi.
Profesor Syed Farid mula menyertai Jabatan Sosiologi NUS pada 1992, setelah dua tahun menjadi pensyarah di Universiti Malaya.
Demi meraikan sumbangan keilmuan Profesor Syed Farid, satu majlis penghormatan buatnya diadakan di Taman Warisan Melayu (MHC) pada 15 Mei.
Majlis anjuran Kumpulan Alumni Pengajian Melayu NUS dan Dialogue Centre Limited itu mengumpulkan anak didik, sahabat dan rakan kerja Profesor Syed Farid, khususnya mereka dalam kalangan cendekiawan, bagi mengenang peranan serta sumbangan beliau dalam dunia keilmuan dan pengamatan masyarakat.
Sepanjang perjalanan akademik beliau, Profesor Syed Farid telah mengemukakan wacana ‘ilmu mandiri’, sebuah gagasan yang memberatkan agar ilmu kemasyarakatan itu mandiri dan bebas daripada idea hegemoni atau konsep politik dan sosiologi yang merujuk pada dominasi atau kepemimpinan satu kelompok atau negara di atas kelompok lain, seperti eurosentrisme (pemikiran berpaksikan barat semata).
Hegemoni berlaku, dengan dominasi tersebut tidak dicapai melalui kekerasan fizikal, melainkan melalui persetujuan dan pengaruh budaya, ideologi, serta ekonomi.
Dalam sebuah sesi perkongsian tersebut, bapa tiga anak itu berkata:
“Berkaitan keperluan penghasilan ilmu yang mandiri di rantau Asia, kita juga mementingkan kritikan terhadap pemikiran lain yang bermasalah seperti tradisionalisme dan sektarianisme (fahaman, sikap atau fanatisme berlebihan terhadap kelompok tertentu).
“Ini telah menjadi sesuatu yang tekal dalam tradisi keilmuan yang berakar di jabatan ini (Jabatan Pengajian Melayu NUS).”
Sebagai ilmuwan sejati, beliau juga tidak pernah segan menawarkan kritikan terhadap sebarang kekeliruan pemikiran yang membelenggu ilmu kemasyarakatan.
Hal tersebut turut disentuh melalui sebuah syair karangan Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, Dr Azhar Ibrahim Alwee, dalam ucapannya:
“Teori Barat banyak yang sangkak
Tak kurang pula congkak dan bongkak
Bangsa yang lain dianggap tak layak
Dikritik beliau ditepis dilanyak
Itulah sisi keberanian menyanggah
Lembaran ilmu yang mesti dibedah
Orientalisme kolonialisme terus digugah
Mesti ditangkis ditamatkan sudah.”
Selain memacu gagasan besar, Profesor Syed Farid juga dikenang sebagai guru yang cekap membimbing anak didiknya.
Dalam ucapan penghormatan oleh Zamil Utama dan Penyelaras Program Sosial dan Budaya di Iseas-Institut Yusof Ishak dan Penyelaras Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau, Dr Norshahril Saat, beliau menjelaskan Profesor Syed Farid merupakan guru yang mampu mendorong pembangunan pemikiran pelajarnya.
“Antara perkara yang diingati adalah bagaimana Profesor Syed Farid memberi kepercayaan dan peluang kepada anak muda untuk menyoal dan mengkritik apa yang dipelajari,” jelas beliau.
Sewaktu sesi dialog bersama Profesor Syed Farid pada majlis tersebut, Pengarah Pengasas, Dialogue Centre Limited, Encik Mohamed Imran Mohamed Taib, berkongsi betapa Profesor Syed Farid mempunyai cara unik menyampaikan ilmu.
“Pada suatu masa ketika saya hadir dalam kelas Profesor Syed Farid, beliau membincangkan soal ‘Sosiologi Tandas’.
“Ini merupakan sesuatu yang ganjil dan lucu bila difikirkan tetapi Profesor Syed Farid mampu membawa perbincangan itu kepada sebuah wacana ketamadunan yang penting.”
Seorang lagi alumni Pengajian Melayu, Cik Nur Hikmah Ali, turut berkata: “Walaupun saya tidak berkesempatan duduk di dalam kelasnya, saya tetap menghargai bimbingannya melalui pelbagai cara lain.
“Apa yang saya paling ingat daripada beliau ialah kepentingan pemetikan atau citation sarjana dalam kajian.
“Ketiadaan pemetikan itu boleh menyebabkan penghapusan sarjana penting serta tradisi ilmunya. Inilah yang menjadi masalah dalam kesarjanaan kolonial,” jelasnya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim.
Pada akhir acara, Dr Yaacob menyimpulkan:
“Kami berterima kasih kepada Profesor Syed Farid Alatas sebagai tokoh ilmuwan yang telah memberi satu landasan kukuh dalam tradisi keilmuan Pengajian Melayu.
“Ke hadapan, saya berharap agar tradisi ini dapat terus dilestarikan.”
“
“Kami berterima kasih kepada Profesor Syed Farid Alatas sebagai tokoh ilmuwan yang telah memberi satu landasan yang kukuh dalam tradisi keilmuan Pengajian Melayu. Ke hadapan, saya berharap agar tradisi ini dapat terus dilestarikan.”“
Itulah sisi keberanian menyanggah Lembaran ilmu yang mesti dibedah Orientalisme kolonialisme terus digugah Mesti ditangkis ditamatkan sudah“
Antara perkara yang diingati adalah bagaimana Prof Syed Farid memberi kepercayaan dan peluang kepada anak muda untuk menyoal dan mengkritik apa yang dipelajari.
